#4000: Terlupa Beri Makan Kucing Yang Dikurung

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada seekor kucing Parsi yang cantik. Satu hari, saya musafir dan mengurung kucing tersebut. Saya hanya beri makan sedikit musafir saya mengambil masa seminggu. Apabila pulang kucing tersebut telah mati. Bagaimana keadaan saya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

(Surah al-Baqarah: 195)

Berihsan kepada manusia adalah wajib. Begitu juga, kepada haiwan. Antara bentuk ihsan kepada haiwan adalah dengan memberi makan, minum, sementelahan lagi, haiwan peliharaan kita dan di bawah tanggungan kita. Banyak hadith yang menunjukkan betapa hukumnya berdosa kepada mereka yang mengabaikan tanggungjawab dalam memberi makan kepada haiwan peliharaan sehingga akhiranya membawa kematian. 

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: “Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makanan, bahkan tidak membiarkannya memakan serangga-serangga tanah.

Riwayat al-Bukhari (3318), dan Muslim (2242)

Al-Khatib al-Syirbini menukilkan bahawa haiwan bahimah ini ialah haiwan yang muhtaram (yang dimuliakan yakni bukan haiwan perosak), tidak terhad kepada haiwan ternakan berkaki empat, seperti mana yang disebut oleh Imam al-Azra‘i. Menjadi kewajipan bagi pemilik haiwan berkenaan untuk menyediakan makanan dan minuman sekadar boleh menghilangkan kelaparan dan kehausan. (Lihat al-Iqna‘, 2/482).

Walaupun begitu, dalam kes saudara kami berpendapat isu ini lebih kepada tersilap jangkaan atau terlupa dan kita mengharapkan semoga Allah SWT mengampuni dosa kita. Rasulullah SAW bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya.”

Riwayat Ibn Majah (2043)

Justeru, hendaklah beringat apabila kita bermuamalah dengan haiwan. Makan, minum binatang perlulah diberi kecaknaan agar kita selamat daripada bersifat menzalimi haiwan peliharaan kita sendiri. Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.

(Surah al-Baqarah: 286)

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *