#754: Isu Wudhuk Bagi Mekanik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya bekerja sebagai mekanik di bengkel motosikal. Saya runsing kerana biasanya, pekerja seperti saya, tangannya sentiasa berminyak. Hal ini menimbulkan masalah ketika saya ingin berwudhuk dan solat. Boleh jelaskan kaedah mengambil wudhuk yang betul supaya solat yang saya lakukan adalah sah.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Berwuduk merupakan salah satu dari syarat sah solat dan hukumnya adalah wajib. Ini seperti yang disebutkan menerusi firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat maka basuhlah muka-muka kamu serta tangan-tangan kamu sehingga ke bahagian siku. Dan sapulah kepala kamu serta (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga ke bahagian buku lali.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Ayat di atas ini menjelaskan beberapa anggota yang wajib dibasuh dan disapu dalam wuduk. Iaitu muka, kedua tangan sehingga ke siku, kepala, serta kaki sehingga ke buku lali. Dua lagi perkara fardhu dalam wuduk adalah niat dan juga tertib.

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82)

Oleh itu, secara ringkasnya kita dapat ketahui bahawa anggota wuduk yang wajib dibasuh ialah:

  1. Seluruh muka beserta niat.
  2. Membasuh tangan hingga ke siku.
  3. Membasuh sebahagian daripada kepala sekurang-sekurangnya membasahkan tiga helai rambut
  4. Membasuh kaki sehingga ke buku lali.
  5. Hendaklah membasuh anggota-anggota tadi mengikut tertib.

Selain daripada anggota-anggota wajib tersebut maka hukumnya adalah sunat yang sangat dituntut (sunat muakkad). Ini seperti membaca Basmalah ketika mula mengambil wuduk, membasuh tangan sebelum memasukkannya ke dalam bekas air, berkumur, memasukkan air ke dalam hidung, membasuh seluruh kepala, membasuh kedua-dua telinga, memulakan setiap anggota dengan anggota sebelah kanan, melaksanakannya secara berturut-turut, menggosok, membasuh setiap anggota dengan tiga kali basuhan dan lain-lain. (Lihat  Kasyifah al-Saja, hlm. 20)

Bahagian-bahagian anggota wudhu’ yang wajib hendaklah dibasuh secara sempurna. Kewajiban membasuh anggota wuduk dapat dilihat menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Laqit bin Sabirah, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَلِّلْ أَصَابِعَكَ وَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ

Maksudnya: “Selati jari-jari engkau dan sempurnakanlah wuduk…”

Riwayat al-Baihaqi (8515)

Membasuh di sini adalah mengalirkan air dan dikenakan aliran tersebut kepada anggota wuduk. Imam  al-Ramli menjelaskan: “Maksud membasuh ialah mengalirkan air ke atas sesuatu.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/209)

Di samping itu juga, Rasulullah SAW memberi ancaman kepada golongan yang tidak melaksanakan wuduk dengan betul dan bersikap sambil lewa terhadapnya, bahawa Baginda SAW bersabda:

تَخَلَّفَ عَنَّا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا فَأَدْرَكَنَا وَقَدْ أَرْهَقَتْنَا الصَّلَاةُ وَنَحْنُ نَتَوَضَّأُ فَجَعَلْنَا نَمْسَحُ عَلَى أَرْجُلِنَا فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنْ النَّارِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا

Maksudnya: “Nabi SAW pernah terlewat menyertai kami dalam suatu perjalanan yang kami lakukan. Ketika Baginda menyusuli kami, waktu solat sudah hampir habis. Kami lalu berwudhuk dengan hanya mengusap kaki kami (tidak sempurna membasuhnya). Maka Nabi SAW menyeru dengan suara yang keras: “Celakalah bagi tumit-tumit yang tidak basah akan masuk neraka.” Baginda menyeru hingga dua atau tiga kali.”

Riwayat al-Bukhari (60)

Isu Wudhuk Bagi Pekerja Mekanik

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Secara umumnya, bagi mereka yang bekerja di bengkel kebiasaan rutinnya tidak akan terlepas dengan penggunaan minyak hitam atau apa-apa minyak. Perkara ini adalah lumrah kebiasaan bagi mereka yang bergelar mekanik (pembaiki motokar). Oleh itu, golongan seperti ini akan menghadapi kesulitan dalam mengambil wuduk disebabkan anggota wuduk mereka yang terkena minyak tersebut.

Wuduk bermaksud perbuatan tertentu yang dimulai dengan niat atau menggunakan air pada anggota tertentu (muka, dua tangan, kepala, dua kaki) yang dimulai dengan niat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 43/315)

Kewajipan untuk menunaikan wuduk ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT seperti berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) Iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ

Maksudnya: “Allah SAW tidak menerima sembahyang seseorang antara kamu jika dia berhadas sehingga dia berwuduk.”

Riwayat al-Bukhari (6954) dan Abu Dawud (60)

Justeru, isu meratakan air wuduk ke atas anggota-anggota wuduk perlu dititikberatkan oleh semua orang Islam kerana tuntutan wuduk tersebut adalah untuk melaksanakan solat yang merupakan sebagai rukun Islam yang lima. Dalam satu hadis Nabi SAW mencela bagi mereka yang lalai dalam meratakan air ke atas anggota wuduk. Daripada ‘Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda:

وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Kecelakaan bagi tumit-tumit (yang tidak terbasuh) dengan hukuman neraka.”

Riwayat al-Bukhari (165) dan Ibn Majah (451)

Merujuk kepada persoalan di atas, kewajipan untuk menyampaikan air ke seluruh anggota wuduk adalah wajib bagi mereka yang hendak menunaikan solat.

Sekiranya ada sesuatu pada anggota yang menghalang air untuk sampai pada anggota yang wajib disuci, maka wajib untuk membuat pertimbangan dengan mendahulukan untuk menghilangkan penghalang tersebut sehingga masuk waktu. Maka penghalang itu hilang dan berwuduklah dengan wuduk yang sahih. (Lihat Majmu’ wa Rasail, 11/146)

Penghalang yang timbul dan jelas kelihatan oleh pancaindera wajib dibersihkan terlebih dahulu sebelum wuduk diambil. Imam al-Nawawi berkata: “Jika terdapat di atas anggota wuduk bahan-bahan seperti lilin, tepung, inai dan seumpama dengannya yang boleh menghalang air ke anggota, maka tidak sah taharahnya (wuduk), tidak kira sama ada banyak ataupun sedikit. Namun, jika hanya kesannya sahaja berbaki tanpa jirimnya (ʿain) seperti warna inai atau kesan lemak cair yang berbaki di atas tangan atau anggota wuduk lain yang mana tidak menghalang air untuk sampai dan mengalir di atas kulit anggota, dalam masa sama tidak melekat (iaitu air tidak melekat pada kesan minyak di atas tangan). Maka sah taharahnya(wuduk).” (Lihat al-Majmu’, 1/467)

Selain itu, bukan semua bahan yang melekat pada kulit itu menghalang air daripada sampai ke anggota wudhu’. Imam al-Nawawi menyebut: “Sekiranya berbaki pada tangan kesan inai dan warnanya tanpa ain fizikalnya, atau kesan minyak cair yang jika air menyentuh dan lalu atas organ itu nescaya tidak akan melekat; sahlah taharahnya.” (Lihat al-Majmu’, 1/467-468)

Dalam Hasyiah al-Syarwani, Syeikh al-Syarwani menyebut: “Sekiranya pada anggotanya terdapat kesan minyak yang cair (tidak pejal) lalu dia berwudhuk kemudian air wudhuk itu menyentuh dan lalu di atas kawasan anggota yang berminyak itu, sekalipun tidak melekat (kerana sifat minyak yang tidak bercampur dengan air), sah wudhuknya. Ini kerana melekatnya air bukanlah syarat sah wudhuk.” (Lihat Hasyiah al-Syarwani `ala al-Tuhfah, 1/187)

Kesimpulan

Dalam perkara ini, kami berpandangan bahawa wajib kepada seorang muslim itu sebelum menyempurnakan wuduk untuk menanggalkan atau menghilangkan terlebih dahulu apa-apa yang menghalangi air untuk sampai pada kulit anggota wuduk dengan sempurna. Hal ini kerana terdapat ancaman yang jelas daripada Nabi SAW kepada mereka yang lalai dalam meratakan air ke seluruh anggota wuduk seperti mana hadis di atas. Sekiranya penghalang tersebut hilang, maka berwuduklah dan solatlah dengan khusyuk.

Namun begitu, bagi golongan yang menghadapi kesukaran dalam berbuat demikian disebabkan oleh pekerjaan mereka seperti tukang cat atau mekanik (pembaiki motokar), maka bagi mereka kelonggaran bagi kesan-kesan yang sedikit seperti cat yang sedikit atau minyak yang sedikit setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menghilangkannya. Ini kerana mengambil kira pekerjaan mereka yang bergelumang dengan perkara tersebut.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 28 Mac 2022 bersamaan 25 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *