#4722: Ruqyah dari Binatang Berbisa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika kita disengat ular atau jengking kala, boleh atau tidak kita beruqyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Ruqyah adalah sebahagian daripada doa yang selayaknya kita memohon kepada Allah SWT di mana antara ruqyah Rasulullah SAW seperti dalam hadith Anas R.A. Daripada ‘Abd al-Aziz, katanya: Aku masuk bersama Thabit menemui Anas bin Malik R.A. Thabit berkata:

يَا أَبَا حَمْزَةَ، اشْتَكَيْتُ، فَقَالَ أَنَسٌ: أَلاَ أَرْقِيكَ بِرُقْيَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: بَلَى، قَالَ: «اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ، مُذْهِبَ البَاسِ، اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لاَ شَافِيَ إِلَّا أَنْتَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا»

Maksudnya: “Wahai Abu Hamzah, aku menderita sakit.” Anas R.A berkata, “Bolehkah aku meruqyah engkau dengan ruqyah Rasulullah SAW?” Dia berkata: “Sudah tentu.” Beliau (Anas R.A) berkata: “اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ، مُذْهِبَ البَاسِ، اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لاَ شَافِيَ إِلَّا أَنْتَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا (Ya Allah, Tuhan segala manusia, penghilang segala kesakitan, sembuhkanlah sesungguhnya Engkaulah yang Maha Menyembuhkan, tidak ada yang menyembuhkan kecuali Engkau, kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang rasa sakit).”

Riwayat al-Bukhari (5742)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan ruqyah disebabkan patukan ular atau sengatan kala jengking adalah dibolehkan. Hal ini berdasarkan hadith Aisyah R.Anha. ‘Abd al-Rahman bin al-Aswad menyampaikan kepada kami, daripada bapanya, katanya: “Aku bertanya kepada Aisyah R.Anha mengenai ruqyah kerana sengatan binatang berbisa, maka beliau berkata:

رَخَّصَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرُّقْيَةَ مِنْ كُلِّ ذِي حُمَةٍ

Maksudnya: “Nabi SAW memberikan keringanan untuk melakukan ruqyah yang disebabkan oleh setiap binatang berbisa.”

Riwayat al-Bukhari (5741)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *