Soalan

Apakah hukum membeli barangan dapur dengan berhutang dan membayarnya selepas mendapat gaji?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

dari segi bahasa, hutang ialah sebarang liabiliti (tanggungan) masa hadapan yang dipertanggungkan ke atas seseorang sama ada dalam bentuk wang atau sebagainya.

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121)

Sesungguhnya Islam telah menekankan tentang konsep berhutang menerusi Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.”

(Surah al-Baqarah: 282)

Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/411)

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Ka’ab bin Malik RA:

أَنَّهُ تَقَاضَى ابْنَ أَبِى حَدْرَدٍ دَيْنًا كَانَ لَهُ عَلَيْهِ فِى الْمَسْجِدِ، فَارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُهُمَا حَتَّى سَمِعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِى بَيْتِهِ، فَخَرَجَ إِلَيْهِمَا حَتَّى كَشَفَ سِجْفَ حُجْرَتِهِ فَنَادَى: يَا كَعْبُ. قَالَ لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: ضَعْ مِنْ دَيْنِكَ هَذَا. وَأَوْمَأَ إِلَيْهِ أَىِ الشَّطْرَ قَالَ لَقَدْ فَعَلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: قُمْ فَاقْضِهِ

Maksudnya:Sesungguhnya dia menagih hutang kepada Ibn Abi Hadrad di masjid, hingga suara kedua orang itu meninggi dan didengari oleh Rasulullah SAW, sementara Baginda ada di rumahnya. Baginda keluar menuju keduanya hingga menyingkap tirai kamarnya sambil berseru: “Wahai Ka‘b!” Ka‘b berkata: “Aku menyambut seruanmu, wahai Rasulullah!” Rasulullah SAW bersabda: “Kurangkanlah hutangmu sekian.” Baginda mengisyaratkan kepada Ka‘b, yakni setengah. Ka‘b berkata: “Aku telah melakukannya, wahai Rasulullah!” Nabi bersabda (kepada Ibn Abi Hadrad): “Berdirilah dan tunaikan hutangmu.”

Riwayat al-Bukhari (2418) dan Muslim (1558)

Berdasarkan soalan di atas, maka hukum berhutang adalah dibenarkan oleh syara’ namun terdapat hukum-hakam yang berkaitan dengannya. Namun kami mengambil kesempatan untuk nasihatkan beberapa perkara:

  • Perlulah dicatat serta direkodkan jumlah hutang tersebut beserta maklumat-maklumat yang lain sebagaimana dalil pensyariatan hutang. Jumhur ulama’ mengatakan bahawa arahan untuk menulis hutang tersebut adalah sunat dan bukannya wajib. Ianya didatangkan di dalam uslub al-Irsyadiaitu sebagai panduan sahaja dan bukanlah sesuatu yang mewajibkannya. Mencatat segala hutang ini juga bagi mengelakkan dari terlupa dan juga berlakunya keraguan di kemudian hari.
  • Terdapatnya saksi untuk transaksi hutang tersebut.Ini juga sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT:
  • وَٱسۡتَشۡهِدُواْ شَهِيدَيۡنِ مِن رِّجَالِكُمۡۖ فَإِن لَّمۡ يَكُونَا رَجُلَيۡنِ فَرَجُلٌ وَٱمۡرَأَتَانِ مِمَّن تَرۡضَوۡنَ مِنَ ٱلشُّهَدَآءِ أَن تَضِلَّ إِحۡدَىٰهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحۡدَىٰهُمَا ٱلۡأُخۡرَىٰۚ

Maksudnya: Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki (di antaramu). Jika tak ada dua oang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu ridhai, supaya jika seorang lupa maka yang seorang mengingatkannya.  (Surah al-Baqarah: 282)

Begitu juga dengan mengambil saksi bagi kes hutang, yang sahih dikalangan para ulama’ adalah sunat hukumnya. Saksi yang diperuntukkan di sini ialah dua orang lelaki dan sekiranya terdapat seorang sahaja lelaki, maka tempat saksi itu boleh digantikan dengan 2 orang perempuan.

  • Asal bagi setiap hutang wajib dilunaskan.Namun, sekiranya dihalalkan oleh si pemiutang, maka gugurlah hutang tersebut dan tiada lagi keterikatan bagi si penghutang dengan pemiutang.

Sebagai penutup, kami nyatakan bagi situasi seperti persoalan di atas hukumnya adalah harus dan dibolehkan untuk berhutang dengan mengambil stok barangan dapur dan kemudian membayar nilai hutang tersebut setelah mendapat gaji. Dalam isu ini, ianya juga tertakluk kepada budi bicara si pemiutang.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 14 Februari 2022 bersamaan 12 Rejab 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *