#3741: Adakah Jenazah Rasulullah Dimandikan Tanpa Pakaian?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah Rasulullah ditelanjangkan selepas wafat untuk dimandikan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, memandikan jenazah adalah suatu kewajipan yang diletakkan di dalam fardhu kifayah. Hal ini bermakna, kewajipan itu wajib ke atas masyarakat di sesuatu tempat, dan kewajipan itu hanya akan terangkat atau dikira selesai apabila sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut. Bahkan kewajipan memandikan jenazah ini berasal daripada arahan Nabi SAW sendiri.

Terdapat riwayat menceritakan bahawa ketika berlakunya tragedi seorang lelaki yang mati akibat terjatuh daripada unta, maka diseru untuk dimandikan jenazahnya, sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ, وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ

Maksudnya: “Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafanilah dengan dua helai kain.”

Riwayat al-Bukhari (1265) dan Muslim (1206)

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, hadith ini menunjukkan kepada anjuran atau galakkan (sunat) untuk menyegerakan pengurusan jenazah, sekiranya kematiannya tidak berlaku secara mengejut. Ini kerana perlu dipastikan akan kematiannya terlebih dahulu atau dilewatkan disebabkan oleh maslahah supaya ramai orang melakukan solat jenazah untuknya atau kerana menunggu kehadiran kaum kerabat dan sebagainya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/163).

Dalam menjawab soalan di atas, jelas berdasarkan hadith yang menceritakan berkenaannya bahawa jenazah Rasulullah SAW dimandikan dalam keadaan pakaian Baginda masih lagi dipakai pada jasadnya dan bukannya tanpa pakaian sebagaimana jenazah orang lain.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:

لَمَّا أَرَادُوا غَسْلَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالُوا وَاللَّهِ مَا نَدْرِي أَنُجَرِّدُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنْ ثِيَابِهِ كَمَا نُجَرِّدُ مَوْتَانَا أَمْ نُغَسِّلُهُ وَعَلَيْهِ ثِيَابُهُ فَلَمَّا اخْتَلَفُوا أَلْقَى اللَّهُ عَلَيْهِمُ النَّوْمَ حَتَّى مَا مِنْهُمْ رَجُلٌ إِلاَّ وَذَقْنُهُ فِي صَدْرِهِ ثُمَّ كَلَّمَهُمْ مُكَلِّمٌ مِنْ نَاحِيَةِ الْبَيْتِ لاَ يَدْرُونَ مَنْ هُوَ أَنِ اغْسِلُوا النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم وَعَلَيْهِ ثِيَابُهُ فَقَامُوا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَغَسَلُوهُ وَعَلَيْهِ قَمِيصُهُ يَصُبُّونَ الْمَاءَ فَوْقَ الْقَمِيصِ وَيُدَلِّكُونَهُ بِالْقَمِيصِ دُونَ أَيْدِيهِمْ

Maksudnya: “Tatkala mereka ingin memandikan Nabi SAW, mereka berkata: ‘Demi Allah, kami tidak tahu sama ada kami perlu menanggalkan pakaian Rasulullah SAW sebagaimana kami menanggalkan pakaian orang yang meninggal dunia, atau memandikan Baginda ketika pakaiannya masih menutupi dirinya.’ Ketika mereka berbeza pendapat di antara mereka, Allah melelapkan mereka dengan tidur sehingga setiap orang di antara mereka meletakkan dagunya di dadanya. Kemudian seseorang berbicara dari salah satu sudut rumah, dan mereka tidak tahu siapa dia: ‘Mandikanlah Nabi SAW dalam keadaan pakaiannya masih menutupi dirinya.’ Jadi, mereka pun bangun untuk menuju kepada Rasulullah SAW lalu memandikannya dalam keadaan Baginda masih lagi memakai pakaian. Mereka mencurahkan air ke atas baju Baginda, dan menggosok Baginda dengan baju tersebut, bukan dengan tangan-tangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (3141); Ahmad (26306) dengan sedikit perbezaan lafaz; Ibn Majah (1464) secara ringkas.[1]

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, hadith ini mengandungi dalil yang menunjukkan bahawa digalakkan (disunatkan) untuk menanggalkan pakaian mayat ketika memandikannya, melainkan di sana turut digalakkan (disunatkan) agar proses pemandian itu dilakukan di tempat yang mempunyai atap (yakni tertutup), sekalipun atap itu hanya sehelai khemah atau seumpamanya.

Selain  itu, hadith ini juga menunjukkan kepada keistimewaan yang khusus buat Rasulullah SAW berbanding orang lain dalam kalangan mereka yang meninggal dunia. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/165-166).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

[1] Syeikh Abdullah al-Bassam menilai hadith ini sebagai hasan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/165). Manakala Ibn ‘Abd al-Barr dalam al-Tamhid (24/400) menilainya sebagai sahih.

Bertarikh: 23 Oktober 2023 bersamaan 8 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *