#3583: Nama Anak: Muhammad Nuh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sedang mengandungkan anak ketiga, saya dan suami berkenan untuk menamakan anak dengan nama Muhammad Nuh. Kami ingin mengetahui apakah sesuai untuk kami orang biasa untuk menamakan anak dengan nama Nuh, dan adakah maksudnya baik untuk masa depannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, kami nyatakan bahawa di antara nama yang baik untuk diberikan kepada anak adalah seperti Abdullah atau ‘Abd al-Rahman. Begitu juga, dengan nama-nama yang ada pujian seperti Ahmad, Hamid, Mahmud dan lain-lain. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

تَسَمَّوْا بِأَسْمَاءِ الأَنْبِيَاءِ، وَأَحَبُّ الأَسْمَاءِ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ، وَأَصْدَقُهَا حَارِثٌ وَهَمَّامٌ، وَأَقْبَحُهَا حَرْبٌ وَمُرَّةُ

Maksudnya: “Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi dan nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan ‘Abd al-Rahman. Dan nama yang paling benar ialah Harith dan Hammam. Dan nama yang paling buruk Harb dan Murrah.”

Riwayat Abu Daud (4950) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (814)

Selain itu, menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak. Terdapat sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: ‏ “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”

Riwayat Abu Daud (4948)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Nama Muhammad pula bermaksud orang yang dipuji dan padanya terdapat makna al-Mubalaghah iaitu paling banyak dipuji. (Lihat Fath al-Bari, 6/555).

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menyebutkan bagi nama Muhammad, kata nama perbuatan itu berlaku daripada manusia yang lain iaitu manusia memujinya. (Lihat Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah, hlm. 24).

Manakala, Nuh bermaksud selesa, serta ia merupakan nama yang baik, salah satu nama surah di dalam al-Quran dan nama bagi salah seorang nabi iaitu Nuh A.S.

Justeru itu, kami katakan nama Muhammad Nuh merupakan nama yang baik dan tidak menjadi masalah untuk menggunakannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Bertarikh: 17 Oktober 2023 bersamaan 2 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *