Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sekarang ini tidak dapat dinafikan bahawa penyu sedang mengalami kepupusan. Justeru, soalan saya, bolehkah pihak berkuasa atau kerajaan khususnya mengambil inisiatif untuk memelihara dan membiakkan penyu bagi memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan dan pengenalan ringkas mengenai penyu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, penyu didefinisikan sebagai sejenis kura-kura besar yang bertelur banyak.[1]

Secara ringkasnya, penyu ialah reptilia bercangkerang yang hidup terutamanya dalam air. Kebanyakan spesies penyu boleh menarik masuk kepala, kaki dan ekor ke dalam cangkerangnya yang berfungsi sebagai perisai. Tetapi beberapa jenis penyu tidak boleh berbuat demikian. Beberapa haiwan bertulang belakang juga mempunyai perlindungan semula jadi sedemikian. Seperti semua reptilia, penyu adalah berdarah sejuk — iaitu suhu badannya kira-kira sama dengan suhu air atau udara di sekelilingnya. Penyu tidak boleh panas atau aktif dalam cuaca sejuk, oleh itu ia tidak boleh hidup di kawasan yang sejuk sepanjang tahun. Tidak seperti kura-kura yang hanya hidup di darat, penyu menghabiskan hampir seluruh hidupnya sama ada dalam air tawar atau dalam air laut. Banyak penyu menghabiskan seluruh hidupnya di dalam beberapa kilometer dari tempat ia menetas. Tetapi, yang lain berhijrah beribu-ribu kilometer dari tempat lahirnya.

Penyu belimbing

https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/f/f0/Penyu_Belimbing_%28Dermochelys_coriacea%29.jpg/330px-Penyu_Belimbing_%28Dermochelys_coriacea%29.jpg

Penyu berbeza-beza saiznya. Spesiesnya yang terbesar, penyu belimbing laut, membesar dari satu hingga 2.5 meter panjangnya. Tetapi penyu rawa biasa di Amerika Utara, panjangnya hanya kira-kira 10 sentimeter. Penyu awal hidup lebih daripada 185 juta tahun dahulu. Archelon, penyu laut kira-kira 25 juta tahun dahulu, membesar sepanjang melebihi 3.5 meter. Haiwan ini telah pupus, seperti juga spesies-spesies lain. Kini, banyak spesies penyu menghadapi kepupusan kerana manusia menangkapnya dan untuk dimakan serta untuk cangkerang dan telurnya. Manusia juga memusnahkan habitatnya untuk pembangunan bandar dan ladang.

Penyu mempunyai cangkerang yang lebih leper, lebih bergores arus kura-kura. Sesetengah spesies penyu, termasuk penyu lumpur, mempunyai plastron yang bersendi. Plastron boleh ditutup rapat pada karapas selepas kepala, kaki dan ekor penyu masuk ke dalam cangkerang. Cangkerang kebanyakan jenis penyu berwarna hitam kosong, perang, atau hijau tua. Tetapi, penyu mempunyai tanda-tanda berwarna hijau terang, jingga, merah atau kuning. Kepala kebanyakan spesies penyu dilitupi sisik keras. Penyu tidak mempunyai gigi, tetapi mempunyai muncung yang tepinya keras, tajam yang digunakan untuk memotong makanan. Banyak penyu mempunyai rahang yang kuat, yang digunakan untuk mengoyak makanan dan menangkap mangsa.

Kebanyakan penyu memakan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Makanan penyu berbeza-beza bergantung pada spesies. Beberapa jenis penyu, termasuk penyu hijau, memakan hampir keseluruhannya tumbuh-tumbuhan. Penyu air tawar tertentu, seperti penyu peta dan penyu cangkerang lembut hanya memakan haiwan. Spesies yang hidup di kawasan yang musim sejuknya teruk mesti berhibernasi. Kebanyakan penyu air tawar berhibernasi dengan mengorek lubang di dasar kolam, sungai, atau kawasan berair yang panas, berlumpur. Sesetengah spesies penyu boleh hidup dalam keadaan yang panas, kering dengan mengehadkan aktivitinya yang dikenali sebagai estivasi. Estivasi juga sama seperti hibernasi. (Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP, 16/819-821).

https://data.anubah.com/wp-content/uploads/2016/11/anaku.jpg

Penyu adalah daripada superkeluarga Chelonioidea, sejenis reptilia daripada order Testudines. Terdapat tujuh spesies penyu, iaitu Penyu hijau, Penyu tempayan, Penyu karah, Penyu pipih, Penyu belimbing, Penyu lipas dan Penyu Kempi. Penyu digolongkan di dalam haiwan vertebrata (bertulang belakang), kelas reptilia sama dengan ular, cicak, kura-kura, labi-labi dan tuntung. Penyu juga mempunyai kulit yang bersisik (di bahagian tidak bercangkerang), bernafas melalui paru-paru, mempunyai suhu badan yang mengikut suhu persekitaran, bertelur dan merupakan haiwan marin.

Kesemua spesies penyu diancam bahaya kepupusan disebabkan mengalami banyak ancaman semulajadi dan ancaman manusia sepanjang hayat mereka. Setiap tahun, populasi penyu yang mendarat untuk bertelur semakin berkurangan. IUCN meletakkan haiwan ini sebagai spesies terancam. Antara ancaman yang dihadapi oleh penyu adalah pemburuan daging dan telurnya secara haram, terutamanya di China, Filipina, India, Indonesia dan beberapa negara di Amerika. Dianggarkan 35,000 penyu dibunuh setahun di Mexico dan Nicaragua sehingga ada ahli pemulihara di Mexico dan Amerika Syarikat melancarkan kempen “Don’t Eat Sea Turtle” untuk mengurangkan perdagangan produk haiwan ini.[2]

Memelihara penyu

Dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya, Islam tidak melarang daripada memelihara haiwan-haiwan tertentu seperti burung, ikan, kucing dan lain-lain termasuklah kura-kura mahupun penyu. Keharusan itu adalah selagi mana tidak berlaku zalim terhadap binatang tersebut serta tiada larangan yang menghalang daripada memelihara binatang-binatang tersebut seperti babi dan anjing. Perkara ini boleh dilihat berdasarkan hadith Nabi SAW daripada riwayat Anas bin Malik RA, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ـ قَالَ أَحْسِبُهُ فَطِيمٌ ـ وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ— نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ، — فَرُبَّمَا حَضَرَ الصَّلاَةَ وَهُوَ فِي بَيْتِنَا، فَيَأْمُرُ بِالْبِسَاطِ الَّذِي تَحْتَهُ فَيُكْنَسُ وَيُنْضَحُ، ثُمَّ يَقُومُ وَنَقُومُ خَلْفَهُ فَيُصَلِّي بِنَا‏.‏

Maksudnya: “Nabi SAW merupakan insan yang paling baik akhlaknya. Aku mempunyai seorang saudara lelaki yang diberi gelaran Abu Umair – perawi berkata: Aku kira dia sudah berhenti daripada meminum susu ibu. — Sekiranya Baginda datang, Baginda akan bertanya: ‘Wahai Abu ‘Umair! Apa yang sedang dilakukan al-Nughair?’ — iaitu sejenis burung pipit yang selalu dia bermain-main dengannya. — Kadang-kala apabila tibanya waktu solat sedangkan Baginda berada di rumah kami, maka Baginda menyuruh untuk disapu (dibersihkan) tikar yang duduk di atasnya, lalu direnjis dengan air. Kemudian Baginda solat dan kami pun berdiri di belakang Baginda, Baginda mengimamkan kami.

Riwayat al-Bukhari (6203)

Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan, berdasarkan hadith ini, dibolehkan membelanjakan harta untuk permainan kanak-kanak pada perkara yang harus dan dibolehkan juga mengurung burung di dalam sangkar dan semisalnya, dan mencukur sayapnya. (Lihat Fath al-Bari, 10/583).

Bahkan diwajibkan bagi sesiapa yang memelihara jenis-jenis haiwan yang dibolehkan untuk dipelihara dengan berbuat baik kepada mereka, memberikan mereka makan sebagaimana yang mereka perlukan. Hal ini kerana terdapat peringatan daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: “Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makanan, bahkan tidak membiarkannya memakan serangga-serangga tanah.

Riwayat al-Bukhari (3318), dan Muslim (2242)

Al-Khatib al-Syirbini menukilkan bahawa haiwan bahimah ini ialah haiwan yang muhtaram (yang dimuliakan yakni bukan haiwan perosak), tidak terhad kepada haiwan ternakan berkaki empat, seperti mana yang disebut oleh Imam al-Azra‘i. Menjadi kewajipan bagi pemilik haiwan berkenaan untuk menyediakan makanan dan minuman sekadar boleh menghilangkan kelaparan dan kehausan. (Lihat al-Iqna‘, 2/482).

Tambahan lagi, memelihara haiwan, sama ada kerana ia haiwan yang comel atau untuk hiasan atau untuk tujuan lain, adalah dibenarkan selagi mana ia termasuk dalam manfaat yang boleh diperoleh di sisi syarak serta haiwan itu diberi makan dan minum dengan baik, maka boleh untuk memeliharanya di dalam sangkar, akuarium dan seumpamanya. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Qalyubi dalam hasyiahnya bahawa dibolehkan bagi seseorang untuk menahan (memelihara) haiwan walaupun sekadar untuk mendengar suaranya atau melihat kecantikannya, atau begitu juga memelihara anjing kerana suatu keperluan dengan syarat haiwan-haiwan itu diberi makan. (Lihat Hasyiata Qalyubi dan ‘Umairah, 4/95).

Apatah lagi jika tujuan pemeliharaan penyu itu adalah demi menjamin kelangsungannya supaya ia dapat dilihat dan dikenali oleh generasi akan datang, maka ia adalah lebih-lebih lagi dibolehkan. Bahkan kami melihat ia adalah suatu usaha yang sangat baik.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa memelihara penyu adalah diharuskan sebagaimana haiwan-haiwan lain. Sekalipun begitu, kami ingin tegaskan di sini bahawa pemeliharaan penyu terbatas hanya kepada badan tertentu atau mereka yang diberi keizinan oleh pihak berkuasa tempatan bagi menjalankan usaha pemeliharaan tersebut. Ini kerana penyu termasuk dalam jenis haiwan yang terancam dan dilindungi, khususnya dalam negara kita, Malaysia.

Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya:Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Justeru, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf — yakni baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=penyu. Diakses pada 31 Oktober 2023.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Penyu. Diakses pada 10 Februari 2022.

Bertarikh: 1 November 2023 bersamaan 17 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply