#4851: Sembelih Kuda

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Pernah atau tidak berlaku sembelihan kuda pada zaman Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi kuda

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kuda ialah sejenis binatang besar berkaki empat yang dipelihara untuk kenaikan — yakni pengangkutan dan lain-lain. Kuda adalah satu daripada haiwan yang paling berguna sejak beribu-ribu tahun. Satu masa dahulu, kuda adalah cara pengangkutan yang paling pantas dan yang paling pasti untuk mengembara di darat. Pemburu yang menunggang kuda mengejar haiwan dan membunuhnya untuk makanan dan untuk kegiatan sukan.

Kuda sesuai untuk bekerja dan berlari. Misalnya, lubang hidungnya yang lebar membantunya bernafas dengan mudah. Kuda mempunyai deria bau yang baik, pendengaran yang tajam, dan mata yang tajam. Ia mempunyai gigi yang kuat, tetapi ia hanya memakan bijiran dan tumbuhan, dan tidak makan daging. Badan kuda diliputi bulu. Bulu yang sihat berkilat memberikan memberikan rupa yang menakjubkan. Bulu tebal pada musim sejuk tumbuh setiap musim luruh dan gugur setiap musim bunga. Bulu surai dan ekor kuda tidak pernah gugur. Jika surai dan ekor menjadi terlalu tebal, pemilik kuda mungkin mencabut sedikit bulunya menjadikan kuda kelihatan lebih elok. Mencabut bulu tidak menyakitkannya kerana kuda tidak mempunyai saraf di akar bulu.

Kuda mempunyai banyak warna, termasuk pelbagai warna hitam, perang, perang berangan (perang kemerahan), kelabu kekuningan, warna emas, kelabu, perang kekuningan, dan putih. Kuda bay mempunyai bulu perang kemerahan dan tompok hitam (kaki, surai dan ekor). Banyak kuda bay gelap mempunyai bulu perang di belakang dan bulu perang kemerahan di sisi, bahagian bawah dan muda. Kuda perang berangan mungkin mempunyai surai dan ekor kuning pucat, atau perang kekuningan, tetapi bukan tompok hitam. Banyak kuda kelabu dilahirkan berwarna gelap dan bertukar menjadi cerah semasa ia membesar. Kuda Lippizza dan sesetengah kuda kelabu bertukar menjadi putih mengikut masa ia membesar sepenuhnya. Kuda dewasa yang berbulu putih umumnya dirujuk sebagai kuda kelabu. Kuda roan mempunyai bulu perang kekuningan atau perang kemerahan bercapuk-capuk dengan bulu kelabu atau putih. Pinto, yang juga dinamakan paint, mempunyai bulu berwarna hitam atau gelap dengan kawasan putih yang besar yang berbeza-beza coraknya.

Kepalbagaian baka kuda biasanya dibahagikan kepada tiga kumpulan utama: (1) kuda ringan, (2) kuda berat, dan (3) kuda padi. Kuda ringan mempunyai tulang yang kecil dan kaki yang kurus. Kebanyakannya kurang daripada 590 kilogram beratnya. Kuda berat bertulang besar dan berkaki tebal dan pejal. Sesetangahnya mencecah berat melebihi 590 kilogram. Kuda padi adalah kuda kecil yang tingginya kurang daripada 145 sentimeter. Kebanyakan kuda padi beratnya kurang daripada 360 kilogram. Setiap satu daripada ketiga-tiga kumpulan utama kuda mempunyai banyak baka. Bagaimanapun, satu baka mungkin melibatkan lebih daripada satu jenis kuda. Misalnya, sesetengah jenis kuda padi diklasifikasikan sebagai kuda ringan, dan jenis yang lain dianggap kuda padi. Sebagai tambahan kepada kuda ringan, kuda berat dan kuda padi, terdapat juga beberapa jenis kuda liar seperti Przewalski dan tarpan. (Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 11/536-543.)

Firman Allah SWT:

وَالْخَيْلَ وَالْبِغَالَ وَالْحَمِيرَ لِتَرْكَبُوهَا وَزِينَةً ۚ وَيَخْلُقُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan Ia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

(Surah al-Nahl: 8)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan pernah Rasulullah SAW makan kuda dan kuda halal dimakan. Antara dalilnya:

Daripada Asma’ binti Abu Bakar al-Siddiq R.Anhuma, katanya:

نَحَرْنَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَسًا فَأَكَلْنَاهُ.

Maksudnya: “Kami telah melakukan nahr pada zaman Nabi SAW pada seekor kuda dan kami telah memakannya.”

Riwayat al-Bukhari (5510)

Begitu juga daripada Asma’, katanya:

ذَبَحْنَا عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَسًا، وَنَحْنُ بِالْمَدِينَةِ. فَأَكَلْنَاهُ.

Maksudnya: “Kami telah menyembelih pada zaman Rasulullah SAW seekor kuda semasa kami berada di Madinah. Lalu kami memakannya.”

Riwayat al-Bukhari (5511)

Dan Asma’ binti Abu Bakar juga menyebut:

نَحَرْنَا عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَسًا فَأَكَلْنَاهُ. تَابَعَهُ وَكِيعٌ وَابْنُ عُيَيْنَةَ، عَنْ هِشَامٍ: فِي النَّحْرِ.

Maksudnya: “Kami telah melakukan nahr pada zaman Nabi SAW pada seekor kuda dan kami telah memakannya.” Riwayat Jarir telah dimutaba‘ahkan oleh Waki‘ dan Ibn ‘Uyaynah daripada Hisyam berkaitan (lafaz) nahr.

Riwayat al-Bukhari (5512)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *