#3803: Yakin kepada Allah SWT Dalam Membayar Hutang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah al-Zubair bin al-Awwam tatkala hampir meninggal dunia mewasiatkan kepada anaknya untuk membayar hutang dan kisahnya cukup menarik? Boleh Dato’ Seri ceritakan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Imam al-Bukhari ada membawakan satu hadith di bawah “Bab: Keberkatan Harta Orang yang Berperang Saat Masih Hidup Mahu pun Sesudah Meninggal Dunia, Baik Berperang Bersama Nabi SAW atau Pemerintah.” Hadith itu daripada riwayat Ishaq bin Ibrahim menyampaikan kepada kami, katanya: Aku berkata kepada Abu Usamah: Adakah Hisyam bin Urwah menyampaikan kepada kalian, daripada bapanya, daripada Abdullah bin al-Zubair, dia berkata: “Ketika al-Zubair berdiri pada peperangan Jamal, dia memanggilku, maka aku berdiri di sampingnya. Beliau berkata: “Wahai anakku, tidak ada yang terbunuh pada hari ini kecuali orang zalim atau dizalimi, dan sungguh aku tidak melihat diriku melainkan akan terbunuh dalam keadaan dizalimi. Sesungguhnya perkara yang paling merisaukanku adalah hutangku. Adakah engkau melihat hutang kita dapat menyisakan sesuatu dari harta kita? Beliau juga berkata: “Wahai anakku, juallah harta benda kita, bayarlah hutangku.” Lalu beliau berwasiat pada satu pertiga daripada hartanya. Satu pertiga daripadanya adalah untuk anak-anaknya — yakni anak-anak Abdullah bin al-Zubair. Beliau berkata:  “Sepertiga daripada yang sepertiga — jika harta kita masih berbaki setelah pembayaran hutang — maka diberikan kepada anakmu.”

Hisyam berkata: “Sebahagian anak Abdullah telah menyamai sebahagian anak-anak al-Zubair, Khubaib dan ‘Abbad, dan saat itu dia memiliki 9 orang anak lelaki dan 9 anak perempuan.” Abdullah berkata:  “Beliau pun berwasiat kepadaku berkenaan hutangnya dan berkata:  ‘Wahai anakku, jika engkau tidak mampu untuk membayar hutangku maka mintalah kepada tuan aku.’” Abdullah berkata:  “Demi Allah, aku tidak tahu apa yang beliau maksudkan hingga aku bertanya: ‘Wahai bapaku, siapakah tuan kamu?’” Beliau menjawab:  “Allah.” Abdullah berkata:  “Demi Allah, tidaklah aku menemui suatu kesulitan dalam membayar hutangnya melainkan aku akan berkata:  ‘Wahai Tuan kepada al-Zubair, lunaskanlah hutangnya,’ lalu Allah akan (membantu aku) melunaskannya.” Al-Zubair R.A terbunuh tanpa meninggalkan dinar mahupun dirham, kecuali beberapa bidang tanah, salah satunya ialah tanah al-Ghabah, 11 rumah di Madinah, 2 di Basrah, 1 di Kufah, dan sebuah lagi di Mesir. Abdullah berkata:  “Sesungguhnya hutangnya menjadi banyak kerana apabila seseorang datang kepadanya dengan membawa harta untuk dijaga olehnya, maka Al-Zubair akan berkata: ‘Tidak, akan tetapi jadikanlah ia sebagai pinjaman. Sesungguhnya aku khuatir harta itu tidak terjaga.’ Beliau tidak pernah memegang jawatan sebagai gabenor (penguasa) sama sekali dan tidak pula sebagai pengutip cukai kharaj atau urusan apa sekalipun; beliau hanya memperoleh harta melalui peperangan yang disertai bersama Nabi SAW, Abu Bakar, Umar dan Uthman R.A.” Abdullah bin al-Zubair berkata:  “Aku mengira jumlah hutangnya dan ternyata jumlahnya ialah sebanyak 2 juta 200 ribu.” Dia berkata:  “Hakim bin Hizam bertemu Abdullah bin al-Zubair dan berkata:  ‘Wahai anak saudaraku, berapakah jumlah hutang yang ditanggung oleh saudaraku?’ Dia menyembunyikan jumlah sebenarnya lalu berkata:  ‘100 ribu.’ Hakim berkata:  ‘Demi Allah, menurutku harta benda yang kalian punyai tidak akan dapat melunaskan hutang ini.’ Abdullah berkata:  ‘Apa pendapatmu jika aku katakan jumlahnya 2 juta 200 ribu?’ Dia menjawab: ‘Menurutku kalian tidak akan mampu melunaskannya. Jika kalian tidak mampu, maka mintalah bantuan kepadaku.’”

Dia (perawi) berkata:  “Al-Zubair telah membeli tanah al-Ghabah (hutan belantara) dengan harga 170 ribu. Maka Abdullah telah menjualnya dengan harga 1 juta 600 ribu. Kemudian dia berdiri dan berkata:  ‘Sesiapa yang memiliki hak (hutang) pada al-Zubair, maka hendaklah dia meminta bayaran kepada kami dari al-Ghabah.’ Abdullah bin Jaafar merupakan individu yang al-Zubair berhutang kepadanya sebanyak 400 ribu, datang dan berkata kepada Abdullah bin al-Zubair: ‘Jika engkau mahu maka aku halalkan hutangnya padaku.’ Abdullah berkata:  ‘Tidak!’ Abdullah bin Jaafar berkata lagi:  ‘Jika kamu mahu, kamu boleh tunda bayarannya.’ Abdullah bin al-Zubair berkata:  ‘Tidak!’”

Dia (perawi) berkata:  “Maka dia (Abdullah bin Jaafar) berkata:  ‘Ukurlah satu bahagian daripada tanah untukku.’ Abdullah (bin al-Zubair) berkata:  ‘Untukmu dari tempat ini hingga ke tempat ini.’” Dia (perawi) berkata:  “Dia menjualnya lalu membayar dan melunaskan hutangnya. Lalu berbaki daripadanya 4 1/2 bahagian. Dia (Abdullah bin al-Zubair) datang menemui Mu‘awiyah — dan di sisinya terdapat ‘Amr bin Uthman, al-Munzir bin al-Zubair dan Ibn Zam‘ah — lalu Mu‘awiyah berkata kepadanya: ‘Berapakah harta dinilaikan yang ditetapkan untuk al-Ghabah?’ Abdullah menjawab: ‘Setiap satu bahagian berharga 100 ribu.’ Mu‘awiyah berkata:  ‘Berapa bahagian yang masih berbaki?’ Abdullah menjawab: ‘4 1/2 bahagian.’ Al-Munzir bin al-Zubair berkata:  ‘Aku ingin membeli 1 bahagian dengan harga 100 ribu.’ ‘Amr bin Uthman pula berkata:  ‘Aku ingin membeli 1 bahagian dengan harga 100 ribu.’ Ibn Zam‘ah berkata:  ‘Aku ingin membeli 1 bahagian dengan harga 100 ribu.’ Mu‘awiyah berkata:  ‘Berapa  bahagian lagi yang berbaki?’ Abdullah menjawab: ‘Masih berbaki sebanyak 1 1/2 bahagian.’ Mu‘awiyah berkata:  ‘Aku ingin membelinya dengan harga 150 ribu.’”

Dia (perawi) berkata: “Abdullah bin Jaafar turut menjual bahagiannya kepada Mu‘awiyah dengan harga 600 ribu. Setelah Ibn al-Zubair selesai melunaskan hutangnya, maka anak-anak al-Zubair berkata: ‘Bahagikanlah bahagian fara’id di antara kami.’ Abdullah berkata: ‘Tidak, demi Allah aku tidak akan membahagikannya sehinggalah aku membuat pengumuman ketika musim (haji) selama 4 tahun iaitu: Ketahuilah, sesiapa yang al-Zubair berhutang dengannya, maka hendaklah dia menemui kami agar kami dapat melunaskannya.’” Dia (perawi) berkata:  “Maka setiap tahun dia mengumumkan ketika musim (haji). Setelah berlalu 4 tahun, dia pun membahagikannya kepada mereka.” Dia (perawi) berkata:  “Al-Zubair memiliki 4 orang isteri, lalu diasingkan sebanyak satu pertiga daripada harta, maka setiap isteri memperoleh sebanyak 1 juta 200 ribu. Manakala kesemua hartanya berjumlah 50 juta 200 ribu.”

Riwayat al-Bukhari (3129)

(Lihat Garis Hayat al-Rasul SAW, hlm. 371)

Benarlah firman Allah SWT:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ‎﴿٢﴾‏ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا ‎

Maksudnya: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

(Surah al-Talaq: 2-3)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *