#4178: Kadar Tangan yang Dimaksudkan Pada Hudud

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya masih keliru apabila mendengar tentang hudud potong tangan, adakah yang dimaksudkan potong sehingga pergelangan sahaja, atau sehingga siku, atau sehingga bahu juga disebutkan sebagai tangan juga? Dan bagaimana pula jika dia mencuri lagi, adakah dipotong pergelangan hingga siku pula?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan yang diajukan, terdapat beberapa nas yang jelas menyebutkan bahawa pencuri yang didapati melakukan jenayah itu, jika mencukupi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara‘, maka perlu dijatuhkan hukuman potong tangan ke atasnya. Ini jelas sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Ma’idah: 38)

Diriwayatkan juga dalam hadith daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تُقْطَعُ اليَدُ فِي رُبُعِ دِينَارٍ فَصَاعِدًا

Maksudnya: “Tangan pencuri dipotong jika (nilaian barang curiannya) menyamai satu perempat dinar[1] atau lebih.”

Riwayat al-Bukhari (6789) dan Muslim (1684)

Yang menjadi persoalan utama di sini, apakah hakikat tangan atau al-yad (اليَدُ) yang dimaksudkan dalam nas? Syeikh ‘Abdullah al-Bassam mengatakan bahawa pandangan yang paling tepat adalah apa yang disebutkan oleh majoriti fuqaha’, bahkan dinukilkan persepakatan ulama’ dalam masalah ini, bahawa kadar tangan yang dimaksudkan bermula dari pergelangan tangan. Hal ini kerana disebutkan kalimah tangan atau al-yad (اليَدُ) dalam nas secara mutlak, dan ianya merujuk kepada tapak tangan sahaja. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/272)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti berkata, perbuatan Rasulullah SAW, jika ianya dilakukan untuk menerangkan nas al-Quran, maka wajib beramal dengannya dan tidak boleh meninggalkannya. Oleh kerana itu, ulama’ bersepakat bahawa tangan pencuri itu dipotong pada pergelangan tangan, kerana Rasulullah SAW pernah memotong tangan pencuri pada pergelangan tangan, sebagai bentuk penerangan dan perincian bagi firman Allah SWT:

فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا

Maksudnya: “Maka (hukumnya) potonglah tangan mereka.”

(Surah al-Ma’idah: 38)

Dan penerangan ini kerana kalimah tangan atau al-yad (اليَدُ) secara mutlak merujuk kepada anggota sehingga siku, dan sehingga bahu. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 4/397)

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi pula menyebutkan, tidak ada perselisihan di kalangan ahli ilmu bahawa hukuman potongan yang pertama ke atas si pencuri adalah dipotong tangan kanannya pada pergelangan tangan. Di dalam qiraat ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau membaca: (فَاقْطَعُوا أَيْمَانَهُمَا), ini sekiranya bacaan tersebut adalah salah satu dari qiraat, jika tidak maka ia merupakan tafsiran beliau. Telah diriwayatkan daripada Abu Bakar al-Siddiq dan ‘Umar R.Anhuma, kata mereka: “Jika seseorang mencuri, maka potonglah tangan kanan mereka dari pergelangan,” dan tidak ada sahabat yang menyelisihi mereka berdua. Ini kerana kekerasan yang dilakukan oleh tapak tangan kanan ini lebih kuat, maka memulakan potongan dengannya lebih memberi ancaman untuk menghalang (kecurian). Dan juga kerana tapak tangan itu ibarat alat yang digunakan untuk mencuri, maka munasabah hukumannya adalah dengan menghilangkan alat tersebut. (Lihat al-Mughni, 9/121)

Mencuri Berulang Kali

Persoalan yang menarik saudara timbulkan di sini, adakah jika seseorang yang pernah dijatuhkan hukuman potong tangan, lalu mengulanginya, dipotong pula tangannya ke siku pula, atau dipotong sehingga bahu?

Jawapannya adalah dipotong pula dari pergelangan kakinya sebelah kiri. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh para fuqaha’, berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا سَرَقَ السَّارِقُ فَاقْطَعُوا يَدَهُ، وَإِنْ عَادَ فَاقْطَعُوا رِجْلَهُ

Maksudnya: “Apabila seorang pencuri mencuri, maka potonglah tangannya. Jika ia mencuri lagi maka potonglah kakinya.”

Riwayat al-Daraqutni (3392)

Ini kerana dia dihukumkan seperti orang yang sengaja memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya yang diwajibkan ke atas mereka untuk dihukum dengan dipotong 2 anggota, satu tangan dan satu kaki, dan tidaklah dipotong kedua-dua tangannya. Dan ini kerana jika kedua-dua tangannya dipotong, maka akan hilanglah fungsinya secara keseluruhan, sehingga dia tidak boleh makan, tidak boleh berwuduk, tidak boleh membersihkan diri, tidak boleh mempertahankan dirinya. Lalu jadilah orang tersebut seperti orang yang telah binasa, maka jika dikenakan hukuman potong kaki sahaja, itu lebih baik kerana dapat dielakkan dari keburukan-keburukan ini.

