#4076: Menyebut “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّه” kepada Mayat Setelah Selesai Dikebumikan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah disunatkan untuk menyebut “Lailahaillah” kepada mayat setelah mayat tersebut selesai dikebumikan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Seterusnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Dhamrah bin Habib (salah seorang tabi‘in), katanya:

كَانُوا يَسْتَحِبُّونَ إذَا سُوِّيَ عَلَى المَيِّتِ قَبْرُهُ، وَانْصَرَفَ النَّاسُ عَنْهُ، أنْ يُقَالَ عِنْدَ قَبْرِهِ: يَا فُلاَنُ، قُلْ: لاَ إِلَهَ إلاَّ اللهُ. ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، يَا فُلاَنُ، قُلْ: رَبَيّ اللهُ، وَدينِي الإِسْلاَمُ، وَنَبِيِّى مُحَمَّدٌ

Maksudnya: “Mereka dahulunya suka apabila kubur seseorang telah diratakan dan orang ramai pun telah pergi meninggalkannya untuk diucapkan di sisi kuburnya, ‘Wahai si fulan, katakanlah: Lailahaillah,’ sebanyak tiga kali. ‘Wahai si fulan, katakanlah: Tuhanku ialah Allah, agamaku adalah Islam dan nabiku ialah Muhammad.’

Riwayat al-Tabarani (8/249)

Syeikh Abdullah al-Bassam menilai hadith di atas sebagai dha‘if (lemah). Kemudian, beliau menyebutkan, al-Tabarani meriwayatkannya daripada Sa‘id bin Abdullah al-Azdi dan dia adalah majhul (tidak dikenali). Begitu juga Imam al-Nawawi dan al-‘Iraqi turut menyatakan bahawa sanadnya adalah lemah. Manakala Ibn al-Qayyim pula menyatakan, hadithnya tidak sahih, dan apa yang kami tarjihkan bahawa hadith ini adalah maqtu‘ dan mauquf kepada Dhamrah bin Habib dan beliau ialah seorang tabi‘in.

Kemudian, Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan bahawa hadith ini menyerupai hadith Abu Umamah berkenaan talqin, di mana Rasulullah SAW bersabda:

 إِذَا مَاتَ أَحَدٌ منكم، فَسَوَّيْتُمِ التُّرَابَ عَلَى قَبْرِهِ، فَلْيَقُمْ أَحَدُكُمْ عَلَى رَأْسِ قَبْرِهِ، ثُمَّ لِيَقُلْ: يَا فُلَانَ بْنَ فُلَانَةَ، اذْكُرْ مَا كنتَ عَلَيْهِ في الدُّنْيَا من شَهَادَة أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، وَأَنَّكَ رَضِيتَ بِاللهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا، وَبِالْقُرْآنِ إِمَامًا

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu meninggal dunia dan kamu telah ratakan tanah pada kuburnya (yakni selesai mengebumikannya). Lalu hendaklah seseorang daripada kamu berdiri di sisi kuburnya, kemudian berkata: ‘Wahai si fulan bin fulanah, sebutlah apa yang kamu berada di atasnya (berpegang teguh dengannya) ketika di dunia iaitu persaksian bahawa tiada Tuhan yang sebenar-benarnya berhak untuk disembah melainkan hanya Allah ( لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ) dan Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, sesungguhnya kamu redha dengan Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, Muhammad sebagai nabi dan al-Quran sebagai imam (petunjuk).’

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, hadith ini tidak sahih untuk menghukumkannya sebagai marfu‘, bahkan ia telah dinilai sebagai dha‘if oleh ramai ulama seperti pengarang Asna al-Matalib, Ibn al-Solah, Imam al-Nawawi, al-‘Iraqi, al-Hafiz Ibn Hajar dan al-San‘ani.

Al-Athram menyebutkan bahawa beliau pernah bertanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal: “Inilah apa yang mereka lakukan ketika selesai mengebumikan jenazah, di mana seseorang berdiri dan berkata: ‘Wahai Fulan bin Fulanah…’” Beliau menjawab: “Aku tidak pernah melihat seseorang melakukannya kecuali penduduk Syam ketika Abu al-Mughirah meninggal dunia.”

Ibn al-Qayyim dalam al-Manar menyatakan, sesungguhnya hadith tentang talqin ini adalah hadith yang tidak diragukan lagi akan kepalsuannya oleh para ulama hadith. Begitu juga al-Haithami ada menyebutkan, pada sanadnya terdapat sejumlah perawi yang tidak aku mengenalinya. Begitu juga menurut Imam al-Nawawi, ia adalah dha‘if. Di samping itu, al-San‘ani menyatakan, berdasarkan kepada perkataan para imam dalam kalangan ahli tahqiq, dapat difahami bahawa hadith ini adalah dha‘if dan beramal dengannya adalah bidaah serta janganlah tertipu dengan ramainya orang yang melakukannya.

Kemudian, Syeikh Abdullah al-Bassam menyimpulkan bahawa riwayat yang dibawa oleh pengarang (Bulugh al-Maram) di sini adalah lemah dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Ia adalah merupakan hadith Abu Umamah secara maknanya. Oleh sebab itu, Imam al-Nawawi dan al-‘Iraqi menilai sanadnya sebagai dha‘if. Bahkan Ibn al-Qayyim menilainya sebagai tidak sahih. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/252).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa menyebut  “Lailahaillah” kepada mayat setelah mayat tersebut selesai dikebumikan adalah tidak dianjurkan. Hal ini kerana hadith yang menjadi dalil atau hujah berkenaan hal tersebut dihukumkan sebagai dha‘if oleh para ulama.

Sebaliknya setelah jenazah selesai dikebumikan, kita dianjurkan atau disunatkan untuk berdiri di kubur bagi mendoakan si mati dengan keampunan daripada Allah SWT dan begitu juga agar terus teguh pendiriannya dalam menghadapi pertanyaan-pertanyaan daripada malaikat di dalam kuburnya.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat  daripada Uthman R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم إذَا فَرَغَ مِنْ دَفْنِ المَيِّتِ، وَقَفَ عَلَيْهِ، وَقَال: اسْتَغْفِرُوا لأَخِيْكُمْ، وَاسْألوا لَهُ التَّثْبِيتَ؛ فَإِنَّهُ الآنَ يُسْأَلُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila selesai mengebumikan orang mati, Baginda akan berdiri di kuburnya lalu bersabda: ‘Mohonlah keampunan buat saudaramu, kemudian mintalah supaya dia diberi keteguhan, kerana sekarang ini dia sedang disoal.’

Riwayat Abu Daud (3221) dan al-Hakim (1/370)[1]

Di antara doa yang boleh dibaca ketika itu adalah seperti:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ، اللَّهُمَّ ثَبِّتْهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampunlah kesalahannya. Ya Allah, teguhkan pendiriannya.” (Lihat Hisn al-Muslim, 1/103)

Ataupun seseorang juga boleh berdoa:

اللَّهُمَّ ثَبِّتْهُ بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ

Maksudnya: “Ya Allah teguhkanlah pendiriannya dengan jawapan/ucapan yang sabit.” (Lihat  Taudhih al-Ahkam, 3/249).

Ataupun dengan doa-doa lain yang semakna atau seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

 

Nota kaki:

[1] Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, hadith ini dinilai sebagai sahih. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/249).

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *