#4269: Nabi Muhammad SAW Dalam Kitab Taurat dan Injil

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah nama Nabi Muhammad SAW terdapat dalam kitab taurat dan injil?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ يَتَّبِعُونَ ٱلرَّسُولَ ٱلنَّبِىَّ ٱلْأُمِّىَّ ٱلَّذِى يَجِدُونَهُۥ مَكْتُوبًا عِندَهُمْ فِى ٱلتَّوْرَىٰةِ وَٱلْإِنجِيلِ يَأْمُرُهُم بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَىٰهُمْ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ ٱلْخَبَـٰٓئِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَٱلْأَغْلَـٰلَ ٱلَّتِى كَانَتْ عَلَيْهِمْ ۚ فَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُوا۟ ٱلنُّورَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ مَعَهُۥٓ ۙ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: Mereka ialah orang yang mengikut Rasulullah; seorang Nabi yang buta huruf yang mereka dapati nama dan sifat-sifatnya tertulis dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Baginda menyuruh mereka mengerjakan perkara yang baik dan melarang daripada melakukan perkara yang keji; dan menghalalkan segala benda yang baik dan mengharamkan segala benda yang buruk. Baginda juga menghapuskan hukum-hakam yang berat dan beban serta belenggu yang dahulunya menyukarkan diri mereka. Maka orang yang beriman kepadanya, memulia, menolong dan mengikut cahaya yang diturunkan kepadanya iaitu al-Quran, mereka itulah golongan yang berjaya.

(Surah al-A’raf: 157)

Allah SWT telah menegaskan di dalam al-Quran bahawa perkhabaran mengenai kebangkitan Nabi Muhammad SAW telah termaktub di dalam kitab Taurat dan Injil. Ini adalah sesuatu yang menunjukkan kesinambungan risalah Allah SWT kepada baginda SAW. Justeru sebagaimana ahli kitab terdahulu beriman kepada Nabi Musa A.S dan Nabi Isa A.S, maka menjadi satu kewajipan kepada mereka untuk beriman kepada Nabi Muhammad SAW. Walaupun begitu, terdapat beberapa golongan daripada kalangan ahli kitab yang mengingkari perkhabaran tersebut dengan berdalilkan bahawa tiada perkataan Ahmad disebutkan di dalam kedua kitab tersebut.

Dalam hal ini, para ulama islam menjelaskan bahawa Allah SWT telah memberitahu di dalam al-Quran mengenai penyelewengan yang dibuat oleh golongan ahli kitab terhadap kitab mereka. Antara penyelewengan yang berlaku adalah perkhabaran mengenai Nabi Muhammad SAW. Mereka menyembunyikannya, bahkan memadamnya dari kitab-kitab mereka. Walaupun sedemikian, masih terdapat isyarat terhadap Baginda Nabi SAW dan risalah suci yang dibawa. Namun golongan ahli kitab enggan menerima isyarat-isyarat ini, bahkan mentafsirkannya dengan tafsiran yang selari dengan hawa nafsu mereka.

Sejarah juga telah merakamkan pengakuan yang dibuat oleh beberapa ulama Yahudi yang telah memeluk Islam seperti Abdullah bin Salam. Beliau menyedari bahawa Nabi Muhammad SAW adalah nabi terakhir yang ditunggu-tunggu oleh golongan Yahudi. Ketika beliau mengetahui tentang ketibaan Nabi SAW, beliau bergegas pergi berjumpa baginda lalu menanyakan beberapa persoalan yang jawapannya hanya diketahui oleh seorang Nabi. Bilamana Nabi SAW mengemukakan jawapan terhadap persoalan tersebut, Abdullah bin Salam terus memeluk Islam.

Di dalam sebuah riwayat lain pula, Safiyyah R.Anha, isteri Nabi Muhammad SAW menceritakan saat ketibaan Nabi SAW di Madinah. Ayah beliau Huyai bin Akhtab bersama pakciknya Abu Yasir menunggu kedatangan Nabi ke Madinah dengan perasaan yang berkecamuk. Bilamana Nabi SAW telah sampai di Quba’, mereka berdua bergegas untuk melihat Baginda SAW. Lalu apabila mereka telah melihat baginda, mereka pulang dengan penuh hampa. Safiyyah mendengar bicara kedua ayah dan pakciknya itu; Abu Yasir bertanya “adakah dia orangnya”, Huyai menjawab ‘Ya’, Abu Yasir bertanya lagi ‘Adakah kamu mengenalinya dan kamu yakin tentang dirinya’, Huyai menjawab ‘Ya’. Abu Yasir bertanya lagi ‘Maka apakah pendirian kamu terhadap dirinya’, Huyai menjawab ‘aku akan memusuhinya selagi mana aku hidup’. Kisah ini menunjukkan bahawa golongan Yahudi pada ketika itu sedia maklum tentang kebenaran Nabi Muhammad SAW dan risalah yang dibawanya, dan pengetahuan tentang perkara ini semestinya dirakamkan di dalam kitab mereka. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/90)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Wallahua`lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *