#4829: Mempromosi Maksiat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mutakhir ini, banyak jenis maksiat yang dipromosi secara terbuka, boleh jelaskan apa yang sepatutnya kita lakukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, sebagai umat yang beriman kepada Allah SWT, kaum Muslimin dan Muslimat hendaklah memastikan sebarang promosi atau kempen ke arah perkara dosa dijauhkan daripada berlegar di dalam masyarakat.

Meskipun terdapat klasifikasi dosa besar dan dosa kecil, namun mesti diingat bahawa semua perbuatan dosa tidak diredhai Allah SWT. Malah, Allah SWT melaknat manusia yang melakukan dosa secara berleluasa dan terang-terangan. Begitulah juga, mereka yang membiarkan kemungkaran bermaharajalela. Oleh itu, Allah SWT mengingatkan umat Islam terhadap laknat yang pernah menimpa umat terdahulu:

لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنۢ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ يَعْتَدُونَ ٧٨ كَانُوا۟ لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍۢ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا۟ يَفْعَلُونَ

Maksudnya: Golongan kafir daripada Bani Israel telah dilaknat melalui lisan Nabi Dawud dan Nabi Isa Ibn Maryam. Yang demikian itu kerana mereka menderhaka dan selalu melampaui batas. Mereka tidak saling melarang antara satu sama lain terhadap kemungkaran yang telah dilakukan. Demi sesungguhnya, amat buruk sekali segala perbuatan yang mereka lakukan.

(Surah al-Maidah: 78-79)

Dalam suasana masyarakat majmuk di Malaysia, promosi kancah maksiat perlu dibasmi biarpun dilakukan oleh pihak non-Muslim. Hal ini kerana promosi itu berpontensi mencabar peruntukan undang-undang, melanggar batas kesusilaan yang terkandung dalam Rukun Negara dan tidak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi. Tambahan lagi, apabila promosi kancah maksiat dibuka kepada khalayak ramai termasuklah terhadap warga Muslim, para pengamal agama dan golongan muda yang memerlukan banyak bimbingan masyarakat.

Sebagai contoh, Performing Arts Centre of Penang (PenangPac) menerusi laman web dan laman facebook mereka, secara terbuka mempromosikan tayangan teater yang berjudul “Sex in Georgetown City.” Sinopsis tayangan tersebut menjelaskan bahawa tayangan ini adalah berkaitan kisah komedi yang melibatkan adegan “set in a bedroom, covering quickie sessions, rip-roaring scenarios, poignant moments and unconventional advice all wrapped up in one wacky package.”

Promosi tayangan ini adalah sebahagian agenda sambutan Valentine yang disyorkan melalui laman tersebut. Dalam Islam, perihal seksual bukanlah sesuatu yang baik untuk didedahkan, apatah lagi dipromosikan dalam masyarakat. Akal yang waras dan iman yang segar jelas menyedari bahawa tayangan sedemikian mempunyai potensi untuk mempengaruhi manusia melakukan dosa perzinaan atau seks bebas. Kemungkaran sebegini hendaklah disekat daripada berleluasa dalam kalangan masyarakat kita, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/498-499)

Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada terlibat dengan maksiat sebegini dan juga menjauhkan kita daripada terlibat dalam mempromosikan hal sebegini. Selain itu, bukan sahaja dijauhkan daripada perkara maksiat sebegini, menjadi kewajipan kepada kita semua sebagai umat Islam, untuk membanteras kemungkaran-kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat, malah segala kerosakan dan gejala sosial yang berlaku pada hari ini adalah kerana manusia meninggalkan panduan yang telah dibawa Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, sebagai umat yang mempunyai kesedaran agama tidak sewajarnya membiarkan mereka terus hanyut dalam kesesatan.

Peranan ini perlu dilaksanakan oleh setiap umat Islam agar terlepas daripada laknat Allah. Firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah tolong-menolong dalam melakukan dosa serta permusuhan.”

(Surah al-Maidah: 2)

Terdapat banyak hadis berhubung masalah ini, antaranya daripada Abu Sa‘id R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka membencinya di dalam hati. Ini adalah iman yang paling lemah.”

Riwayat Muslim (78)

Imam al-Nawawi menyatakan, kemungkaran itu tidak boleh didiamkan dan dibiarkan terus bermaharajalela. Kuasa perlu digunakan agar terhenti kemungkaran itu. Jika tidak terdaya bertindak dengan kuasa, maka dengan Iisan menerusi nasihat, peringatan atau perkataan yang sopan-santun, sekalipun kesannya dilihat agak lambat. Dan sekiranya masih tidak sanggup untuk berbuat sedemikian, maka cukuplah bahawa hati kita tidak terikut dan bersetuju dengan kemungkaran itu. Tindakan yang terakhir ini adalah suatu tanda bahawa iman kita sangat lemah, kerana hati itu hanya manfaat untuk diri kita sendiri, sedang pada pencegahan melalui perbuatan atau nasihat itu dapat memberikan manfaat buat diri kita dan masyarakat umum, sehingga menyebabkan kemungkaran itu terhenti dan tidak terus berlaku. (Lihat Riyad al-Salihin, 1/123)

Marilah sama-sama kita mengingati sebuah hadith yang mengingatkan kita semua: Daripada Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَنْ يَأْبَى؟ قَالَ: مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الجَنَّةَ ، وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى.

Maksudnya: “Semua umatku akan memasuki syurga kecuali orang yang enggan.” Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang enggan itu?” Baginda menjawab: “Sesiapa yang mentaatiku maka dia akan masuk ke dalam syurga dan sesiapa yang menderhakaiku maka sesungguhnya dia enggan (memasuki syurga).”

Riwayat al-Bukhari (7280)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *