#4116: Maksud Ibadan Lana dan Sifatnya dalam Surah al-Isra’

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah zionist yang menguasai bumi Palestin, khususnya Baitul Maqdis akhirnya akan kecundang sebagaimana janji Allah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami telah kemukakan pelbagai hujah dan pendapat para ulama’ sama ada yang dahulu dan yang kemudian, khususnya ulama’ tafsir seperti al-‘Allamah al-Sheikh al syar’rawi dan lain-lain lagi.

Untuk menjawab persoalan di atas, kami katakan dengan firman Allah SWT:

وَقَضَيْنَا إِلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ فِي الْكِتَابِ لَتُفْسِدُنَّ فِي الْأَرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوًّا كَبِيرًا

Maksudnya: “Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: ‘Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku. ’.”

فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ أُولَاهُمَا بَعَثْنَا عَلَيْكُمْ عِبَادًا لَّنَا أُولِي بَأْسٍ شَدِيدٍ فَجَاسُوا خِلَالَ الدِّيَارِ ۚ وَكَانَ وَعْدًا مَّفْعُولًا

Maksudnya: “Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu).”

ثُمَّ رَدَدْنَا لَكُمُ الْكَرَّةَ عَلَيْهِمْ وَأَمْدَدْنَاكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَجَعَلْنَاكُمْ أَكْثَرَ نَفِيرًا

Maksudnya: “Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya”

(Surah al-Isra’: 4 – 6)

Menurut Syeikh al-Sya’rawi berkenaan ayat keempat ini, Allah SWT memberikan hukuman kepada Bani Israel dan memaklumkan kepada mereka dengan cara mewahyukan kepada Nabi Musa A.S melalui kitab Taurat. Pemakluman tersebut berkaitan di mana mereka melakukan kekeliruan dalam menerima manhaj Allah yang disampaikan oleh para rasul. Apakah mereka akan melaksanakan manhaj Allah atau keluar daripada manhaj Allah dan melakukan kerosakan? Sepatutnya apabila Rasul mereka sudah memaklumkan perkara yang akan mereka lakukan dan sesungguhnya pasti berlaku, mereka sepatutnya merasa amat malu dengan Allah. Tidak sepatutnya mereka melakukan kemurkaan dengan menentang manhaj Allah dan keluar daripada ajaran-Nya.

Hukuman yang Allah jatuhkan kepada Bani Israel di mana mereka akan melakukan kerosakan sebanyak dua kali di muka bumi ini. Adakah Bani Israel melakukan hanya dua kali kerosakan? Sedangkan mereka telah banyak kali melakukan kerosakan tetapi mengapakah Allah hanya menyatakan dua kali kerosakan? Ramai ulama’ membicarakan mengenai dua kali kerosakan ini dan bilakah ia berlaku. Mereka berpendapat ia berlaku sebelum datangnya Islam. Namun begitu, bagi orang yang memerhatikan dengan teliti surah al-Isra’ ini mereka mendapati ia dikaitkan dengan Islam. Oleh itu yang dikehendaki dengan dua kali kerosakan ialah mereka melakukan kerosakan selepas kedatangan Islam.

Kronologi ayat ini bermula dengan cerita berkaitan Isra’ (perjalanan) Nabi SAW dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian Allah SWT menyatakan kisah Bani Israel. Ini menunjukkan bahawa Islam merentasi hingga ke tempat suci Bani Israel iaitu Bait al-Maqdis yang menjadi kiblat pertama umat Islam dan destinasi terakhir Isra’ Nabi SAW. Hal ini kerana, Bait al-Maqdis termasuk dalam kawasan Islam di mana Islam datang untuk menjaga semua agama samawi yang terdahulu dan Islam adalah untuk seluruh manusia. Dengan sebab ini, tafsiran terbaik dua kerosakan yang disebut dalam ayat keempat ini adalah selepas kedatangan Islam.

Sesungguhnya Bani Israel telah melakukan banyak kerosakan sebelum Islam dan mengikut ayat ini ia tidak dikira. Sebagai contoh, selepas mereka menyeberangi laut dan melihat sekumpulan manusia melakukan pemujaan kepada anak lembu, mereka meminta kepada Nabi Musa untuk dijadikan bagi mereka Tuhan sebagaimana kumpulan yang menyembah anak lembu. Kerosakan yang lebih besar lagi ialah mereka membunuh para nabi sedangkan Allah SWT mengutuskan mereka sebagai contoh teladan yang membentuk keperibadian dan ikutan akhlak yang terbaik. Mereka juga melakukan penyelewengan terhadap kitab Allah.

Bagi mereka yang mengkaji penyelewengan yang telah dilakukan oleh Bani Israel akan mendapati terlalu banyak penyelewengan yang telah mereka lakukan seperti buat-buat lupa manhaj Allah, menyembunyikan manhaj Allah atau mengubah manhaj yang Allah turunkan dengan tangan-tangan mereka sendiri, kemudian menyatakan ia adalah daripada Allah. Adakah terdapat kerosakan yang lebih besar daripada mengubah manhaj yang telah Allah turunkan?

Sebahagian ulama’ menyatakan kerosakan pertama ialah apa yang berlaku dalam kisah Talut dan Jalut sebagaimana firman Allah SWT:

أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلْمَلَإِ مِنۢ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ مِنۢ بَعْدِ مُوسَىٰٓ إِذْ قَالُوا۟ لِنَبِىٍّۢ لَّهُمُ ٱبْعَثْ لَنَا مَلِكًۭا نُّقَـٰتِلْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۖ قَالَ هَلْ عَسَيْتُمْ إِن كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلْقِتَالُ أَلَّا تُقَـٰتِلُوا۟ ۖ

Maksudnya: “Tidakkah kamu tahu wahai Muhammad perihal ketua-ketua Bani lsrael selepas kewafatan Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada Nabi mereka, “Lantiklah seorang raja untuk kami, supaya kami boleh berperang bersama dengannya pada jalan Allah.” Nabi mereka menjawab, “Adakah terdapat kemungkinan jika diwajibkan ke atas kamu untuk berperang, kamu enggan untuk berperang?”

(Surah al- Baqarah: 246)

Pada mulanya mereka meminta untuk berperang, meredhai permintaan tersebut namun apabila peperangan berlaku mereka ingkar dan tidak pergi berperang.

Menurut Syeikh Sya’rawi kerosakan pertama berlaku selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah dan melakukan perjanjian dengan tiga kumpulan Yahudi iaitu Bani Quraizah, Bani al-Nadhir dan Bani Qainuqa’ tetapi mereka telah mencabul perjanjian tersebut dan melanggar dengan melakukan perkara yang dilarang. Lantas Nabi SAW telah menghukum mereka. Sebahagian mereka ada yang dibunuh dan sebahagian lagi dihalau ke Syam dan Khaibar. Ini merupakan arahan Allah kepada Rasul-Nya. Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِىٓ أَخْرَجَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ مِن دِيَـٰرِهِمْ لِأَوَّلِ ٱلْحَشْرِ ۚ مَا ظَنَنتُمْ أَن يَخْرُجُوا۟ ۖ وَظَنُّوٓا۟ أَنَّهُم مَّانِعَتُهُمْ حُصُونُهُم مِّنَ ٱللَّهِ فَأَتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِنْ حَيْثُ لَمْ يَحْتَسِبُوا۟ ۖ وَقَذَفَ فِى قُلُوبِهِمُ ٱلرُّعْبَ ۚ يُخْرِبُونَ بُيُوتَهُم بِأَيْدِيهِمْ وَأَيْدِى ٱلْمُؤْمِنِينَ فَٱعْتَبِرُوا۟ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَبْصَـٰرِ

Maksudnya: “Dia yang mengusir orang kafir dalam kalangan ahli kitab daripada kediaman mereka buat kali pertama ketika mereka berhimpun untuk memerangi Rasulullah. Kamu semua pun tidak menyangka mereka akan keluar. Mereka menyangka bahawa mereka akan dilindungi oleh kubu-kubu daripada hukuman balasan Allah. Allah melaksanakan hukuman balasan-Nya dalam keadaan di luar jangkaan mereka. Allah campakkan ketakutan dalam hati-hati mereka. Mereka membinasakan kediaman mereka dengan tangan-tangan mereka dari dalam dan orang orang beriman mengepung mereka dari luar. Justeru, ambillah pengajaran wahai orang-orang yang celik mata hatinya.”

(Surah Al-Hasyr: 2)

Inilah kerosakan pertama yang dimaksudkan dalam ayat tersebut iaitu berlaku ¡kepada Yahudi Bani al-Nadhir, Bani Qainuqa’ dan Bani Quraizah, yang mana mereka telah mengkhianati perjanjian Rasulullah SAW. Menguatkan hujah ini, dalam ayat berikutnya dinyatakan “Maka apabila tiba waktu pembalasan kezaliman yang pertama daripada yang kedua, Kami datangkan hamba-hamba Kami yang gagah perkasa dan ganas serangannya lalu mereka menjelajah seluruh negeri kamu. Dan sesungguhnya peristiwa itu merupakan satu janji yang pasti terjadi.”

Maksudnya ialah kerosakan pertama berlaku selepas kedatangan Islam di mana mereka telah melakukan pencabulan terhadap perjanjian yang telah diikat bersama Rasulullah SAW. Maksud “Hamba-hamba Kami” ialah Rasulullah SAW dan para sahabatnya iaitu ketika Baginda dan para sahabatnya telah masuk ke penempatan mereka, membunuh, menawan dan mengeluarkan mereka daripada bumi Madinah. Makna “Yang gagah perkasa dan ganas serangannya” ialah keadaan orang beriman ketika itu di Madinah. Mereka menjadi satu kerajaan yang kukuh dan kuat serta mampu menghadapi orang yang mengkhianati perjanjian, tidak seperti keadaan mereka yang lemah semasa di Makkah.

Perlu diingat bahawa berlaku perubahan keadaan. Selepas Bani Israel kalah kepada orang beriman untuk diberi pengajaran, keadaan ini tidak berterusan kerana orang Islam menjauhi manhaj Allah SWT yang mana semasa mereka berpegang kepada manhaj, mereka diangkat oleh Allah SWT dan kemenangan diberikan kepada mereka dengan menguasai orang Yahudi. Yahudi seakan sedar keadaan diri mereka selepas diberi peringatan oleh Rasulullah SAW dan orang yang beriman di Madinah. Mereka melihat keadaan diri mereka yang melakukan banyak kesalahan. Dalam waktu yang sama berlaku keadaan di mana orang Islam mula menjauhkan diri daripada manhaj Allah, berpecah kepada kumpulan, terbahagi kepada negara-negara di mana setiap negara mempunyai pemerintah walaupun dalam kalangan orang Islam namun telah terlucut gelaran hamba-hamba Allah daripada mereka.

Selepas Yahudi memperoleh kekuatan dan istiqamah di atas manhaj Allah, mereka berhak menjadi hamba Allah di mana sebelumnya mereka lalai daripada manhaj-Nya. Peristiwa kekalahan mereka kali pertama kepada umat Islam pada zaman Nabi SAW dengan kekuatan yang mereka perolehi adalah satu tempoh yang lama. Tidak berlaku peperangan antara umat Islam dengan Bani Israel beberapa kurun sejak zaman Nabi SAW sehinggalah perjanjian Balfour, yang memberikan hak kepada Yahudi untuk mendirikan kerajaan Israel di bumi Palestin.

Setelah itu Allah SWT menjelaskan bahawa Dia akan mengembalikan kekuatan kepada kaum Bani Israel terhadap musuh mereka setelah pengajaran besar yang diberikan kepada mereka, iaitu setelah mereka bertaubat daripada kesalahan, dosa dan maksiat yang mereka lakukan. Maka Allah SWT mengembalikan semula kekuatan asal yang mereka miliki sebelum ini, bahkan Allah SWT menambahkan lagi harta dan anak-anak mereka serta menambahkan bilangan anggota pasukan mereka yang akan keluar berjuang bersama mereka.

Terbukti, Allah SWT telah mengurniakan kepada Yahudi kekayaan sehingga mereka terkehadapan dalam kewangan dunia. Dikurniakan kepada mereka anak-anak yang dididik dengan keilmuan yang beraras tinggi. Semua lapangan kehidupan telah mereka kuasai. Namun perlu diingat semuanya ini tidak bermakna mereka diberi kekuasaan untuk mengalahkan umat Islam. Sebenarnya yahudi amat lemah meskipun menguasai kewangan dan mempunyai nak-anak yang bijak. Gagah yahudi dibantu beberapa negara lain dan pengikut-pengikut. Perkara ini amat jelas sejak awal penubuhan negara mereka. Maka bertepatanlah dengan firman Allah SWT: “Dan Kami jadikan kamu (Yahudi) lebih ramai bilangannya daripada musuh kamu”. Iaitu negara-negara besar yang membantu Yahudi dan menentang orang Islam. Kekalahan kepada umat Islam akan terus berlaku sehingga kita umat Islam menjadi seumpama umat Islam yang terdahulu yang digelar sebagai عبادا لله (hamba-hamba bagi Allah) yang beristiqamah dengan manhaj Allah dan berhukum dengan kitab-Nya. Ini merupakan suatu janji yang pasti akan berlaku In sha Allah.

Allah SWT juga menjelaskan bahawa jika kaum Bani Israel melakukan kebaikan, maka manfaat kebaikan itu akan kembali kepada diri mereka sendiri. Allah SWT sedikitpun tidak mendapat apa-apa manfaat daripadanya. Sebaliknya jika mereka melakukan kejahatan atau keburukan, maka yang akan mendapat kemudaratannya adalah diri mereka sendiri juga. Allah SWT sedikitpun tidak mendapat sebarang kemudaratan daripadanya. Dia adalah Tuhan yang Maha Kaya, sedikitpun tidak berhajat kepada para hamba-Nya. Dia tidak mendapat manfaat daripada amal ketaatan dan tidak mendapat mudharat daripada perbuatan maksiat para hamba-Nya. Apabila tiba waktu kedua yang dijanjikan iaitu waktu kamu melakukan kerosakan pada kali kedua di atas muka bumi ini dengan membunuh Nabi Yahya AS dan pencerobohan kamu terhadap larangan Allah SWT, maka sekali lagi Allah SWT mengutuskan musuh kamu untuk mengalahkan kamu buat kali kedua. Allah SWT mengutuskan mereka agar kamu menjadi hina lalu tanda dan kesan kehinaan serta kekalahan itu jelas kelihatan pada wajah kamu. Allah SWT juga mengutuskan mereka agar mereka memasuki Baitul Maqdis dan memusnahkannya sebagaimana mereka memasuki dan memusnahkannya dahulu pada kali pertama, lalu mereka melakukan kemusnahan terhadap apa sahaja yang mereka kuasai.

Oleh itu, akan datang kerosakan kedua kepada mereka yang mana kali pertamanya Yahudi telah mencabuli perjanjian dengan Rasulullah SAW di Madinah. Ayat ini memberi khabar gembira kepada umat Islam supaya kita kembali sebagaimana umat Islam terdahulu. Hendaklah kita sedar, bangkit dan kembali kepada manhaj Allah maka ketika itu umat Islam akan menang ke atas yahudi.

Umat Islam akan memasuki Masjid al-Aqsa dan menyelamatkannya daripada tangan-tangan Yahudi. Jika kita memerhatikan firman Allah, “Mereka memasuki Masjid Baitul Maqdis sebagaimana mereka memasukinya pada kali pertama.” Kali pertama umat Islam memasuki Masjid al-Aqsa ialah pada zaman khalifah Umar Ibn al-Khattab R.A. Pada ketika itu Masjid al-Aqsa berada pada tangan orang Nasrani yang berbangsa Rom dan bukannya Yahudi. Tetapi kali ini umat Islam yang memasuki Masjid al-Aqsa yang berada di bawah penguasaan Yahudi. Umat Islam akan menghancurkan mereka dan membersihkan Masjid al-Aqsa dari kotoran yahudi. Al-Quran tidak akan berkata “sebagaimana mereka memasukinya kali pertama” kecuali ia berlaku dua kali memasuki Masjid al-Aqsa dengan sekali mereka iaitu Yahudi dikeluarkan. Umat Islam keluar sekarang ini dari Masjid Al-Aqsa adalah betulnya perkhabaran al-Quran. Allah SWT seakan mahu kita mengalih pandangan jika kamu mahu memasuki Masjid Aqsa buat kali yang kedua, maka hendaklah kamu kembali kepada manhaj Tuhan kamu dan bersatulah.

Mudah-mudahan Tuhan mereka akan merahmati mereka  sebagaimana dimaklumkan kepada mereka melalui kitab mereka. Allah SWT akan merahmati mereka setelah Dia mengambil tindakan keras terhadap mereka dan itulah yang berlaku, lalu selepas itu, bilangan mereka kembali menjadi banyak dan ada dalam kalangan mereka yang Allah SWT jadikan sebagai raja dan penguasa. Namun Allah SWT mengingatkan dan memberi amaran jika mereka kembali melakukan kerosakan di atas muka bumi ini, maka Allah SWT akan kembali memberikan pengajaran kepada mereka.

Kemudiannya sekali lagi Allah SWT memberikan peringatan kepada mereka bahawa Dia menjadikan neraka jahannam sebagai penjara dan tempat kurungan bagi golongan yang kafir. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/98-104)

Kami telah bahaskan sebuah hadith, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقَاتِلَ الْمُسْلِمُونَ الْيَهُودَ فَيَقْتُلُهُمُ الْمُسْلِمُونَ حَتَّى يَخْتَبِئَ الْيَهُودِيُّ مِنْ وَرَاءِ الْحَجَرِ وَالشَّجَرِ فَيَقُولُ الْحَجَرُ أَوِ الشَّجَرُ يَا مُسْلِمُ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا يَهُودِيٌّ خَلْفِي فَتَعَالَ فَاقْتُلْهُ ‏.‏ إِلاَّ الْغَرْقَدَ فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرِ الْيَهُودِ

Maksudnya: “Tidak akan berlaku hari Kiamat sehingga kaum Muslimin memerangi orang-orang Yahudi. Maka kaum Muslimin membunuh mereka sehingga seorang Yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pohon, lalu berkata batu atau pohon itu: “Wahai Muslim, wahai hamba Allah, Yahudi ada di belakangku. Datanglah dan bunuhlah dia.” Kecuali pohon Gharqad, kerana ia daripada pohon orang Yahudi.”

Riwayat Muslim (2922)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan bahawa makna pembunuhan Yahudi ini berlaku ketika keluarnya Dajjal dan turunnya Nabi ‘Isa AS sebagaimana yang disebutkan secara jelas dalam hadith Umamah ketika meriwayatkan kisah keluarnya Dajjal dan turunnya Nabi ‘Isa AS. Selain itu, hadith (Abu Hurairah) di atas menunjukkan bahawa di antara tanda lain Kiamat ialah segala benda yang tidak bernyawa mampu berkata-kata dan Islam akan terus tertegak sehingga ke hari Kiamat. (Lihat Fath al-Bari 6/610) Pendapat ini turut disokong oleh Imam Ibn al-Mulaqqin bahawa peristiwa pembunuhan Yahudi akan berlaku ketika Nabi ‘Isa turun dan orang Islam akan bersama Baginda. Manakala orang Yahudi pula akan bersama Dajjal. (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami’ al-Sahih, 17/663)

Semoga, lahirnya ibadan lana (عِبَادًا لَّنَا) yang dapat membuka Kota Baitul Maqdis dan pembebasan Masjid al-Aqsa seperti watak Saidina ‘Umar ibn Al-Khattab, Salahuddin al-Ayyubi, Sultan Muhammad al-Fateh dan juga rijal yang benar janjinya dengan Allah. Firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.”

(Surah al-Ahzab: 23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

Riwayat al-Bukhari (6393)

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *