#4672: Hikmah Disebalik Kewujudan Maksiat Dan Kemungkaran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apa hikmah dari kewujudan maksiat dan kemungkaran ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَقُولُوا۟ قَوْلًۭا سَدِيدًۭا ٧٠ يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَـٰلَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara), (70) Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.

(Surah al-Ahzab:70-71)

Perbuatan maksiat dan derhaka adalah bertentangan dengan ketaatan, atau bertentangan dengan perintah Allah SWT. Apabila seseorang tidak mematuhi atau melakukan yang bertentangan dengannya, maka dikatakan: Hamba itu telah menderhakai Tuhannya iaitu  dengan melakukan apa yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya, atau meninggalkan apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya kerana dia memilih untuk dirinya sendiri selain dari apa yang dipilih oleh Allah dan Rasul-Nya dalam  menurut hukum syarak, dan inilah kesesatan yang nyata.

Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

Maksudnya: Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

(Surah al-Ahzab:36)

Begitu juga firman Allah :

وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَإِنَّ لَهُ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا

Maksudnya: “(Aku diberi kuasa) hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah dan perintah-perintahNya (yang ditugaskan kepadaku menyampaikannya); dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka sesungguhnya disediakan baginya neraka Jahannam; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya.”.

(Surah JIn:23)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan setiap muslim diperintahkan untuk meninggalkan segala maksiat dan mentaati segala perintah dan larangan Allah SWT. Wujudnya maksiat adalah bagi menguji tahap keimanan seseorang dan membezakannya adakah tergolong dari kalangan yang mentaati atau menderhaki perintah Allah .

Antara yang disebutkan oleh Syeikh Soleh Uthaimin tentang hikmah wujudnya maksiat dan kekufuran adalah sepertimana berikut:

  • Menyempurnakan firman Allah SWT, di mana Dia memberi ancaman bahawa Neraka akan dipenuhkan sebagaiman firmannya:

وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ ١١٨ إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَ ۚ وَلِذَٰلِكَ خَلَقَهُمْ ۗ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ ٱلْجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam ugama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)

(Surah Hud:118-119)

  • Daripadanya juga terzahir hikmah dan kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi, di mana Dia memisahkan hamba-hamba-Nya kepada dua kumpulan: yang taat dan yang bermaksiat. Pembahagian ini menunjukkan hikmah Yang Maha Mulia, kerana ketaatan mempunyai ahlinya , begitu juga maksiat mempunyai orang-orang yang cenderung kepadanya. Mereka yang tergolong dari kalangan ahli Taat adalah sebagaima firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ اهْتَدَوْا زَادَهُمْ هُدًى وَآتَاهُمْ تَقْوَاهُمْ ‎

Maksudnya: Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.

(Surah Muhammad: 17)

Manakala mereka yang tergolong dari ahli makasiat telah diceritakan dalam firman Allah SWT:

وَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَتْهُمْ رِجْسًا إِلَىٰ رِجْسِهِمْ وَمَاتُوا وَهُمْ كَافِرُونَ

Maksudnya:  Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.

(Surah al-Taubah:125)

Dengan itu terbukti kekuasaan-Nya melalui pembahagian ini yang hanya Allah yang mampu melakukan sebagaimana firmannya:

 لَّيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ

Maksudnya: Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya)

(Surah al-Baqarah:272)

Begitu juga firman Allah SWT:

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya Kami telah hubungkan turunnya firman-firman Kami (Al-Quran) dengan berturut-turut kepada mereka, supaya mereka beroleh peringatan (lalu beriman).

(Surah al-Qasas:56)

  • Berlindung kepada Tuhannya melalui doa untuk menjauhkan antara dirinya dengan perbuatan maksiat. Doa adalah ibadah kepada Allah Yang Maha Tinggi
  • Apabila hamba terjatuh dalam maksiat kemudian diberi anugerah oleh Allah dengan taubat, maka ia kembali kepada Allah dan hatinya tunduk. Mungkin selepas taubat, keadaannya lebih sempurna daripada sebelum maksiat di mana sifat sombong dan bongkak terhapus darinya, dan dia menyedari betapa besar kebergantungannya kepada Tuhannya.
  • Antara yang termasuk di dalamnya adalah melaksanakan jihad, menyuruh kepada kebaikan, dan mencegah kemungkaran. Jika tidak kerana maksiat dan kufur, tidak akan ada jihad, atau perintah kebaikan, atau larangan terhadap kemungkaran, serta banyak hukum dan kepentingan lain yang ada dalam penciptaan Allah. (Lihat Majmu’ Fatawa wa Rasail Uthaimin, 2/104-106)

Telah dinyatakan dalam kitab Nudrah al-Na’im fi Makarim Akhlak al-Rasul al-Karim bahwa antara hikmah disebalik terjatuhnya seseorang itu dalam kemaksiatan adalah :

  • Memperbaiki hubungan hamba dengan Tuhannya
  • Memperbaiki hubungan hamba dengan dirinya sendiri
  • Memperbaiki hubungan hamba dengan yang lain (Lihat Nudrah al-Na’im fi Makarim Akhlak al-Rasul al-Karim, 1/19)

Justeru, jelaslah kepada kita bahawa dengan sifat belas kasihan dan kasih sayang Allah Dia mengampuni hamba-hambanya yang telah terlanjur  melakukan maksiat  dan Dia lah Yang Maha menerima Taubat hamba-hambanya. Yang demikian juga merupakan hikmah di sebalik maksiat dan perbuatan mungkar.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

1 thoughts on “#4672: Hikmah Disebalik Kewujudan Maksiat Dan Kemungkaran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *