#3473: Bekerja Di Bahagian Call Centre Dengan Syarikat Yang Terlibat Dengan Pemberian Pinjaman Riba

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Contoh kita bekerja bahagian call centre di sebuah pejabat swasta, kerja kita itu telefon pelanggan untuk minta bayaran pinjaman yang tertunggak, tetapi dalam pinjaman pelanggan itu ada interest. Kiranya pendapatan kita ni memang haram ke? Sbb pendapatan kita tu dia ada jugak komisen sekiranya pelanggan itu bayar hutang. Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقۡنَٰكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِلَّهِ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.”

(Surah al-Baqarah: 172)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah SWT memerintahkan kepada keseluruhan umatnya yang beriman untuk mencari sumber rezeki yang paling baik dan halal. (Lihat Taisir  al-Karim al-Rahman,1/81)

Allah SWT berfirman lagi:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ

Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Menurut Imam al-Mawardi, para ulama telah sepakat tentang pengharaman riba namun terdapat perbezaan pandangan tentang cabang-cabang berkaitan riba dan kaedah pengharamannya. Beliau berkata:

قَدْ أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى تَحْرِيمِ الرِّبَا وَإِنِ اخْتَلَفُوا فِي فُرُوعِهِ وَكَيْفِيَّةِ تَحْرِيمِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin (para ulama) atas pengharaman riba walaupun terdapat perbezaan terhadap perkara cabangnya dan bagaimana pengharamannya.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 5/74)

Manakala pandangan oleh Imam Nawawi dalam al-Majmu’ menyatakan riba adalah salah satu dosa besar malah pengharaman riba ini turut dilakukan oleh syariat agama lain. Beliau berkata:

فَقَدْ أَجْمَعُ الْمُسْلِمُونَ عَلَى تَحْرِيمِ الرِّبَا وَعَلَى أَنَّهُ مِنْ الْكَبَائِرِ وَقِيلَ إنَّهُ كَانَ مُحَرَّمًا فِي جَمِيعِ الشَّرَائِعِ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin atas pengharaman riba dan ianya merupakan salah satu dosa besar, dan ada pendapat yang menyatakan riba diharamkan pada semua syariat agama-agama lain (samawi)” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/391)

Berdasarkan persoalan di atas, jika penerangan yang dikemukakan itu adalah jelas yang memang daripada duit riba’, maka hukumnya adalah haram dan tidak dibolehkan. Hal ini berdasarkan kepada hadith Nabi SAW:

لعَن اللهُ آكلَ الرِّبا ومُوكِلَهُ وشاهدَهُ وكاتبَهُ

Maksudnya: “Allah melaknat pemakan riba, wakilnya, saksinya, dan penulisnya.”

Riwayat Ahmad (5/274)

Berdasarkan kepada nas di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa isu riba’ bukan semata-mata terkait kepada pemakan sahaja tetapi secara pakej kepada siapa yang terbabit sama ada secara langsung atau tidak dan hendaklah dielakkan seupaya mungkin.

Riba’ adalah satu bentuk penindasan yang amat nyata dan ia dianggap sebagai kezaliman ekonomi sehingga ramai yang terperangkap dengan interest (riba’) dan akhirnya menjadi hamba kepada hutang yang tidak mungkin dan mampu dilangsaikannya.

Betapa dahsyatnya pemakan riba’ maka ia telah diisytiharkan orang tersebut sebagai mereka yang memerangi Allah SWT.

Firman Allah SWT:

 فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ

Maksudnya: “Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat).”

(Surah al-Baqarah: 279)

Ibn Kathir menukilkan bahawa Ali bin Talhah berkata: Daripada Ibn Abbas, katanya ‘ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ’, maksudnya siapa yang sentiasa berada dengan riba, dan dia tidak meninggalkannya, maka menjadi hak kepada pemerintah orang Islam untuk memintanya untuk bertaubat. Jika dia bertaubat, maka alhamdulilah, sebaliknya jika dia enggan, maka hendaklah dipancung lehernya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/550)

Kami bimbang isu halal dan haram bukan menjadi topik utama dalam mendapatkan wang, tetapi yang penting hanya untuk mendapatkan wang ringgit semata-mata. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda :

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ، لاَ يُبَالِي الْمَرْءُ مَا أَخَذَ مِنْهُ أَمِنَ الْحَلاَلِ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ

Maksudnya: “Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang tidak peduli apa yang dia ambil, apakah dari hasil yang halal atau yang haram.”

Riwayat al-Bukhari (2059)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan dalam permasalahan ini, kami sarankan kepada saudara supaya mencari alternatif kepada pekerjaan yang tiada riba’ dan unsurnya agar keberkatan rezeki yang halal menjadi milik kita dan mendapat keredhaan daripada Allah SWT. Kami juga ingin menegaskan bahawa duit yang diperolehi daripada sumber yang haram, atau yang juga dikenali sebagai wang tidak patuh syariah, adalah disyorkan untuk diserahkan kepada Baitul Mal. Pihak Baitul Mal telah menyediakan sebuah tabung khas yang bertujuan untuk mengumpulkan dana dari sumber-sumber seperti ini, dan dana tersebut akan digunakan untuk keperluan awam yang bersifat penting.

Melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah dinyatakan iaitu: “Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

  • Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah- maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
  • Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
  • Jika harta tersebut merupakan harta rompakan, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal”.[1]

Harta yang diperolehi dari sumber yang haram hendaklah disucikan melalui perkara-perkara yang dapat memanfaatkan orang ramai. Di kesempatan ini suka juga kami nasihati agar sentiasa mengambil peduli terhadap halal dan haram dalam menjalani kehidupan seharian agar rezeki yang diperolehi itu datang dari sumber yang halal.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

[1] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/12206

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *