Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada jiran dalam kalangan orang bukan Islam dan dia agak rapat dengan saya. Jadi, baru-baru ini saya baru sahaja pulang daripada mengerjakan ibadah umrah dan berhajat ingin menghadiahkan sedikit air zamzam buat semua jiran saya, termasuklah yang bukan Islam. Soalannya, bolehkah saya memberi air zamzam kepada orang bukan Islam? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Air zamzam merupakan penghulu bagi segala air dan sebaik-baik air di atas muka bumi ini. Zamzam adalah nama bagi sebuah telaga yang berada di dalam Masjidil Haram di Makkah. Kemunculan telaga ini adalah pada zaman Nabi Ismail bin Ibrahim A.S, apabila Allah SWT telah sediakan air dari telaga ini bagi menghilangkan kelaparan dan dahaga buat dirinya dan ibunya, apabila mereka sudah kehabisan bekalan air di Makkah yang tandus pada ketika itu.

Di antara keistimewaan air Zamzam ini ialah ia merupakan air yang diberkati dan boleh mengenyangkan sesiapa yang meminumnya serta penawar daripada penyakit. Perkara ini kami telah bahaskan secara panjang lebar dalam artikel-artikel kami iaitu:

Memberi air zamzam kepada non-Muslim

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, kami tidak menemui satu pun larangan berkenaan memberikan air zamzam kepada orang bukan Islam sama ada dari sudut sejarah mahupun hadith Nabi SAW. Justeru, ia kekal sebagai hukum asalnya iaitu diharuskan. Ia menepati kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60.)

Malah, ketika saat pembukaan kota Makkah, tiada satu pun di dalam ucapan Rasulullah SAW yang melarang orang-orang Musyrik — yakni orang bukan Islam — daripada meminum air zamzam, walaupun mereka masih lagi menetap di kota Makkah. Tambahan pula, Syeikh Mustafa al-‘Adawi ketika ditanya berkenaan hukum orang bukan Islam meminum air zamzam? Beliau menjawab dengan menyatakan bahawa tiada larangan dalam hal tersebut.[4] Justeru, jika mereka dibolehkan untuk meminumnya, maka hukum yang sama juga terpakai dalam hal ini — yakni pemberian air zamzam kepada mereka.

Bukan itu sahaja, boleh jadi sedikit kebaikan yang diberikan kepada mereka akan menjadikan mereka lembut hatinya bagi memeluk agama Islam atau mengubah pandangan mereka terhadap agama Islam menjadi lebih baik. Tambahan lagi, Islam sama sekali tidak melarang penganutnya daripada berbuat baik kepada orang bukan Islam, namun sebaliknya menyeru penganutnya supaya berbuat baik dan berlaku adil walaupun kepada mereka — yakni bukan Islam. Firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya:Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

(Surah al-Mumtahinah: 8)

Kesimpulannya

Justeru, kami berpendapat bahawa diharuskan untuk memberi air zamzam kepada orang bukan Islam kerana tidak tiadanya larangan mahupun tegahan dalam hal tersebut. Bahkan, sebaliknya ia merupakan suatu sikap yang terpuji, lebih-lebih lagi dalam menzahirkan sikap dan akhlak Islam yang baik. Mudah-mudahan, perbuatan baik yang sedikit itu akan melembutkan hati mereka bagi melihat kebaikan agama Islam dan seterusnya menganut ajaran yang mulia ini.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 13 Februari 2022 bersamaan11 Rejab 1443H

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/369-keberkatan-air-zamzam-tidak-terikat-dengan-tanah-haram/.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/374-keharusan-membawa-air-zamzam-keluar-dari-makkah/.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/436-mandi-dengan-air-zamzam/.

[5] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=B2BjJ7UPInU. Diakses pada 10 Februari 2022.

Leave a Reply