Hukuman ini juga berdasarkan firman Allah SWT:

أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَافٍ

Maksudnya: “atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja).”

(Surah al-Ma’idah: 33)

Dan memotong kaki kiri juga lebih menunjukkan kelembutan terhadap pencuri itu, sehingga membolehkannya untuk berjalan dengan menggunakan tongkat. Sekiranya kaki kanannya yang dipotong, dia tidak akan mampu untuk berjalan. Dan kadar kaki yang dipotong bermula dari pergelangan buku lali menurut kebanyakan ahli ilmu, dan inilah yang dilakukan oleh ‘Umar R.A. (Lihat al-Mughni, 9/121)

Sekiranya dia mengulangi lagi jenayah kecurian selepas dipotong tangan kanan dan kaki kirinya, fuqaha’ berselisih pendapat tentang hukuman yang wajib dikenakan ke atasnya. Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam al-Mughni (9/125):

  • Mazhab al-Hanafi dan al-Hanbali: Dipotong hanya dua kali, kemudian mencuri kali ketiga hanya dipenjarakan sahaja.
  • Mazhab al-Malik dan al-Syafi‘i: Dipotong setiap kali dia mencuri, dan pada kali kelima hendaklah dipenjarakan. Ini juga merupakan salah satu riwayat dari Imam Ahmad.
  • Riwayat Saidina ‘Uthman, ‘Amru bin al-‘As dan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz: Dihukum bunuh bagi yang mencuri kali yang kelima.

Fuqaha’ Mazhab al-Hanafi dan al-Hanbali berhujjah dengan athar daripada Saidina ‘Ali bin Abi Talib R.A, katanya:

إِذَا سَرَقَ السَّارِقُ قُطِعَتْ يَدُهُ الْيُمْنَى، فَإِنْ عَادَ قُطِعَتْ رِجْلُهُ الْيُسْرَى، فَإِنْ عَادَ ضَمِنَتْهُ السِّجْنُ حَتَّى يُحَدِّثَ خَيْرًا، إِنِّي أَسْتَحْيِي مِنَ اللَّهِ أَنْ أَدَعَهُ لَيْسَ لَهُ يَدٌ يَأْكُلُ بِهَا وَيَسْتَنْجِي بِهَا، وَرَجُلٌ يَمْشِي عَلَيْهَا

Maksudnya: “Apabila seseorang itu mencuri maka potong tangan kanannya dan jika dia mencuri lagi, maka potong kaki kirinya dan jika ia kembali mencuri maka penjaralah yang menjadi jaminannya sehingga dia berubah menjadi baik. Sesungguhnya, aku malu kepada Allah untuk meninggalkannya (pencuri) tiada baginya tangan untuk makan dan untuk beristinjak dan kaki untuk berjalan.”

Riwayat al-Daraqutni (3166)

Manakala Mazhab al-Malik dan al-Syafi‘i berhujjah dengan hadith Abu Hurairah R.A di atas, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا سَرَقَ السَّارِقُ فَاقْطَعُوا يَدَهُ، وَإِنْ عَادَ فَاقْطَعُوا رِجْلَهُ، فَإِنْ عَادَ فَاقْطَعُوا يَدَهُ، فَإِنْ عَادَ فَاقْطَعُوا رِجْلَهُ

Maksudnya: “Apabila seorang pencuri mencuri, maka potonglah tangannya. Jika ia mencuri lagi maka potonglah kakinya.”

Riwayat al-Daraqutni (3392)

Riwayat Saidina ‘Uthman, ‘Amru bin al-‘As dan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz itu pula berdasarkan sebuah hadith daripada Jabir bin ‘Abdullah R.A, katanya:

جِيءَ بِسَارِقٍ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ: اقْتُلُوهُ.‏ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّمَا سَرَقَ‏.‏ فَقَالَ:‏ اقْطَعُوهُ‏.‏ قَالَ: فَقُطِعَ ثُمَّ جِيءَ بِهِ الثَّانِيَةَ، فَقَالَ: اقْتُلُوهُ‏.‏ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّمَا سَرَقَ.‏ فَقَالَ: اقْطَعُوهُ‏.‏ قَالَ: فَقُطِعَ ثُمَّ جِيءَ بِهِ الثَّالِثَةَ، فَقَالَ: ‏اقْتُلُوهُ‏.‏ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّمَا سَرَقَ‏.‏ قَالَ: اقْطَعُوهُ‏.‏ ثُمَّ أُتِيَ بِهِ الرَّابِعَةَ، فَقَالَ: ‏اقْتُلُوهُ‏.‏ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّمَا سَرَقَ‏.‏ قَالَ: اقْطَعُوهُ‏.‏ فَأُتِيَ بِهِ الْخَامِسَةَ، فَقَالَ: اقْتُلُوهُ‏.‏ قَالَ جَابِرٌ: فَانْطَلَقْنَا بِهِ فَقَتَلْنَاهُ ثُمَّ اجْتَرَرْنَاهُ، فَأَلْقَيْنَاهُ فِي بِئْرٍ وَرَمَيْنَا عَلَيْهِ الْحِجَارَةَ

Maksudnya: “Seorang pencuri dibawa ke hadapan Nabi SAW, Baginda lalu bersabda: ‘Bunuhlah.’ Para sahabat berkata: ‘Wahai Rasulullah, dia hanya mencuri!’ Baginda bersabda: ‘Kalau begitu, potonglah tangannya.’ Jabir berkata: ‘Tangan pencuri itu lantas dipotong.’ Setelah itu, pencuri tersebut kembali dibawa ke hadapan Nabi SAW untuk kali kedua, Baginda lalu bersabda: ‘Bunuhlah.’ Para sahabat berkata: ‘Wahai Rasulullah, dia hanya mencuri!’ Baginda bersabda: ‘Kalau begitu, potonglah tangannya.’ Kemudian pencuri itu kembali dibawa ke hadapan Nabi SAW untuk kali ketiga, Baginda lalu bersabda: ‘Bunuhlah.’ Para sahabat berkata: ‘Wahai Rasulullah, dia hanya mencuri!’ Baginda bersabda: ‘Kalau begitu, potonglah.’ Kemudian pencuri itu dibawa ke hadapan Nabi SAW untuk kali keempat, Baginda bersabda: ‘Bunuhlah.’ Para sahabat berkata: ‘Wahai Rasulullah, dia hanya mencuri!’ Baginda bersabda: ‘Kalau begitu, maka potonglah.’ Kemudian pencuri itu di bawah ke hadapan Nabi SAW untuk kali kelima, Baginda bersabda: ‘Bunuhlah.’ Jabir berkata: “Lalu kami membawanya pergi dan membunuhnya. Setelah itu, kami menyeret mayatnya dan membuangnya ke dalam telaga, kemudian kami merejamnya dengan batu.”

Riwayat Abu Dawud (4410) dan al-Nasa’ie (4978)

Kemudian Imam al-Nasa’ie memberikan komentar terhadap hadith ini, beliau mengatakan bahawa ia berstatus munkar[2] kerana Mus‘ab bin Thabit tidak kuat hafalan dan penjagaannya terhadap hadith, Wallahu a‘lam. (Lihat Sunan al-Nasa’ie, 8/90)

Syeikh Muhammad al-Sindi pula mengatakan, para fuqaha’ lain menyelisihi hadith ini, dan dikatakan berkemungkinan para sahabat ketika itu mendapati lelaki itu telah murtad, maka wajib untuk dibunuh (hukuman murtad). Dan kebarangkalian ini adalah yang paling menepati dengan hadith Jabir, mereka menyeret mayatnya dan melemparkannya ke dalam telaga. Sedangkan seorang mu’min itu, meskipun dia melakukan satu dosa besar, dia mesti dikebumikan juga disolatkan jenazahnya, lebih-lebih lagi setelah dijatuhkan hudud ke atasnya dan disucikan kesalahannya. Adapun penghinaan seperti ini, ianya tidak sepatutnya dilakukan pada seorang muslim. (Lihat Hasyiah al-Sindi, 8/90)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan ini, kami katakan bahawa kadar tangan yang dimaksudkan untuk hukuman potong tangan adalah bermula dari pergelangan, dan begitu juga jika dipotong kakinya, maka perlu dipotong pada pergelangan kaki di kawasan buku lali.

Sekiranya pencuri itu mengulangi perbuatan mencuri buat kali kedua, dipotong pula kaki kirinya. Dan sekiranya dia mengulanginya buat kali ketiga, hukumannya menurut fuqaha’ mazhab. Ada yang mengatakan bahawa tangan dan kaki dipotong secara bersilangan, dan kemudian pula dipenjara jika mengulangi jenayah mencuri. Dan ada juga yang mengatakan bahawa dihukum bunuh selepas kesemua tangan dan kakinya telah dipotong. Kami cenderung memilih pandangan Mazhab al-Syafi‘i, iaitu dihukum ta‘zir seperti penjara dan tidaklah sehingga dibunuh. Dan ini jugalah pandangan yang disebutkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Selangor seperti yang dikeluarkan oleh mereka di dalam buku yang bertajuk: Hudud, Satu Penjelasan.

Kami katakan juga bahawa isu ini diberikan kuasa kepada pemerintah, bukan kepada orang ramai dalam menghukum pencuri tersebut. Sebaik-baik tindakan adalah berasaskan kepada neraca syari‘at tanpa sebarang rekaan dari diri seseorang.

Semoga masyarakat Malaysia sentiasa mengikut neraca syariat dan sentiasa dalam keadaan aman. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam

 

Nota kaki:

[1] Bersamaan 1.0625 gram emas.

[2] Munkar: Perawi hadith yang lemah, meriwayatkan hadith vertentangan dengan perawi yang lebih thiqah. Atau perawi hadith itu dikritik dari sudut hafalan dan penjagaan hadithnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *