#451 Memakan Daging Bison
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan daging bison? Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”
(Surah al-Jathiyah: 13)
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmat-Nya dan juga kurniaan-Nya. Maka hendaklah kepada-Nya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagi-Nya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaan-Nya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaan-Nya) serta hujah-hujah dan dalil-dalil-Nya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499.)
Definisi Bison
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bison ialah sejenis binatang liar seperti kerbau yang pendek tanduknya, bahagian depannya besar dan belakangnya berponok. Ia terdapat di Amerika Utara.[1] Bison (genus Bison), juga dipanggil kerbau atau wisent, sama ada daripada dua spesies mamalia ragut seperti lembu yang membentuk genus Bison daripada keluarga Bovidae. Bison Amerika (B. bison), biasanya dikenali sebagai kerbau atau kerbau dataran, berasal dari Amerika Utara. Manakala bison Eropah (B. bonasus), atau wisent, berasal dari Eropah. Walau bagaimanapun, bilangan kedua-dua spesies tersebut telah berkurangan secara drastik disebabkan aktiviti pemburuan dan kini menduduki kawasan perlindungan kecil yang merupakan pecahan kecil daripada julat kawasan mereka.
Bison Amerika berbeza dengan lembu dalam beberapa aspek. Ia lebih besar dan mempunyai kepala berat yang luas, yang dibawa rendah dan tidak boleh dinaikkan ke paras bahu. Bison juga mempunyai bonggol yang jelas di bahu, bahagian hadapan yang berat, memiliki 14 rusuk dan bukannya 13 seperti yang terdapat pada lembu. Ia juga mempunyai bulu yang kasar dan berbulu berwarna coklat gelap. Ia tumbuh sangat panjang di kepala, leher, dan bahu dan biasanya membentuk janggut di dagu. Jarang-jarang sekali berlaku, pernah seekor bison putih dilahirkan; spesimen luar biasa ini sangat dihormati — dan juga disembah — oleh orang India Amerika. Kedua-dua jantina bison mempunyai tanduk pendek, melengkung ke atas, sedangkan tanduk lembu adalah lebih kecil. Bison ialah haiwan yang besar dan kuat.[2]
Bison adalah ruminan, yang memberi mereka keupayaan untuk menapai tumbuhan dalam perut khusus sebelum mencernanya. Bison pernah dianggap hanya memakan rumput dan rusiga, tetapi kini diketahui memakan pelbagai jenis tumbuhan termasuk tumbuhan berkayu dan herba eudicot. Sepanjang tahun ini, bison memilih tumbuhan dalam diet mereka berdasarkan tumbuhan yang mempunyai kepekatan protein atau tenaga tertinggi pada masa tertentu dan pasti akan memakan spesies tumbuhan yang sama sepanjang tahun. Wisent dilihat lebih suka meragut pokok renek dan pokok tergantung rendah berbanding bison Amerika, yang lebih suka meragut rumput berbanding pokok renek dan pokok.[3]
Bison dilihat sama dengan kerbau. Akan tetapi sebenarnya terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Di antaranya:
- Perbezaan fizikal utama antara haiwan ini ialah bison lebih besar, lebih berat, dan mempunyai kepala lebih besar daripada kerbau. Bison juga mempunyai bonggol bahu yang besar dan kot bulu lebat yang tumbuh tebal pada musim sejuk, terutamanya di sekitar kepala dan leher mereka.
- Kerbau mempunyai tanduk yang besar dan jelas yang memanjang dari sisi kepala mereka selama beberapa kaki dan kemudian melengkung ke atas, tetapi bison mempunyai tanduk yang lebih pendek dan nipis yang tumbuh terus dari bahagian atas kepala mereka dan sedikit melengkung.
- Bison hidup di Amerika Utara dan bahagian yang sangat kecil di Eropah Timur di mana ia dibiakkan dan dilepaskan ke alam liar selepas mengalami kepupusan, berbeza dengan kerbau yang hidup di Afrika dan Asia serta mempunyai bilangan yang lebih besar di alam liar berbanding bison.
- Untuk kebanyakan bahagian, bison lebih panjang, lebih tinggi dan lebih berat berbanding kerbau. Kerbau Afrika lebih kecil dalam ketiga-tiga perkara tersebut, walaupun kerbau Asia sebenarnya lebih berat daripada kedua-duanya, dengan berat hampir 3000 paun.
Justeru, bison dan kerbau adalah daripada dua spesies yang berbeza sekalipun berada dalam satu keluarga besar yang sama iaitu keluarga lembu.[4]
Hukum memakan bison
Mengenai hal ini, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan darat itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:
أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”
(Surah al-Ma’idah: 1)
Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
( Surah al-Baqarah: 29)
Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:
وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ
Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”
(Surah al-Jathiyah: 13)
Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ
Maksudnya: “Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”
Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102).
Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2.)
Oleh itu, kami berpendapat bahawa daging bison adalah halal dimakan. Lebih-lebih lagi, bison juga bukanlah tergolong dalam kategori haiwan pemangsa yang memburu mangsanya sebagai makanan seperti singa, memerang dan lain-lain. Akan tetapi bison merupakan haiwan herbivor yang hanya makan rumput, pokok renek dan seumpamanya.
Selain itu, bison dilihat hampir kepada lembu dan termasuk dalam keluarga lembu. Maka boleh untuk kita katakan bahawa ia termasuk dalam jenis lembu liar. Mengenai lembu liar ini, telah dinukilkan bahawa para ulama telah menyatakan ijmak — yakni bersepakat — akan kehalalannya. Hal ini disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa setiap haiwan liar yang tidak mempunyai taring yang digunakan untuk memburu haiwan lain sebagai makanannya, dan bukan daripada jenis haiwan yang melata (yakni hasyarat), dan haiwan tersebut adalah seperti antelop, lembu liar, keldai liar, unta liar. Jenis-jenis haiwan seperti ini adalah halal menurut ijmak (kesepakatan) kaum Muslimin kerana ia termasuk dalam makanan yang baik-baik. ( Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/134.)
Tambahan lagi, pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan bahawa antara binatang yang halal dimakan ialah binatang ternakan (الأنعام), iaitu unta, lembu, biri-biri, kambing, kuda, seladang, keldai liar, kijang, arnab dan lain-lain, yang dianggap elok oleh orang Arab, yang kemudiannya diakui halal oleh syarak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/68.)
Di samping itu, Ibn Qudamah juga ada menyatakan bahawa lembu liar kesemuanya adalah diharuskan untuk memakannya, tanpa mengira jenisnya seperti rusa, ibex (sejenis kambing gurun), al-Wa‘l (sejenis kambing gurun), oryx (sejenis antelop) dan lain-lain. Kesemua ini juga telah disepakati dalam kalangan ulama mengenai keharusan memakannya dan tidak diketahui adanya khilaf mengenai perkara itu. (Lihat al-Mughni, 9/327.)
Tambahan pula, Imam al-Nawawi turut menyebutkan bahawa al-Wa‘l — yakni salah satu haiwan yang termasuk dalam jenis lembu liar sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Qudamah — adalah halal dimakan tanpa sebarang khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/9.)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa daging bison adalah halal dimakan. Hal ini kerana ia mirip kepada haiwan ternakan seperti lembu dan termasuk dalam keluarga lembu. Justeru, ia merupakan salah satu jenis daripada lembu liar yang halal dimakan sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama.
Selain itu juga, ia bukanlah haiwan yang memiliki taring yang berburu bagi mendapatkan makanannya, tetapi termasuk dalam jenis haiwan herbivor yang hanya memakan rumput, pokok renek dan seumpamanya. Lebih-lebih lagi, fakta menunjukkan bahawa daging Bison biasa dimakan sebagai stik atau dipanggang dan boleh dimasak sama seperti daging merah tanpa lemak yang lain. Oleh kerana kandungan nutrient dagingnya yang kaya, ia mungkin memberikan beberapa manfaat kesihatan, seperti menggalakkan berat badan yang sihat dan jisim otot, apabila dimakan secara sederhana sebagai sebahagian daripada diet yang sihat.[5]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 10 Februari 2022 bersamaan 8 Rejab 1443H
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=bison. Diakses pada 8 Februari 2022.
[2] Lihat https://www.britannica.com/animal/bison. Diakses pada 9 Februari 2022.
[3] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Bison. Diakses pada 9 Februari 2022.
[4] Lihat https://a-z-animals.com/blog/bison-vs-buffalo-5-key-differences/#:~:text=Bison%20are%20larger%2C%20heaver%2C%20and%20have%20thicker%20fur%20than%20buffalo.&text=The%20main%20physical%20differences%20between,around%20their%20head%20and%20neck. Diakses pada 9 Februari 2022.
[5] Lihat https://www.healthline.com/nutrition/bison-meat-nutrition#downsides.