#4621: Istikharah (الاسْتِخَارَةُ) dan Istisyarah (الاسْتِشَارَةُ) Sebelum Berkahwin

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya selalu dengar tentang istikharah apabila ingin membuat keputusan untuk berkahwin, adakah ia sudah memadai untuk kita membuat kata putus dalam memilih pasangan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Istikharah bermaksud mencari kebaikan melalui kepercayaan seseorang terhadap Allah SWT, sama ada dengan cara bersolat atau berdoa. Ia merupakan perkataan yang berasal dari bahasa Arab (الاسْتِخَارَةُ), daripada perkataan (خَيْرٌ) yang membawa makna kebaikan. Penambahan huruf Alif, Sin dan Ta’ (اسْتَخَارَ) menambah lagi maknanya, yang bermaksud memohon pilihan. Inilah yang dinyatakan oleh Ibnu Munzir di dalam Lisan al-Arab. (Lihat Lisan al-Arab, 4/264)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, istikharah itu adalah memohon diberi petunjuk yang terbaik dalam 2 perkara bagi sesiapa yang menginginkan salah satu daripadanya.  (Lihat Fath al-Bari, 11/183)

Oleh kerana perkahwinan merupakan suatu keputusan besar yang harus dilakukan dengan sebaiknya oleh setiap individu, maka Islam mengajarkan kita untuk melakukan istikharah sebelum seseorang lelaki atau perempuan memberikan kata putus bagi meneruskan perhubungan mereka dengan termeterainya misaqan ghaliza, iaitulah ikatan yang utuh dan menjadi peneman hidup yang sentiasa membimbing ke arah kebaikan sehingga ke akhir hayat.

Jabir bin ‘Abdullah R.A pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah mengajarkan kepada para sahabat untuk melakukan istikharah dalam urusan penting kehidupan mereka. Menggambarkan betapa pentingnya istikharah ini, Rasulullah SAW mengajarkan sebagaimana Baginda mengajarkan al-Quran kepada mereka. Baginda SAW bersabda:

إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالْأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الْفَرِيضَةِ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu ingin melakukan sesuatu perkara, maka kerjakanlah solat dua rakaat iaitu selain daripada solat fardhu.”

Kemudian Rasulullah SAW mengajarkan kepada mereka doa yang baik untuk dibacakan ketika melakukan istikharah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلَا أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon pilihan yang terbaik daripada-Mu menurut ilmu-Mu. Aku juga mohon takdir yang terbaik menurut takdir-Mu. Aku mohon limpah kurnia-Mu yang agung, kerana hanya Engkau sahaja yang mentakdirkan bukan aku yang mentakdirkan. Hanya Engkau sahaja yang tahu dan aku tidak tahu. Hanya Engkau sahaja yang mengetahui ilmu ghaib. Ya Allah, jika Engkau tahu perkara ini baik untuk  diriku, untuk hidupku dan untuk matiku, atau baginda bersabda; Untuk urusanku di dunia dan akhirat, takdirkanlah ia untukku kemudian berkatilahku dalam urusan ini. Jika Engkau tahu perkara ini tidak baik untukku, untuk agamaku, untuk hidupku dan untuk matiku, atau baginda bersabda: Untuk urusanku di dunia dan akhiratku, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah diriku daripadanya. Takdirkanlah diriku beroleh kebaikan yang sepatutnya kemudian buatkanlah diriku redha dengannya. Baginda bersabda: ‘Seterusnya nyatakanlah hajatnya’.”

Riwayat al-Bukhari (1162), Abu Dawud (1538), al-Tirmizi (480), al-Nasaie (3253), Ibn Majah (1383) dan Ahmad (14707)

Dan menerusi hadith ini, dapat difahami bahawa ciri-ciri istikharah adalah seperti berikut:

  • Dilakukan apabila berhajat melakukan keputusan yang penting, dan keputusan itu dimulai dengan pengharapan kepada Allah SWT agar dikurniakan yang terbaik.
  • Dimulai dengan solat sunat 2 rakaat.
  • Berdoa sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, selepas itu barulah menyatakan hajatnya di dalam doa tersebut.

Istikharah dalam membuat keputusan ini tidaklah terhenti pada solat dan doa sahaja, bahkan ia perlu disertakan dengan usaha ke arah kebaikan yang diingini itu. Dan antara usaha ini adalah istisyarah (الاسْتِشَارَةُ), iaitu meminta nasihat dan bertanya pandangan dari mereka yang lebih mengetahui, sama ada pengetahuan mereka itu berdasarkan pengalaman atau kerana mereka mengenali orang yang ingin dikahwini itu.

Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:

فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl: 43)

Justeru, digalakkan bagi lelaki mahupun perempuan untuk menyiasat latar belakang pasangan masing-masing dan memastikan bahawa keputusan yang bakal dibuat itu adalah keputusan yang terbaik buatnya. Dan nasihat ini pula perlulah berunsurkan kebenaran dan kejujuran, bukannya semata-mata ingin melangsungkan perkahwinan yang dikaburi dengan penipuan.

Dikisahkan dalam sebuah hadith tentang Fatimah binti Qais R.Anha yang meminta nasihat Rasulullah SAW untuk berkahwin dengan Mu‘awiyah bin Abu Sufyan atau Abu Jaham setelah dia diceraikan oleh ‘Amar bin Hafash. Lalu Baginda SAW bersabda:

أَمَّا أَبُو جَهْمٍ فَلاَ يَضَعُ عَصَاهُ عَنْ عَاتَقِهِ وَأَمَّا مُعَاوِيَةُ فَصُعْلُوكٌ لاَ مَالَ لَهُ انْكِحِي أُسَامَةَ بْنَ زَيْدٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Abu Jaham tidak pernah meninggalkan tongkatnya, yakni suka memukul, manakala Mu‘awiyah bin Abi Sufyan miskin. Oleh itu, sebaik-baiknya kamu berkahwinlah dengan Usamah bin Zaid.”

Lalu Fatimah binti Qais enggan, tetapi Rasulullah SAW tetap menasihatinya untuk mengahwini Usamah. Fatimah pun berkata:

فَنَكَحْتُهُ فَجَعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا وَاغْتَبَطْتُ بِهِ

Maksudnya: “Lalu aku menikahi Usamah, maka Allah memberikan kebaikan padanya dan aku berasa bahagia dengannya.”

Riwayat Muslim (1480)

Lihatlah bagaimana sunnah Rasulullah SAW menjadi pengajaran yang amat baik buat seluruh umat manusia. Maka sesiapa sahaja yang berkehendak untuk memilih pasangan dan membuat keputusan untuk berkahwin dengannya, sebaiknya didahului dengan istikharah dan dilengkapi dengan istisyarah agar keputusan yang disertakan dengan usaha yang sesuai dengan kebaikan yang dipinta. 

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *