#3890: Bacaan Ketika Menziarahi Kubur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah bacaan yang boleh dibaca ketika menziarahi kubur? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum menjawab persoalan di atas, perlu dijelaskan terlebih dahulu berkenaan hukum asal dalam menziarahi kubur itu sendiri. Dalam isu ini, terdapat beberapa hadith yang boleh dijadikan panduan, antaranya:

Pertama, daripada Abu Said al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنِّي نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوهَا، فَإِنَّ فِيهَا عِبْرَةً

Maksudnya: “Sesungguhnya aku dahulunya melarang kamu daripada ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kerana padanya ibrah (pengajaran).

Riwayat Ahmad (11329); al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (7447) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (1386)

Kedua, daripada Ibn Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوا الْقُبُورَ، فَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي الدُّنْيَا، وَتُذَكِّرُ الآخِرَةَ

Maksudnya: “Aku dahulunya melarang ke atas kamu ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kubur, kerana ia menzuhudkan dirimu dan mengingatkanmu kepada akhirat.”

Riwayat Ibn Majah (307) dan Ibn Hibban (981). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanadnya ada;ah dha‘if dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (981).

Ketiga, daripada Buraidah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُنْتُ نَهَيتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ؛ فَمَنْ أَرَاد أَنْ يَزُورَ؛ فلْيزُرْ

Maksudnya: “Aku dahulunya melarang kamu daripada ziarah kubur. Maka (sekarang) sesiapa yang mahu, maka ziarahlah.”

Riwayat Abu Daud (3235); al-Tirmizi (1054); al-Nasa’i (2033) dan Ahmad (23052)

Berdasarkan kepada beberapa hadith di atas, para ulama berpendapat bahawa ziarah kubur hukumnya adalah sunat untuk keinsafan dan mengingatkan akhirat.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, terdapat beberapa doa yang boleh dibaca ketika menziarahi kubur. Di antaranya riwayat daripada Sulaiman bin Buraidah daripada bapanya, katanya:

كانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يُعَلِّمُهُمْ إِذَا خَرَجُوا إِلَى المَقَابِرِ أَنْ يَقُولُوا: السَّلاَمُ عَلَى أهْلِ الدِّيَارِ: مِنَ المُؤْمنِيْنَ وَالمُسْلِمِيْنَ، وَإِنَّا إنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لاَحِقُونَ، نَسْأَلُ الله لَنَا وَلَكُمُ العَافِيةَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengajarkan kepada mereka, apabila mereka keluar untuk menziarahi kubur untuk mengucapkan: ‘Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kampung (kubur), daripada orang-orang Mukmin dan Muslim. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan mengikuti kamu. Kami memohon kepada Allah kesejahteraan bagi kami dan juga kamu.’

Riwayat Muslim (975)

Begitu juga riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

مَرَّ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِقُبُورِ الـمَدِيْنةِ، فَأَقْبلَ عَلَيْهِمْ بِوَجْهِهِ فَقَالَ: السَّلاَمُ علَيْكُمْ يَا أهْلَ القُبُورِ، يَغْفِرُ اللهُ لَنا وَلَكُمْ، أنْتُم سَلَفُنَا، وَنَحْنُ بِالأَثَرِ

Maksudnya: “Ketika Rasulullah SAW melewati perkuburan Madinah, maka Baginda memalingkan mukanya ke arah mereka (kubur tersebut) lalu mengucapkan: ‘Salam sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni kubur. Semoga Allah mengampuni kami dan juga kamu. Kamu telah mendahului kami dan kami akan menyusul.’

Riwayat al-Tirmizi (1393)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan kedua hadith ini, beliau menyebutkan, kedua-dua hadith ini menunjukkan kepada anjuran atau galakan untuk menziarahi kubur bagi tujuan mendoakan orang yang telah meninggal dunia, memohon keampunan buat mereka. Begitu juga bagi mengambil iktibar dan pengajaran dengan ziarah tersebut.

Hadith ini juga digalakan (sunat) untuk dibaca ketika menziarahi kubur kerana ia merupakan doa Nabi SAW kepada ahli Baqi‘ dan doa yang diajarkan oleh Baginda kepada Aisyah R.Anha. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/273-274).

Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan semula di sini doa yang boleh dibaca ketika menziarahi kubur yang merupakan doa yang dibaca oleh Baginda SAW. Doa tersebut ialah:

السَّلاَمُ عَلَى أهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الـمُؤْمنِيْنَ وَالـمُسْلِمِيْنَ، وَإِنَّا إنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لاَحِقُونَ، نَسْأَلُ الله لَنَا وَلَكُمُ العَافِيةَ

Maksudnya: “Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kampung (kubur), daripada orang-orang Mukmin dan Muslim. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan mengikuti kamu. Kami memohon kepada Allah kesejahteraan bagi kami dan juga kamu.

السَّلاَمُ علَيْكُمْ يَا أهْلَ القُبُورِ، يَغْفِرُ اللهُ لَنا وَلَكُمْ، أنْتُم سَلَفُنَا، وَنَحْنُ بِالأَثَرِ

Maksudnya: “Salam sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni kubur. Semoga Allah mengampuni kami dan juga kamu. Kamu telah mendahului kami dan kami akan menyusul.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *