#3712: Kertas al-Quran Dikitar Semula

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan mengenai isu al-Quran yang rosak. Jika ianya dibersihkan, disucikan tulisannya, dan kemudian digunakan semula kertas tersebut untuk kitar semula. Adakah tindakan ini dibolehkan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Persoalan berkenaan isu kian meluas dibangkitkan oleh beberapa pihak, iaitu dengan membersihkan dan memadam terlebih dahulu ayat al-Quran terlebih dahulu, sehinggalah lembaran-lembaran tersebut suci dari sebarang tulisan. Adakah kertas kosong tersebut boleh digunakan semula sebagai kertas kitar semula?

Pertamanya, menjaga dan memuliakan kesucian al-Quran merupakan satu tanggungjawab dan kewajiban bagi setiap umat Islam. Oleh itu, beberapa kaedah yang telah digariskan oleh para ulama’ dalam proses pelupusan al-Quran rosak.

Umumnya, terdapat 2 kaedah yang disebutkan oleh fuqaha’, iaitu menanamnya atau membakarnya.

Menanam al-Quran yang Rosak

Ini merupakan pandangan Mazhab Hanafi dan Mazhab Hanbali yang mengatakan bahawa hendaklah digali tanah dan ditanam di dalamnya.

Al-Haskafi berkata, mushaf apabila berada pada keadaan yang mana kita tidak mampu membacanya lagi hendaklah ditanam sebagaimana keadaan orang Islam yang mati. Syeikh Ibn ‘Abidin memberi komentar dengan berkata, dengan perca kain yang bersih diletakkan di dalamnya (al-Qur’an yang rosak) kemudian ditanam di tempat yang tidak dihina dan dipijak. (Lihat al-Dur al-Mukhtar, 1/191)

Imam al-Buhuti al-Hanbali pula mengatakan, jika mushaf telah basah atau terpadam sedikit tulisannya, hendaklah ditanam berdasarkan nas syara‘. Imam Ahmad menyebut bahawa Abu al-Jawza’ telah basah mushafnya lantas digali lubang pada masjidnya dan ditanamnya. (Lihat Kasyaf al-Qina‘, 1/137)

Syeikh Muhammad bin Ibrahim Al al-Syeikh (mantan Mufti Besar Arab Saudi) berpendapat, cara yang paling sahih ketika luput sebahagian kertas mushaf ialah dengan menanamnya di masjid. Jika tidak boleh maka ditanamnya di tempat yang bersih lagi suci dan harus juga membakarnya. (Lihat al-Fatawa, 13/84)

Membakar al-Quran yang Rosak

Ini pula merupakan pandangan Mazhab Syafi‘i dan Mazhab Hanafi. Imam al-Suyuti berkata, apabila perlu kepada melupuskan sebahagian kertas mushaf dengan sebab basah atau rosak, maka tidak harus diletakkannya pada mana-mana tempat sekalipun tinggi kerana boleh jadi akan jatuh dan dipijak. Begitu juga tidak harus mengoyaknya kerana memisahkan huruf-huruf dan kalam tersebut. Justeru, kalau dibakarnya dengan api, tidak mengapa. Ini kerana perbuatan Saidina Uthman yang membakar semua mushaf dan tiada seorangpun yang mengingkarinya. (Lihat al-Itqan fi Ulum al-Quran, 2/1187)

Mereka berhujjah dengan tindakan Saidina Uthman R.A yang memerintahkan untuk membakar mushaf yang berbeza dengan mushaf yang ditulis, dan perbuatan tersebut telah disaksikan oleh ramai sahabat. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A:

أَنَّ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَمَرَ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ وَعَبْدَ اللَّهِ بْنَ الزُّبَيْرِ وَسَعِيدَ بْنَ الْعَاصِ وَعَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ الْحَارِثِ بْنِ هِشَامٍ، فَنَسَخُوهَا فِي الْمَصَاحِفِ. وَقَالَ عُثْمَانُ لِلرَّهْطِ الْقُرَشِيِّينَ الثَّلاَثَةِ: إِذَا اخْتَلَفْتُمْ أَنْتُمْ وَزَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ فِي شَيءٍ مِنَ الْقُرْآنِ، فَاكْتُبُوهُ بِلِسَانِ قُرَيْشٍ، فَإِنَّمَا نَزَلَ بِلِسَانِهِمْ. فَفَعَلُوا حَتَّى إِذَا نَسَخُوا الصُّحُفَ فِي الْمَصَاحِفِ، رَدَّ عُثْمَانُ الصُّحُفَ إِلَى حَفْصَةَ، وَأَرْسَلَ إِلَى كُلِّ أُفُقٍ بِمُصْحَفٍ مِمَّا نَسَخُوا، وَأَمَرَ بِمَا سِوَاهُ مِنَ الْقُرْآنِ فِي كُلِّ صَحِيفَةٍ أَوْ مُصْحَفٍ أَنْ يُحْرَقَ

Maksudnya: “Sesungguhnya ‘Uthman bin ‘Affan R.A memerintahkan Zaid bin Thabit, Abdullah bin al-Zubair, Sa‘id bin al-‘As dan ‘Abd al-Rahman bin al-Harith bin Hisyam supaya menulis semula dalam bentuk salinan Mushaf yang sempurna. ‘Uthman berkata kepada tiga orang lelaki Quraish: ‘Sekiranya kamu tidak bersetuju dengan Zaid bin Thabit berkaitan sesuatu hal di dalam al-Quran, maka tulislah dalam gaya bahasa Quraisy, sesungguhnya al-Quran diturunkan dengan bahasa mereka’. Lalu mereka melakukannya, sehingga menjadi banyak salinan daripadanya (mushaf), kemudian ‘Uthman memulangkan mushaf yang asal kepada Hafsah, dan dikirim ke seluruh pelusuk dunia, kemudian ‘Uthman memerintahkan supaya segala mushaf selain daripada mushaf yang asal agar dibakar.”

Riwayat al-Bukhari (4987)

Abu Bakr bin Abu Dawud al-Sijistani meriwayatkan kalam Mus‘ab bin Sa‘d, berkata: “Aku mendapati ramai orang yang mana menyaksikan peristiwa arahan Saidina Uthman supaya mushaf-mushaf yang lain dibakar. Perbuatan tersebut menjadi kehairanan bagi mereka tetapi tidak seorang pun dari kalangan mereka mengingkarinya.” (Lihat al-Masahif, hlm. 41)

Ibn Battal berkata, perintah Saidina Uthman supaya membakar semua mushaf ketika dihimpunkan al-Quran adalah bukti keharusan membakar kitab-kitab yang terdapat padanya nama-nama Allah. Yang demikian, sebagai kemuliaan baginya dan pemeliharaan daripada dipijak dengan kaki serta dicampakkannya pada mana-mana tempat. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari 10/226)

Bentuk Pelupusan al-Quran di Malaysia 

Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, terdapat 2 bentuk pelupusan al-Quran yang kini dilakukan di Malaysia.

  1. Pembakaran
  2. Proses Pemisahan Tinta (Deinking). Deinking ialah proses mengeluarkan dakwat dan bahan bukan gentian daripada kertas terpakai. Proses penyahintaan pertama kali diketahui pada tahun 1800-an dalam industri kitar semula kertas. Keberkesanan proses penyahtintakan bergantung kepada bahan mentah yang digunakan untuk kertas, jenis bahan cemar terutamanya dakwat, peringkat proses yang dijalankan, dan jenis peralatan yang digunakan. Peringkat proses penyahtintakan secara amnya termasuk peringkat penguraian, pembersihan dan penapisan, penyingkiran dakwat, serta peringkat pencucian dan penebalan.

Kaedah pertama ini telah ditetapkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992, yang telah membincangkan Pelupusan Al-Quran. Muzakarah telah menyimpulkan bahawa al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak lagi boleh dibaca dan yang bukan resam uthmani hendaklah dilupuskan dengan dibakar di tempat yang dikawal dan ditanam ditempat yang dikawal. Kerja-kerja pelupusan hendaklah dipertanggungjawabkan kepada Urusetia atau Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri. Dan pelupusan ini dilakukan dengan cara tersembunyi demi mengelakkan salah faham orang ramai.[1]

Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah meletakkan garis panduan untuk proses pelupusan al-Quran dengan cara pembakaran:

  • Bahan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang dibakar hendak­lah menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar.
  • Bahan-bahan atau debu yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran yang telah dibakar hendaklah dipastikan dikumpul supaya tidak ditiup angin atau bersepah.
  • Bahan yang telah dibakar hendaklah ditanam pada tempat yang bersih atau tempat yang tidak dilalui orang atau dibuang ke dalam laut/sungai yang mengalir airnya.
  • Kerja-kerja pembakaran hendaklah dikawal selia oleh pegawai Jabatan Agama atau pihak yang mahu melupuskan bahan-bahan tersebut.

Tiada huraian foto disediakan.

 

Tiada huraian foto disediakan.Kaedah kedua pula pernah diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 19 Oktober 2015, yang membincangkan tentang pelupusan al-Quran dan bahan cetakan agama berteknologi hijau melalui proses pemisahan tinta. Mereka memutuskan bahawa pelupusan al-Quran dengan proses ini hukumnya adalah harus.[2] Proses ini kebiasaannya dilakukan dengan kaedah rendaman sehinggalah tinta dakwat al-Quran itu hilang bersih dan hilang sifat al-Quran.

Best Deinking System For Pulp Paper Mill | PDF

 

Kitar Semula Kertas al-Quran

Kedua-dua kaedah pelupusan al-Quran di atas disebutkan oleh para ulama’ bagi satu tujuan yang sama, iaitu sebagai menghormati Kalamullah dan mengelakkan daripada berlakunya penghinaan kepada kitab suci al-Quran ini. Hal ini kerana apa sahaja perbuatan yang berbaur penghinaan dan merendahkan al-Quran boleh mendorong seseorang ke arah kekufuran. Disebutkan di dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah bahawa jika ayat al-Quran terpadam sedikit dari lembaran-lembarannya, ia perlu dibakar atau ditanam di kawasan yang bersih bagi memelihara al-Quran dari penghinaan. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 3/40)

Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur ialah dia dengan sengaja menghina agama secara terang-terangan atau mengingkarinya seperti mencampakkan kotoran kepada mushaf (al-Quran) kerana perbuatan itu jelas menghina kalamullah, dan menghina atau merendah-rendahkan suatu ucapan (kalam) bermaksud dia telah menghina atau merendah-rendahkan Pengucapnya — yakni Allah SWT. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/431)

Maka jelas di sini, ‘illah al-Quran yang rosak itu perlu dibakar adalah bagi mengelakkan berlaku penghinaan terhadap ayat suci Allah SWT. Oleh yang demikian, sekiranya ayat al-Quran itu dapat dipadamkan sebersih-bersihnya dari setiap lembaran, maka kewajiban melupuskan al-Quran dengan cara membakar atau menanam juga boleh berubah berdasarkan kaedah fiqh yang menyebut:

الْحُكْمُ يَدُورُ مَعَ الْعِلَّةِ وُجُودًا وَعَدَمًا

Maksudnya: “Suatu hukum itu tertakluk kepada kewujudan atau ketiadaan ‘illahnya.”

Sejujurnya, pendekatan untuk menggunakan kertas al-Quran yang telah dibersihkan ayat-ayat suci al-Quran daripadanya ini merupakan suatu kaedah baru yang banyak maslahahnya. Ia bukan sahaja dapat menjimatkan kos pelupusan tersebut, bahkan boleh mengembalikan semula keuntungan jika ia digunakan semula untuk pembuatan al-Quran yang baharu.

Akan tetapi, sebagai usaha memuliakan kedudukan al-Quran itu sendiri, kitar semula kertas al-Quran itu juga perlu diikat dengan syarat yang lebih ketat agar tidak berlakunya sebarang unsur yang tidak baik dan menghina terhadap kertas yang dahulunya dituliskan padanya al-Quran. Antara syarat yang dapat kami kemukakan sebagai cadangan:

  • Memastikan kesemua ayat al-Quran yang bertulis di atas setiap lembaran dipadam sehingga bersih terlebih dahulu.
  • Kertas kitar semula tersebut perlu dikhususkan penggunaannya pada cetakan al-Quran yang baharu atau kitab-kitab agama Islam sahaja.
  • Tempat yang menjalankan kerja kitar semula kertas tersebut mestilah khusus untuk kitar semula kertas al-Quran sahaja. Ini bagi memastikan tidak berlaku percampuran antara kertas yang dahulunya mungkin dituliskan padanya perkataan-perkataan yang lagha dengan kertas yang dahulunya dituliskan padanya ayat suci Allah SWT.

Semoga pencerahan dan cadangan yang kami kemukakan ini dapat membuka ruang perbincangan yang lebih luas, serta kefahaman agama yang lebih baik kepada semua. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15553. Diakses pada 19 Oktober 2023.

[2] Lihat https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-tahunan/keputusan-fatwa/2010/631-fatwa-pelupusan-al-quran-dan-bahan-cetakan-agama-berteknologi-hijau-melalui-proses-deinking. Diakses pada 19 Oktober 2023.

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *