#4007: Memakan Ikan Paus

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum memakan ikan paus? Ini kerana saya dengar ikan paus mempunyai rupa seperti ikan, tetapi ia bukan ikan sebaliknya termasuk dalam mamalia. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu pengenalan ringkas berkenaan ikan paus. Secara ringkasnya, paus ialah haiwan laut yang besar yang rupanya seperti ikan, tetapi paus bukan ikan. Ia tergolong dalam kumpulan haiwan yang dikenali sebagai mamalia.[1] Mamalia-mamalia lain termasuk cimpanzi, anjing dan manusia. Seperti mamalia ini, paus mempunyai otak yang terbina dengan baik dan ia adalah antara kesemua haiwan yang paling kompleks dari segi kelakuannya.

Kebanyakan paus adalah makhluk yang sangat besar. Sejenis paus, iaitu paus biru adalah haiwan terbesar yang pernah hidup. Paus biru boleh membesar sehingga 30 meter panjangnya dan beratnya boleh mencapai lebih daripada 200 tan metrik. Tetapi, sesetengah jenis paus jauh lebih kecil daripada paus biru. Beluga dan narwhal, misalnya, membesar hanya kira-kira tiga hingga lima meter panjangnya.

Paus mempunyai bentuk asas yang sama dengan ikan, tetapi paus berbeza daripada ikan dalam banyak segi. Perbezaan yang paling ketara ialah ekornya. Ikan mempunyai sirip ekor yang tegak (atas dan bawah), tetapi paus mempunyai sirip ekor ke sisi. Ikan bernafas melalui insang yang menyerap oksigen terlarut daripada air. Paus, sebaliknya, mempunyai paru-paru dan mesti bergerak ke permukaan air untuk bernafas. Tetapi paus boleh menahan nafas untuk tempoh yang lama. Satu jenis paus, paus sperma, boleh menahan nafasnya selama dua jam. Seperti mamalia lain, paus melahirkan anak hidup-hidup dan menyusukan anaknya. Bagaimanapun, kebanyakan ikan bertelur dan tidak menyusukan anaknya. Paus juga berdarah panas- iaitu suhu badannya kekal lebih kurang sama tanpa mengira suhu di sekelilingnya. Hampir semua ikan berdarah sejuk. Suhu badannya berubah mengikut perubahan suhu air. Sepanjang zaman-berzaman paus beransur-ansur kehilangan sesetengah ciri mamalia. Misalnya, badan kebanyakan mamalia diliputi bulu, tetapi paus hanya mempunyai beberapa bulu keras di atas kepalanya. Kebanyakan mamalia juga berkaki empat. Paus tidak mempunyai kaki belakang. Satu satunya sisa-sisa kaki yang tinggal adalah dua tulang pinggul yang kecil. Di samping itu, kaki depan paus terbina menjadi kaki sirip, yang membantunya bergerak dan mengimbangi dirinya.

Manusia memburu paus sejak zaman prasejarah. Pada zaman dahulu, manusia membunuh paus untuk daging dan minyaknya, yang digunakan sebagai bahan api untuk lampu dan untuk memasak Sehingga tahun 1970-an, minyak paus dan lain-lain bahagian paus digunakan untuk membuat pelbagai keluaran, seperti kosmetik, baja, gam, ubat, dan sabun. Kini, penduduk Jepun dan juga penduduk asli di kawasan Artik, masih memakan daging paus.

Pada tahun 1900-an, kapal pemburu paus membunuh sejumlah besar paus dan membahayakan kehidupan sesetengah spesies paus. Oleh sebab ini, Suruhanjaya Pemburuan Paus Antarabangsa satu kumpulan yang terdiri daripada negara utama pemburu paus, mengenakan Moratorium (penghentian sementara) ke atas pemburuan paus secara komersial. Sesetengah kerajaan melarang mengimport keluaran paus. Paus tergolong dalam kumpulan mamalia yang dikenali sebagai setasea. Nama ini berasal daripada perkataan Latin yang bermakna haiwan laut yang besar. Ahli sains telah mengenal pasti sekurang- kurangnya 75 jenis setasea. Pelbagai jenis setasea ini dibahagikan kepada dua kumpulan utama — paus baleen, yang tidak bergigi, dan paus bergigi.

https://cdn.britannica.com/55/73255-050-5BD25091/Whales.jpg

Di antara contoh ikan paus yang terdiri dalam kumpulan paus baleen ialah paus biru, paus sei, paus betul hitam, paus sirip, paus kelabu, paus kepala busur, paus minke, dan paus kelasa. Manakala di antara contoh ikan paus yang terdiri dalam kumpulan paus bergigi ialah paus sperma, paus pembunuh, paus pandu, paus Baird berparuh, Narwhal dan Beluga. (Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP, 16/245-248).

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya kita hendaklah mengetahui bahawa haiwan air ialah haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air, tidak kira air masin atau air tawar, sama ada di laut, sungai, tasik, air telaga atau lain-lain. Apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama (di atas darat). (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/127-128).

Pada asasnya, haiwan air dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548). Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548).

Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 96 seperti yang telah disebutkan di atas. Begitu juga, riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Timbul persoalan, bolehkah ikan paus digolongkan sebagai hidupan air yang mana halal bangkainya tanpa disembelih atau ia tidak boleh dimasukkan sebagai hidupan air kerana ia daripada jenis haiwan mamalia, lalu seterusnya bagi menghalalkannya memerlukan kepada sembelihan. Bagi menjawab hal ini, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/566).

Tambahan pula Imam al-Syafi‘i juga ada menyebutkan bahawa untuk menentukan haiwan tersebut dalam kategori haiwan buruan yang mana, maka lihatlah haiwan itu hidupnya lebih banyak di darat atau di laut. Termasuk juga dalam kategori haiwan yang mengambil hukum haiwan laut ialah haiwan yang tinggal di dalam air perigi, paya, air tawar, air masin, air sedikit, air banyak dan lain-lain. (Lihat al-Umm, 2/199; 2/230).

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa ikan paus termasuk dalam jenis hidupan air sebagaimana difahami melalui kenyataan di atas.

Selain daripada itu, di antara yang menunjukkan kepada kehalalan ikan paus tanpa memerlukan kepada sembelihan ini juga adalah hadith yang dibawakan oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A, katanya:

بَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْثًا قِبَلَ السَّاحِلِ، فَأَمَّرَ عَلَيْهِمْ أَبَا عُبَيْدَةَ بْنَ الجَرَّاحِ وَهُمْ ثَلاَثُ مِائَةٍ، وَأَنَا فِيهِمْ، فَخَرَجْنَا حَتَّى إِذَا كُنَّا بِبَعْضِ الطَّرِيقِ فَنِيَ الزَّادُ، فَأَمَرَ أَبُو عُبَيْدَةَ بِأَزْوَادِ ذَلِكَ الجَيْشِ، فَجُمِعَ ذَلِكَ كُلُّهُ، فَكَانَ مِزْوَدَيْ تَمْرٍ، فَكَانَ يُقَوِّتُنَا كُلَّ يَوْمٍ قَلِيلًا قَلِيلًا حَتَّى فَنِيَ، فَلَمْ يَكُنْ يُصِيبُنَا إِلَّا تَمْرَةٌ تَمْرَةٌ، فَقُلْتُ: وَمَا تُغْنِي تَمْرَةٌ؟ فَقَالَ: لَقَدْ وَجَدْنَا فَقْدَهَا حِينَ فَنِيَتْ. قَالَ: ثُمَّ انْتَهَيْنَا إِلَى البَحْرِ، فَإِذَا حُوتٌ مِثْلُ الظَّرِبِ، فَأَكَلَ مِنْهُ ذَلِكَ الجَيْشُ ثَمَانِيَ عَشْرَةَ لَيْلَةً، ثُمَّ أَمَرَ أَبُو عُبَيْدَةَ بِضِلَعَيْنِ مِنْ أَضْلاَعِهِ، فَنُصِبَا ثُمَّ أَمَرَ بِرَاحِلَةٍ، فَرُحِلَتْ ثُمَّ مَرَّتْ تَحْتَهُمَا فَلَمْ تُصِبْهُمَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengirim suatu pasukan ke arah pesisir pantai dan melantik Abu ‘Ubaidah bin Jarrah sebagai pemimpin mereka. Mereka berjumlah 300 orang dan aku berada di antara mereka. Kami pun berangkat hingga berada di sebahagian jalan, bekalan pun habis. Abu ‘Ubaidah memerintahkan agar dikumpulkan semua bekalan pasukan, dan dikumpul dua karung kurma. Itulah yang menjadi makanan kami setiap hari sehingga habis. Kemudian kami tidak mendapatkan bahagian melainkan sebiji kurma. Aku berkata: “Apakah sebiji kurma itu mencukupi?” Katanya: “Kami merasa kekurangan ketika ia habis.” Jabir berkata: “Kemudian kami sampai di tepi laut dan tiba-tiba di sana terdapat seekor ikan paus yang besarnya sama seperti bukit kecil. Pasukan itu memakan ikan tersebut selama 18 malam. Kemudian Abu ‘Ubaidah memerintahkan agar kedua tulang rusuk ikan itu ditegakkan, lalu seorang diperintahkan untuk menunggangi haiwan dan melalui di bawahnya, maka dia tidak menyentuh kedua tulang itu.

Riwayat al-Bukhari (2483)

Begitu juga dalam riwayat lain datang dengan lafaz:

بَعَثَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلاَثَ مِائَةِ رَاكِبٍ أَمِيرُنَا أَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الجَرَّاحِ نَرْصُدُ عِيرَ قُرَيْشٍ»، فَأَقَمْنَا بِالسَّاحِلِ نِصْفَ شَهْرٍ، فَأَصَابَنَا جُوعٌ شَدِيدٌ حَتَّى أَكَلْنَا الخَبَطَ، فَسُمِّيَ ذَلِكَ الجَيْشُ جَيْشَ الخَبَطِ، فَأَلْقَى لَنَا البَحْرُ دَابَّةً يُقَالُ لَهَا العَنْبَرُ، فَأَكَلْنَا مِنْهُ نِصْفَ شَهْرٍ، وَادَّهَنَّا مِنْ وَدَكِهِ حَتَّى ثَابَتْ إِلَيْنَا أَجْسَامُنَا، فَأَخَذَ أَبُو عُبَيْدَةَ ضِلَعًا مِنْ أَضْلاَعِهِ، فَنَصَبَهُ فَعَمَدَ إِلَى أَطْوَلِ رَجُلٍ مَعَهُ، قَالَ سُفْيَانُ: «مَرَّةً ضِلَعًا مِنْ أَضْلاَعِهِ فَنَصَبَهُ وَأَخَذَ رَجُلًا وَبَعِيرًا فَمَرَّ تَحْتَهُ» قَالَ جَابِرٌ: وَكَانَ رَجُلٌ مِنَ القَوْمِ نَحَرَ ثَلاَثَ جَزَائِرَ، ثُمَّ نَحَرَ ثَلاَثَ جَزَائِرَ ثُمَّ نَحَرَ ثَلاَثَ جَزَائِرَ، ثُمَّ إِنَّ أَبَا عُبَيْدَةَ نَهَاهُ وَكَانَ عَمْرٌو يَقُولُ: أَخْبَرَنَا أَبُو صَالِحٍ، أَنَّ قَيْسَ بْنَ سَعْدٍ قَالَ لِأَبِيهِ: كُنْتُ فِي الجَيْشِ فَجَاعُوا، قَالَ انْحَرْ، قَالَ: نَحَرْتُ، قَالَ: ثُمَّ جَاعُوا، قَالَ: انْحَرْ، قَالَ: نَحَرْتُ، قَالَ: ثُمَّ جَاعُوا، قَالَ انْحَرْ قَالَ: نَحَرْتُ، ثُمَّ جَاعُوا، قَالَ: انْحَرْ، قَالَ: نُهِيتُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengirim kepada kami dalam pasukan yang berjumlah 300 penunggang. Pemimpin kami ialah Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah. Kami mengintip rombongan dagang Quraisy. Kami pun tinggal di pantai selama setengah bulan, lalu kami mengalami kelaparan sehingga kami memakan daun-daun pokok. Oleh kerana itu, pasukan tersebut disebut pasukan khabat. Kemudian laut menghempaskan satu haiwan yang biasa disebut al-Anbar untuk kami. Maka kami memakannya selama setengah bulan dan melumurkan rambut dan badan kami dengan minyaknya sehingga kami menjadi kuat. Abu ‘Ubaidah mengambil salah satu tulang rusuknya dan menegakkannya, lalu menyuruh lelaki yang paling tinggi di antara anggota pasukan yang bersamanya.” Sufyan berkata: “Tulang rusuk daripada tulang-tulang rusuknya dan menegakkannya.” Lalu Abu ‘Ubaidah mengambil seorang lelaki dan seekor unta untuk lalu di bawahnya. Jabir berkata: “Seorang lelaki daripada kaum itu menyembelih tiga unta, kemudian menyembelih tiga unta, kemudian menyembelih tiga unta, kemudian Abu ‘Ubaidah melarangnya.” ‘Amr berkata: Abu Saleh mengkhabarkan kepada kami, sesungguhnya Qais bin Sa’ad berkata kepada bapanya: Aku berada dalam satu pasukan, lalu mereka kelaparan. Dia berkata: “Sembelihlah.” Dia berkata: “Aku telah menyembelih.” Dia berkata: Kemudian mereka kelaparan. Dia berkata: “Sembelihlah.” Dia berkata: “Aku telah menyembelih.” Dia berkata: Kemudian mereka kelaparan. Dia berkata: “Sembelihlah.” Dia berkata: “Aku telah menyembelih.” Kemudian mereka kelaparan. Dia berkata: “Sembelihlah.” Dia berkata: “Aku telah dilarang.

Riwayat al-Bukhari (4361)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa ikan paus adalah halal dimakan. Hal ini adalah berdasarkan kepada keumuman nas yang menghalalkan semua hidupan laut dan bangkainya selagi mana tiada dalil lain yang menunjukkan kepada pengharamannya dan tidak memudaratkan. Apatah lagi, terdapat hadith sahih yang menunjukkan Nabi SAW dan para sahabat pernah memakan ikan paus yang dipanggil sebagai al-Anbar yang dijumpai terdampar di tepi pantai.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, mamalia ialah haiwan bertulang belakang, ba­dannya berbulu, jantungnya terbahagi kpd empat kebuk, dan menyusui anaknya. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=mamalia. Diakses pada 31 Oktober 2023)

Bertarikh: 1 November 2023 bersamaan 17 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *