Soalan

Adakah penerima wakaf perlu berniat untuk menerima wakaf sebagaimana pemberi wakaf perlu meniatkannya? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, niat bererti mengingati tujuan sesuatu perbuatan ketika mula melakukannya. Menurut pengarang kitab Fath al-Qarib, niat ditakrifkan sebagai:

قَصْدُ الشَيْءِ مُقْتَرِنًا بِفِعْلِهِ ، وَمَحَلُّهَا القَلْبُ

Maksudnya: “Memaksudkan melakukan sesuatu yang disertai dengan perbuatan. Dan tempat niat adalah di dalam hati.” (Lihat Fath al-Qarib, hlm. 75)

 

Niat merupakan syarat sahnya suatu amalan ibadah. Hal ini berdasarkan hadith daripada Umar al-Khattab RA, sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya“Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Imam al-Suyuti menyebutkan kaedah umum dalam fiqh:

الْأُمُور بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: Hukum bagi perkara-perkara bergantung kepada tujuan-tujuannya. (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, 1/8)

Dalam fiqh ibadat, fungsi berniat adalah sebagai tamyiz (pembeza) antara ibadah dan adat. Contohnya berpuasa. Seseorang mungkin berpuasa kerana taat kepada perintah Allah, tetapi mungkin juga berpuasa kerana kesihatan. Begitu juga seseorang melakukan taharah dengan berwuduk dan mandi sebagai persedian untuk solat dan mengikut perintah Allah, tetapi mungkin juga melaksanakannya kerana hanya hendak menyejukkan badan dan membersihkan diri.

Mewakafkan harta adalah antara amalan yang amat dituntut di dalam Islam. Ini kerana, ganjaran pahala yang berterusan akan diperolehi bagi mereka yang melakukan amalan tersebut ikhlas kerana Allah SWT. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali-Imran : 92)

Terdapat satu kisah yang menarik berkaitan reaksi sahabat apabila diturunkan sahaja ayat di atas. Dalam satu hadith Anas bin Malik R.A, diceritakan bahawa Abu Talhah merupakan seorang sahabat Ansar yang memiliki kebun kurma yang paling banyak di Madinah. Antara kebun kurma yang paling disayanginya adalah yang terletak di Bairuha’. Apabila Allah SWT mewahyukan ayat tersebut, lantas Abu Talhah terus berkata kepada Rasulullah SAW: “…Sesungguhnya antara harta-harta yang saya paling sayangi adalah kebun Bairuha’; Harta itu saya sedekahkan untuk Allah dan saya mengharap balasan kebaikan dan simpanan (pahala) di sisi Allah. Ya Rasulullah, silakan apa yang akan anda lakukan menurut petunjuk Allah kepadamu (terhadap kebun itu)…”

Lalu Rasulullah SAW bersabda:

بَخٍ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، وَقَدْ سَمِعْتُ مَا قُلْتَ، وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا فِي الأَقْرَبِينَ

Maksudnya: “Wah, itu adalah harta yang menguntungkan (mendatangkan pahala untukmu), itu adalah harta yang menguntungkan (mendatangkan pahala untukmu). Aku telah mendengar apa yang engkau katakan tentangnya, dan sesungguhnya aku berpendapat agar engkau menjadikannya (memberikannya) buat kaum kerabatmu.” 

Riwayat al-Bukhari (2769)

Setelah itu, Abu Talhah pun menyedekahkan harta tersebut kepada keluarganya. Kata perawi: “Antara mereka ialah Ubay dan Hassan.”

Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

‏ إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila matinya seorang insan, terputuslah amalnya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”

Riwayat Muslim (1631) dan al-Nasai’e (3651)

Wakaf itu sendiri bermaksud menahan sesuatu harta yang tidak susut fizikalnya serta boleh digunakan dan diambil manfaat darinya dengan cara menyerahkan hak miliknya kepada seorang pengguna yang harus dan wujud. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/376)

Dalam isu wakaf, rukun-rukun terbahagi kepada empat:

  1. Pewakaf (waqif)
  2. Harta (mauquf)
  3. Penerima wakaf (mauquf ‘alaih)
  4. Lafaz Sighah (Ijab wa al-Qabul)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili  menyatakan bahawa Hak mentadbir harta wakaf asalnya ialah di bawah pewakaf itu sendiri. Namun, dibenarkan dalam Syarak melantik Nazir, untuk mentadbir bagi pihak pewakaf. Bagi wakaf khairi (kebajikan am) selain wakaf khas, tidak disyarat qabul (lafaz penerimaan) dari nazir masjid kerana akan menyusahkan. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/614)

Justeru, berdasarkan persoalan di atas, penerima atau yang menguruskan wakaf tidak perlu untuk meniatkan bahawa dia menerima wakaf. Bahkan wakaf yang diberikan oleh pewakaf adalah sah. Semoga Allah menerimanya sebagai sedekah jariah yang berkekalan pahalanya hingga Kiamat.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 8 Februari 2022 bersamaan 6 Rejab 1443H

Leave a Reply