#464 Makan Telur Penyu

-29%
Ebook

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Dhuha

Rated 0 out of 5
RM5.00
-44%
Ebook

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Tahajjud

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Tarawih

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM5.00

Inspirasi Hidup

Demi Masa: Peliharalah

Rated 0 out of 5
RM5.00
-50%
Rated 0 out of 5
RM60.00
-60%
Rated 0 out of 5
RM20.00

Kajian Al-Fitan Wa Al-Malahim

Tanda-tanda Kecil Kiamat (Siri 1)

Rated 0 out of 5
RM6.00

Kajian Al-Fitan Wa Al-Malahim

Tanda-tanda Kecil Kiamat (Siri 2)

Rated 0 out of 5
RM6.00
Rated 0 out of 5
RM5.00

Inspirasi Hidup

Ulama Memelihara Masa

Rated 0 out of 5
RM5.00

Kajian Al-Fitan Wa Al-Malahim

[Ebook] Terbitnya Matahari dari Arah Barat

Rated 0 out of 5
RM6.00RM8.00

Kajian Al-Fitan Wa Al-Malahim

Tiupan Sangkakala Pada Hari Kiamat

Rated 0 out of 5
RM6.00

Kajian Al-Fitan Wa Al-Malahim

Penghancuran Ka’abah

Rated 0 out of 5
RM6.00
-37%
Rated 0 out of 5
RM10.00RM90.00

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Halalkah telur penyu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”[1]

Ayat dia atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas.[2]     

Mukadimah

Umumnya, telur merupakan makanan yang menjadi kegemaran orang ramai dan merupakan satu bahan penting di dalam masakan. Selain itu, telur merupakan salah satu makanan yang sihat dan boleh menjadi sumber protein yang baik.

Penyu adalah daripada superkeluarga Chelonioidea, sejenis reptilia daripada order Testudines. Terdapat tujuh spesies penyu, iaitu Penyu hijau, Penyu tempayan, Penyu karah, Penyu pipih, Penyu belimbing, Penyu lipas dan Penyu Kempi. Penyu digolongkan di dalam haiwan vertebrata (bertulang belakang), kelas reptilia sama dengan ular, cicak, kura-kura, labi-labi dan tuntung. Penyu juga mempunyai kulit yang bersisik (di bahagian tidak bercangkerang), bernafas melalui paru-paru, mempunyai suhu badan yang mengikut suhu persekitaran, bertelur dan merupakan haiwan marin.

Kesemua spesies penyu diancam bahaya kepupusan disebabkan mengalami banyak ancaman semulajadi dan ancaman manusia sepanjang hayat mereka. Setiap tahun, populasi penyu yang mendarat untuk bertelur semakin berkurangan. IUCN meletakkan haiwan ini sebagai spesies terancam. Antara ancaman yang dihadapi oleh penyu adalah pemburuan daging dan telurnya secara haram, terutamanya di China, Filipina, India, Indonesia dan beberapa negara di Amerika. Dianggarkan 35,000 penyu dibunuh setahun di Mexico dan Nicaragua sehingga ada ahli pemulihara di Mexico dan Amerika Syarikat melancarkan kempen “Don’t Eat Sea Turtle” untuk mengurangkan perdagangan produk haiwan ini.[3]

Makan telur penyu

Terlebih dahulu, kita hendaklah mengetahui bahawa penyu termasuk dalam haiwan yang diharamkan untuk dimakan dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i.[4] Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini bahawa penyu diharamkan untuk dimakan kerana ia dianggap jijik dan kotor.[5] Begitu juga ‘Abd al-Rahman al-Jaziri menyebutkan bahawa diharamkan memakan kura-kura darat atau laut yang dikenali juga sebagai penyu kerana ia mampu hidup di daratan dan lautan.[6]

Selanjutnya, mengenai hukum telur pula Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa telur daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci secara ijmak. Manakala telur daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya pula, padanya terdapat dua pendapat. Pendapat yang kuat dalam hal ini adalah ia dikira suci.[7] Begitu juga al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi dengan mengatakan bahawa terdapat khilaf dalam kalangan ulama berkenaan kehalalan memakan telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya. Dinyatakan di dalam kitab al-Majmu‘, jika kita katakan bahawa telur itu dikira suci — dan ia adalah pendapat yang rajih — maka dihalalkan untuk memakannya tanpa sebarang khilaf kerana telur adalah suci dan tidak dianggap jijik.[8]

Selain itu, al-Qalyubi juga ada menyebutkan bahawa semua jenis telur itu adalah suci, sekalipun ia berasal daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya. Begitu juga sekalipun ia telah berubah menjadi darah di mana jika dieramkan, pasti ia akan menetas. Akan tetapi diharamkan untuk memakan apa yang memudaratkan seperti telur ular.[9] Tambahan lagi, Syeikh Nawawi al-Jawi juga ada menyatakan bahawa apabila telur sudah rosak, hingga tidak boleh lagi berkembang untuk menetas, maka ia dianggap sebagai najis. Demikianlah juga telur haiwan daripada bangkai — turut dikira sebagai najis. Adapun selain daripada semua itu, telur tersebut dikira sebagai suci dan boleh dimakan, meskipun daripada haiwan yang tidak dimakan dagingnya seperti burung hida’ah (sejenis burung helang), burung gagak, burung helang, burung hantu, buaya, penyu dan seumpamanya kecuali telur ular.[10]

Hal ini kerana telur ular itu memudaratkan pemakannya. Al-Dimyati ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa menurut pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi‘i, telur haiwan dikira suci sepertimana air mani, sekalipun ia berasal daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya daripada jenis haiwan yang suci, selagi mana ia tidak memudaratkan.[11] Begitu juga Syeikh al-Jamal dalam hasyiahnya turut menyatakan bahawa telur burung hida’ (sejenis burung helang), telur burung helang, telur burung gagak, telur burung hantu, telur penyu, telur buaya adalah halal untuk dimakan.[12]

Oleh itu, kita dapat rumuskan bahawa semua jenis telur adalah halal dan harus untuk dimakan termasuklah telur penyu, melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan sebaliknya seperti ia memberi mudarat kepada pemakannya dan seumpamanya. Maka ia menepati kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).[13]

Telur penyu termasuk dalam larangan penjualan

Dalam Sinar Harian, bertarikh 18 November 2021 menyatakan bahawa Terengganu mengharamkan sepenuhnya penjualan telur penyu dan tuntung laut di negeri tersebut bermula 1 Jun 2022 bagi memulihara haiwan reptilia marin yang semakin pupus itu. Undang-undang baharu itu akan dikuatkuasakan susulan pindaan Enakmen Penyu 1951 telah diluluskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14.

Menurut Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim, rentetan daripada itu, telur penyu bukan daripada spesis belimbing yang sebelum ini dijual secara terbuka tidak lagi dibenarkan. Beliau menyebutkan lagi, Terengganu satu-satunya negeri yang membenarkan penjualan telur penyu. Larangan hanya membabitkan jualan telur penyu belimbing tetapi sebenarnya spesies ini sudah enam tahun tidak kelihatan mendarat di pantai Terengganu. Oleh itu, enakmen sebelum ini sudah tidak relevan kerana telur penyu yang dilarang penjualannya sebenarnya sudah tidak wujud di Terengganu.

Selain daripada larangan penjualan telur penyu, pindaan enakmen baharu itu turut mengetatkan hukuman kepada mereka yang mengganggu atau membunuh penyu iaitu denda antara RM50,000 hingga RM200,000 serta penjara selama setahun. Menurut Dr. Azman, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding denda sebanyak RM3,000 yang dikenakan sebelum ini. Kemudian, beliau menyatakan juga bahawa undang-undang lebih ketat itu bukan bertujuan untuk menghukum sebaliknya bersifat pencegahan atas dasar melindungi penyu yang merupakan ikon bagi negeri Terengganu.[14]

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa pada asasnya telur penyu adalah halal dimakan kerana ia dihukumkan sebagai suci. Walau bagaimanapun, kami juga mengambil kesempatan di sisi untuk menasihatkan agar tidak memakannya bagi mematuhi arahan pemerintah yang tidak membenarkannya. Hal ini kerana pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang masyhur:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya:Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Selain itu, sebagaimana yang kita ketahui, spesies penyu merupakan hidupan yang semakin pupus. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang supaya dapat melihat dan mengenalinya. Perkara ini bertepatan dengan kaedah Sadd al-Zarai‘ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar yakni kepupusan penyu. Oleh itu, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf — yakni baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 13 Februari 2022 bersamaan11 Rejab 1443H

[1] Surah al-Maidah: 87

[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122

[3] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Penyu. Diakses pada 10 Februari 2022.

[4] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/130.

[5] Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/146.

[6] Lihat al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba‘ah, 2/7.

[7] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/555.

[8] Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/158.

[9] Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 1/82.

[10] Lihat Nihayah al-Zain, hlm. 39.

[11] Lihat I‘anah al-Talibin, 1/104.

[12] Lihat Hasyiah al-Jamal, 1/176.

[13] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60.

[14] Lihat https://www.sinarharian.com.my/article/173119/BERITA/Terengganu-haramkan-jual-telur-penyu-tuntung. Diakses pada 10 Februari 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Home
Account
Cart
Search