#3642: Kelebihan Susu Ibu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, mengapa Islam untuk menyusu susu badan manusia sewaktu kecil?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menyusu badan bagi bayi merupakan hak yang pada hakikatnya wajib ditunaikan oleh ibu bapa, sama ada si ibu memberikan susu badannya sendiri kepada anak tersebut, atau mencari ibu susuan yang baik untuk anak tersebut. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Kewajiban memberikan susu kepada bayi ini adalah dengan persepakatan fuqaha’, sekiranya bayi tersebut memang berhajat kepada susu ibu pada usia belum putus susu. Fuqaha’ al-Syafi‘iyyah dan al-Hanabilah mengatakan bahawa kewajiban tersebut ke atas bapa untuk mencari ibu susuan, bukannya ke atas ibu kandung tersebut. Hal ini kerana, susuan itu bagi bayi umpama nafkah bagi orang dewasa, dan kewajiban nafkah adalah ke atas bapa. Kewajiban ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.”

(Surah al-Talaq: 6)

Adapun yang wajib bagi seorang ibu itu adalah memberikan bayinya minum kolostrum atau susu pertama yang keluar selepas bersalin dan berwarna sedikit kekuningan. Ini kerana ianya baik untuk sistem ketahanan badan bayi tersebut. (Lihat Asna al-Matalib, 3/445; Nihayah al-Muhtaj, 7/221; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/239)

Kelebihan Susu Ibu

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, Islam merupakan agama yang menyeluruh, meliputi segenap aspek termasuk sains kemanusiaan. Suruhan bayi diberikan dengan susu ibu ini kerana ianya mempunyai kelebihan yang tersendiri yang mungkin tidak dapat diperoleh pada susu yang lain.

Antara kelebihan susu ibu, seperti yang dinukilkan oleh Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam daripada pakar perubatan moden kini:

  • Susu ibu secara semula jadinya telah tersteril, yakni bebas dari kuman atau hama, dan tidak mengandungi mikrob.
  • Susu ibu tidak sama dengan susu yang dibancuh, kerana ia dirumus berdasarkan keperluan anak hari demi hari, dari lahir hingga usia fitam atau putus susu.
  • Susu ibu mengandungi kuantiti nutrien yang mencukupi, dengan kadar yang sangat sesuai untuk kanak-kanak.
  • Penyusuan susu ibu mempunyai kesan kepada hubungan secara psikologi dan emosi antara ibu dan anaknya. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/32)

Selain daripada itu antara kelebihan susu ibu yang dinyatakan oleh kementerian kesihatan Malaysia ialah:

  • Susu ibu, terutamanya kolostrum , menguatkan sistem imuniti bayi.
  • Ia melindungi bayi dari jangkitan seperti cirit birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru.
  • Susu ibu mencegah berbagai masalah alahan seperti asma, ekzema dan kolik bayi.
  • Susu ibu mengandungi nutrien tertentu yang amat kritikal untuk perkembangan otak. Ia membantu dalam meningkatkan kecerdikan anak anda. (Lihat http://www.myhealth.gov.my/kebaikan-susu-ibu/)

Beginilah serba sedikit yang dapat kami kongsikan berkenaan kelebihan susu ibu. Untuk maklumat yang lebih terperinci, saudara boleh merujuk mereka yang berkeahlian dan pakar dalam bidang perubatan, khususnya mereka yang pakar dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *