Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum solat dengan pakaian yang ada minyak enjin kenderaan (grease  mekanik) atau mereka yang bekerja melibatkan minyak hitam? Kesan hitam saki baki minyak hitam yang melekat pada anggota wuduk adakah sah solat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Berwuduk merupakan salah satu dari syarat sah solat dan hukumnya adalah wajib. Ini seperti yang disebutkan menerusi firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat maka basuhlah muka-muka kamu serta tangan-tangan kamu sehingga ke bahagian siku. Dan sapulah kepala kamu serta (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga ke bahagian buku lali.”

 (Surah al-Maidah : 6)

Ayat di atas ini menjelaskan beberapa anggota yang wajib dibasuh dan disapu dalam wudhuk. Iaitu muka, kedua tangan sehingga ke siku, kepala, serta kaki sehingga ke buku lali. Dua lagi perkara fardhu dalam wudhuk adalah niat dan juga tertib.

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan rukun wudhuk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#754: Isu Wudhuk Bagi Mekanik[1]

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum solat dengan pakaian yang terkena minyak hitam adalah sah kerana ia bukanlah dikira najis. Namun, sebaiknya apabila kita tahu sebagai seorang mekanik ini tidak akan lari dari terkena minyak hitam, maka sebaiknya kita membawa satu pakaian lebih untuk mengerjakan solat dan kita dapat solat dalam keadaan pakaian bersih tanpa berasa was-was.

Keduanya, bagi anggota wudhuk yang terkena minyak hitam, ia perlu usaha untuk menghilangkannya, namun sekiranya tidak hilang juga, maka ianya dimaafkan. Hal ini kerana mengambil kira pekerjaan mereka yang bergelumang dengan perkara tersebut.

Semoga perbahasan ini, sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam melaksanakan perintah Allah dalam kehidupan harian kita.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

[1] https://maktabahalbakri.com/754-isu-wudhuk-bagi-mekanik/#_ftn2

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply