Soalan

Adakah pampasan hibah takaful perlu difaraidkan atau dipusakakan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Harta pusaka menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud harta warisan (harta peninggalan si mati)[1]

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

(Surah al-Nisa’: 7)

Melalui ayat ini, Allah SWT jelas menyatakan bahawa setiap waris mempunyai hak ke atas harta peninggalan ibu bapa dan kaum kerabat mereka.

Imam al-Tabari menukilkan bahawa Abu Ja’far berkata yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah bagi anak-anak lelaki ada bahagian mereka dari harta warisan tersebut, dan bagi anak-anak perempuan ada bahagian juga dari sumber yang sama, sama ada sedikit atau banyak, bahagian yang difardhukan, wajib, sedia maklum dan juga tertentu ke atas mereka (berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah). (Lihat Tafsir al-Tabari, 7/597)

Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Begitu juga hadith-hadith Nabi SAW berkenaan isu ini. Antaranya ialah, Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji  menyebut: “Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan.

Ia merupakan syariat Allah yang Maha Bijaksana dan Terpuji. Ia memelihara kepentingan semua orang. Walaubagaimana sekalipun manusia merasakan pandangan mereka lebih baik, namun undang-undang Allah SWT tetap merupakan undang-undang yang terbaik. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/284-286)

Allah SWT berfirman:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ ۚ وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١٣﴾ وَمَن يَعْصِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Maksudnya: Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.

 (Surah al-Nisa’: 13-14)

Berdasarkan persoalan di atas, pampasan hibah atau manfaat takaful tidak termasuk di dalam kategori harta pusaka. Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia, pada mesyuarat ke-52 bertarikh 2 Ogos 2005 telah memutuskan bahawa konsep perlindungan berkanun seperti yang diamalkan oleh insurans konvensional boleh diterima pakai dalam industri takaful seperti yang berikut:

“Pembayaran manfaat takaful tidak akan menjadi sebahagian daripada harta pusaka dan tidak tertakluk kepada hutang peserta takaful yang meninggal dunia.”

Asas pertimbangannya ialah:

“Memandangkan status manfaat takaful yang dihibah tidak akan bertukar menjadi wasiat, harta pusaka dan sebagainya bagi memenuhi matlamat skim takaful iaitu memberikan perlindungan kepada peserta atau penama (penerima hibah), manfaat takaful yang dihibah dilihat mempunyai persamaan dengan perlindungan berkanun yang diterima pakai dalam insurans konvensional. Ini bermakna, sebarang manfaat takaful yang dinamakan kepada suami/isteri, anak atau ibu bapa (sekiranya tiada suami/isteri atau anak yang hidup semasa penamaan dibuat) tidak boleh dibatalkan, diubah, diserah (surrender) dan dicagarkan tanpa mendapat keizinan penama tersebut. Di samping itu, konsep perlindungan berkanun juga boleh digunakan dalam industri takaful kerana ia memelihara kepentingan penama dalam takaful di samping tidak bercanggah dengan konsep hibah ruqba.”[2]

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 8 Februari 2022 bersamaan 6 Rejab 1443H

 

[1] Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=harta+pusaka

[2] Lihat Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam, hlm. 88

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *