#4636: Penggunaan Celak Ketika Tempoh Kematian Bagi Tujuan Perawatan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah dibolehkan bagi perempuan yang kematian suami untuk bercelak ketika tempoh ‘iddah bagi tujuan perawatan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan jawapan ini dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Baqarah: 234)

Daripada Ummu Habibah R.Anha, katanya:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُحِدُّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.”

Riwayat al-Bukhari (5024) dan Muslim (1486)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan pada asalnya seorang isteri yang kematian suami tidak dibolehkan untuk bertabarruj atau berhias sepanjang tempoh ‘iddah kematian dan hendaklah dia menjaga larangan-larangan yang telah ditegah oleh syara’ ketika tempoh tersebut.

Diriwayatkan daripada Ummu ‘Atiyyah R.Anha meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

‏لاَ تُحِدُّ امْرَأَةٌ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا وَلاَ تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلاَّ ثَوْبَ عَصْبٍ وَلاَ تَكْتَحِلُ وَلاَ تَمَسُّ طِيبًا إِلاَّ إِذَا طَهُرَتْ نُبْذَةً مِنْ قُسْطٍ أَوْ أَظْفَارٍ

Maksudnya: “Janganlah seorang wanita itu berihdad (berkabung) ke atas si mati melebihi tiga hari melainkan ke atas suami iaitu selama empat bulan sepuluh hari. Dan janganlah dia memakai pakaian bercorak dan berwarna-warni melainkan pakaian yang berwarna putih dan dia juga tidak boleh bercelak serta memakai wangian. Adapun ketika haid maka diperbolehkan baginya untuk mengenakan sedikit wangian dengan cebisan kapas/kain untuk menghilangkan bau tidak enak.”

Riwayat Muslim (938)

Dapat difahami melalui hadith ini adalah “al-Ihdad”, yang bermaksud kewajipan bagi seorang yang kematian suami  untuk tetap tinggal di rumah di mana tempat suaminya meninggal, dan hendaklah baginya meninggalkan segala sesuatu yang menandakan keinginan untuk menarik perhatian laki-laki terhadapnya, baik dalam pakaian mahupun penampilan fisikal. Ini termasuk menghindari pakaian atau perhiasan yang menarik perhatian, seperti wangi-wangian, inai, celak, pewarna rambut, bedak, dan krim, yang biasanya digunakan oleh wanita untuk mempercantikan diri. Diwajibkan ke atasnya  untuk tetap di rumah dan menghindari diri dari berhias sehingga berakhirnya tempoh ‘iddah. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/575-576)

Numun dalam situasi di mana dia berhajat untuk mengenakan celak bagi tujuan perawatan maka ia dibolehkan dan syara’ telah meberikan kelonggaran dan keringinan baginya. Imam Abu Ishaq al-Syirazi menyebutkan, Ihdad (الْإِحْدَادُ) itu adalah dengan meninggalkan berhias-hias. Maka wanita itu tidak boleh memakai barangan kemas, memakai wangian, menghiasi diri dengan inai, , dan tidak bercelak dengan ithmid atau Sabir (cairan dari pokok Myrrh yang telah mengeras). Sekiranya ada keperluan untuk bercelak, dia dibenarkan untuk bercelak hanya pada waktu malam, dan membasuhnya pada waktu siang. Wanita itu juga tidak boleh memakai pakaian berwarna merah atau biru terang. Dan dia juga tidak dibenarkan untuk keluar rumah kecuali jika adanya keperluan, dan tidak boleh keluar dengan adanya keperluan pada waktu malam. Dan dibolehkan untuk wanita yang kematian suaminya untuk keluar pada siang hari untuk menunaikan hajatnya. (Lihat al-Tanbih, 1/201)

Dinyatakan juga dalam Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram bahwa: Nabi Muhammad SAW tidak mengizinkan bagi seseorang yang sedang dalam tempoh berkabung untuk mengenakan celak kerana ia merupakan perhiasan pada kedua-dua belah mata. Namun, memakai celak bagi tujuan perawatan adalah diharuskan sekiranya terdapat keperluan. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/576)

Justeru kami katakan bahawa wanita yang berada dalam tempoh iddah kematian suami hendaklah mematuhi segala larangan yang telah ditetapkan oleh syara’ seperti tidak berhias dan sebagainya. Ia   bagi menzahirkan kesedihan setelah kehilangan suami yang merupakan tunjang utama keluarga. Namun, dalam keadaan terdapatnya keperluan, syariat memberikan kelonggaran untuk melakukan sesuatu yang dilarang semasa tempoh berkabung tersebut, contohnya penggunaan celak  untuk tujuan perubatan dan rawatan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *