Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Dalam suasana Palestin dibedil habis-habisan oleh Israel-Zionis, kita sebagai umat Islam digalakkan, bahkan dituntut untuk membaca qunut nazilah dalam solat-solat fardhu. Soalan saya, ketika solat sirriyyah; Zuhur dan Asar, adakah Imam perlu menguatkan bacaan qunut nazilah tersebut atau ia hanya dibaca secara perlahan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, qunut nazilah merupakan qunut yang dilakukan apabila berlaku bala dan musibah kepada umat Islam sama ada seperti peperangan, serangan musuh, dan juga wabak. Bacaan qunut tersebut boleh dilakukan dalam semua solat fardhu.

Qunut nazilah ini adalah dilakukan pada rakaat akhir sama ada sebelum atau selepas rukuk. Terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

 قَنَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا مُتَتَابِعًا فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ وَصَلاَةِ الصُّبْحِ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ إِذَا قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ.‏ مِنَ الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ يَدْعُو عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَيُؤَمِّنُ مَنْ خَلْفَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW berqunut selama sebulan berturut-turut pada sembahyang Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan solat Subuh pada setiap akhir solat selepas Baginda mengucapkan: ‏ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُpada rakaat akhir, lantas, Baginda mendoakan kecelakaan kepada perkampungan Bani Sulaim terhadap Ri‘lin, Zakwan, ‘Usayyah dan diaminkan sahabat di belakangnya.

Riwayat Abu Dawud (1443)[1]

Hadith yang sama diriwayatkan daripada Anas bin Malik secara muttafa ‘alaih. Mengikut riwayat al-Bara’ R.A katanya: “Rasulullah SAW berqunut pada solat fajar dan juga Maghrib.” Hadith ini dikeluarkan oleh Muslim.

Perbahasan lanjut mengenai perkara ini bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #2787: Qunut Nazilah.[2]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa seorang Imam hendaklah menguatkan suaranya ketika membaca qunut dalam solat fardhu termasuklah dalam solat sirriyyah (Zuhur dan Asar). Begitu juga bagi makmum hendaklah mengaminkan bacaan doa imam itu dengan suara yang kuat. Manakala mereka yang mendirikan solat secara sendirian, hendaklah membaca doa qunut secara perlahan tanpa menguatkan suaranya.

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah bahawa, dianjurkan untuk membaca qunut ketika berlakunya bencana atau musibah. Sesungguhnya dinyatakan dalam Sunnah yang mulia bahawasanya ia turut dilakukan oleh Nabi SAW. Atas dasar itu, jumhur fuqaha berpendapat, doa qunut dianjurkan (sunat) untuk dibaca dalam solat, tidak kira solat secara berjemaah atau solat secara bersendirian, solat sirriyyah atau solat jahriyyah, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kemenangan dan jalan keluar daripada musibah yang dihadapi.

Cara doa qunut bagi orang yang solat secara bersendirian adalah dengan membacanya secara perlahan dan tidak menguatkan suara. Adapun bagi Imam hendaklah membacanya dengan menguatkan suara dalam setiap keadaan sekalipun ketika mengimamkan solat sirriyyah (Zuhur dan Asar), dan makmum hendaklah mengaminkan doa tersebut juga dengan suara yang kuat. Disebutkan dalam Asna al-Matalib (1/159) bahawa dalam semua solat dibacakan doa qunut termasuklah solat sirriyyah. Justeru, Imam hendaklah menguatkan suara (ketika membacanya) sebagai mengikuti sunnah Nabi SAW — ittiba‘.

Kaum Muslimin pada zaman ini telah bersepakat bahawa musibah dan bencana besar yang telah menimpa umat Islam, di antaranya adalah apa yang berlaku ke atas saudara kita di Gaza. Oleh itu, disyariatkan bagi kaum Muslimin di seluruh penjuru dunia untuk membaca doa qunut, tidak kira orang yang mengerjakan solat secara sendirian mahupun secara berjemaah, serta berdoa kepada Allah SWT agar mengangkat kesusahan dan menghilangkan kesedihan mereka.[3]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)

Nota kaki:

[1] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/2787-qunut-nazilah/. Diakses pada 17 November 2023.

[3] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3820, dan https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3594. Diakses pada 17 November 2023.

Leave a Reply