#4811: Lafaz Sumpah Nabi SAW

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah Nabi SAW bersumpah dengan lafaz tertentu sebagaimana yang kita tahu, dengan wallahi, wabillahi, watallahi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Asas sumpah adalah dengan nama Allah SWT. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”

Riwayat al-Bukhari (3836) dan Muslim (1646)

Dalam pengamatan kami, ada beberapa lafaz yang Nabi SAW guna untuk bersumpah. Antaranya:

  • Waimullah (وَايْمُ اللهِ) (Demi Allah)”

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW menghantar suatu pasukan tentera dan melantik Usamah bin Zaid sebagai pemimpinnya. Lalu sebahagian orang mengkritik kepemimpinannya. Maka Rasulullah SAW berdiri lalu bersabda:

إِنْ كُنْتُمْ تَطْعَنُونَ فِي إِمْرَتِهِ، فَقَدْ كُنْتُمْ تَطْعَنُونَ فِي إِمْرَةِ أَبِيهِ مِنْ قَبْلُ. وَايْمُ اللهِ، إِنْ كَانَ لَخَلِيقًا لِلْإِمَارَةِ. وَإِنْ كَانَ لَمِنْ أَحَبِّ النَّاسِ إِلَيَّ، وَإِنَّ هَذَا لَمِنْ أَحَبِّ النَّاسِ إِلَيَّ بَعْدَهُ.

Maksudnya: “Jika kamu mengkritik kepemimpinannya, maka kamu juga telah mengkritik kepemimpinan bapanya sebelum itu. Demi Allah, sesungguhnya beliau (Zaid bin Harithah) sangat layak untuk memimpin. Beliau merupakan antara orang yang paling aku cintai dan sesungguhnya orang ini (Usamah bin Zaid) juga adalah antara orang yang paling aku cintai selepasnya.”

Riwayat al-Bukhari (6627)

  • Wallazi nafsi biyadih (وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ) (Demi Zat yang jiwaku berada dalam tangan-Nya (kekuasaan-Nya))

Daripada Jabir bin Samurah, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِذَا هَلَكَ قَيْصَرُ فَلاَ قَيْصَرَ بَعْدَهُ، وَإِذَا هَلَكَ كِسْرَى فَلاَ كِسْرَى بَعْدَهُ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَتُنْفَقَنَّ كُنُوزُهُمَا فِي سَبِيلِ اللهِ.

Maksudnya: “Jika Kaisar meninggal dunia maka tidak ada lagi Kaisar selepasnya (di Syam) dan jika Kisra meninggal dunia maka tidak ada lagi Kisra selepasnya (di Iraq). Demi Zat yang jiwaku berada dalam tangan-Nya (kekuasaan-Nya), sesungguhnya khazanah perbendaharaan mereka akan dibelanjakan di jalan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (6629)

  • La wa muqallibi al-qulub (لاَ وَمُقَلِّبِ القُلُوبِ) ( “Tidak, demi Zat yang membolak balikkan hati.”)

Daripada Ibn Umar, katanya:

 كَانَتْ يَمِينُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لاَ وَمُقَلِّبِ القُلُوبِ».

Maksudnya: (Lafaz) sumpah Nabi SAW ialah: “Tidak, demi Zat yang membolak balikkan hati.”

Riwayat al-Bukhari (6628)

  • Wallahi (وَاللهِ) (Demi Allah)

Daripada Aisyah R.Anha, daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda bersabda:

يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ، وَاللهِ، لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا وَلَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا.

Maksudnya: “Wahai umat Muhammad, demi Allah, seandainya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa.”

Riwayat al-Bukhari (6631)

  • Wallazi nafsu muhammadin biyadih (وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ) (Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam tangan-Nya (kekuasaan-Nya).

Daripada Abu Hurairah, katanya: Abu al-Qasim SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ، لَبَكَيْتُمْ كَثِيرًا وَلَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا.

Maksudnya: “Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam tangan-Nya (kekuasaan-Nya), sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, pasti kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa.”

Riwayat al-Bukhari (6637)

  • Waimullazi nafsu muhammadin bi yadih (وَايْمُ الَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ) (Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya)

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

قَالَ سُلَيْمَانُ: لَأَطُوفَنَّ اللَّيْلَةَ عَلَى تِسْعِينَ امْرَأَةً، كُلُّهُنَّ تَأْتِي بِفَارِسٍ يُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللهِ. فَقَالَ لَهُ صَاحِبُهُ: قُلْ: إِنْ شَاءَ اللهُ. فَلَمْ يَقُلْ إِنْ شَاءَ اللهُ. فَطَافَ عَلَيْهِنَّ جَمِيعًا فَلَمْ يَحْمِلْ مِنْهُنَّ إِلَّا امْرَأَةٌ وَاحِدَةٌ، جَاءَتْ بِشِقِّ رَجُلٍ. وَايْمُ الَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَوْ قَالَ: إِنْ شَاءَ اللهُ، لَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللهِ فُرْسَانًا أَجْمَعُونَ.

Maksudnya: (Nabi) Sulaiman bersabda: Sesungguhnya aku akan menggauli sembilan puluh wanita (isteriku) pada malam ini, semuanya akan melahirkan seorang penunggang kuda yang akan berjihad di jalan Allah.” Lalu sahabatnya berkata kepadanya: Ucapkanlah: “Insya-Allah.” Namun Nabi Sulaiman tidak mengucapkan: “Insya-Allah.” Setelah itu, Baginda menggauli isteri-isterinya semua dan ternyata tidak ada yang hamil di antara mereka kecuali seorang isteri sahaja yang melahirkan seorang anak lelaki yang tidak sempurna. Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, sekiranya Baginda mengucapkan: “Insya-Allah,” pasti (isteri-isterinya akan melahirkan anak-anak lelaki) dan mereka semua akan berjihad di jalan Allah dengan menunggang kuda.”

Riwayat al-Bukhari (6639)

Itulah beberapa lafaz sumpah yang semuanya kembali kepada Allah SWT atau bersumpah dengan nama Allah SWT, atau sifat-Nya dan penguasaan-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *