#488 Nabi Yusuf AS dan Wanita Yang Tertarik Padanya

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya terbaca satu ayat dalam Surah Yusuf berkenaan kisah Nabi Yusuf dan wanita yang tertarik kepadanya. Saya ingin tahu lebih lanjut, apakah maksud perkataan “هَمّ” yang disebut dalam surah Yusuf ayat 24 dan apa tafsiran atas perkataan tersebut? Iaitu firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ ۖ وَهَمَّ بِهَا لَوْلَا أَن رَّأَىٰ بُرْهَانَ رَبِّهِ ۚ كَذَٰلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ ۚ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ ‎

Maksudnya: Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.” (Surah Yusuf: 24)

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Allah SWT berfirman:

 وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ ۖ وَهَمَّ بِهَا لَوْلَا أَن رَّأَىٰ بُرْهَانَ رَبِّهِ ۚ كَذَٰلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ ۚ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ ‎

Maksudnya: Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.”

(Surah Yusuf: 24)

Menurut al-Tabari, pendapat yang paling benar dalam isu ini adalah, Allah SWT mengkhabarkan tentang ‘هم يوسف’ dan ‘هم امرأة العزيز’ satu sama lain. Jika sahaja Yusuf tidak melihat tanda daripada Tuhannya, dan itu adalah tanda daripada Allah SWT yang mencegahnya daripada melakukan kekejian yang hendak dilakukannya. Ayat tersebut boleh jadi berupa gambaran Ya’qub, atau gambaran raja, atau berupa ancaman dalam ayat-ayat yang Allah SWT firmankan dalam al-Quran tentang zina. Tidak ada yang dapat memastikan pilihan tersebut. Tindakan yang benar dalam masalah ini adalah mengatakan seperti yang Allah firmankan, dan mempercayainya, serta meninggalkan yang selain itu kepada yang mengetahui. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 14/575)

Al-Syaukani menyebut: Kalimah ‘هم بالأمر’, ertinya bermaksud dan bertekad untuk melakukan perkara tersebut. Maknanya adalah Yusuf telah bermaksud menggauli wanita tersebut dan wanita itu juga telah bermaksud menggaulinya. Masing-masing telah memiliki kecenderungan kepada yang lain atau saling tertarik sebagaimana halnya manusia pada umumnya. Namun, sebelumnya Yusuf AS tidak memaksudkan itu sebagai pilihannya sebagaimana yang ditunjukkan oleh ungkapannya yang memohon perlindungan kepada Allah, kerana hal itu termasuk suatu bentuk kezaliman, dan kerana para Nabi terpelihara daripada keinginan untuk melakukan maksiat dan menyengajakannya.

Kata al-Syaukani lagi: Ada yang mengatakan bahawa maksud ‘هَمَّ بِهَا’ adalah ‘هَمَّ بِضَرْبِهَا’ (bermaksud memukul wanita itu). Ada juga yang mengatakan bahawa makna ‘هَمَّ بِهَا’ adalah berangan-angan untuk menikahinya. Majoriti ahli tafsir, sama ada salaf mahupun khalaf mentafsirkan seperti yang kami kemukakan di atas, iaitu mengertikan susunan ayat tersebut sesuai dengan maknanya secara bahasa. Ini ditunjukkan oleh ayat selanjutnya, iaitu ‘ذَٰلِكَ لِيَعْلَمَ أَنِّي لَمْ أَخُنْهُ بِالْغَيْبِ’ (Yang demikian itu, agar dia [al-Aziz] mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak berkhianat kepadanya di belakangnya), dan ayat ‘وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي ۚ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ’ (Dan aku tidak membebaskan diriku [dari kesalahan], kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan). Adanya maksud (kehendak) tidak menafikan kemaksiatan. Hanya sahaja keterpeliharaan Yusuf telah melindunginya daripada terjerumus ke dalam kemaksiatan itu, dan itulah yang dituntut. (Lihat Fath al-Qadir, 5/560)

Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim  berkata, maksud keinginan (هَمّ) di sini seperti yang disebut oleh al-Baghawi dalam Ma’alim al-Tanzil ialah gelora yang tercetus oleh kata-kata nafsu. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim 4/381, Lihat Ma’alim al-Tanzil 4/231)

Keinginan yang ingin ditampilkan Allah SWT di sini memuncak dalam jiwa dan diri Nabi Yusuf AS serta wanita tersebut. Ataupun secara literalnya kedua-dua mereka bersyahwat. Akan tetapi terdapat beberapa ulama’ tafsir yang menyangkal pentafsiran sebegini, antaranya Ibn Hazm al-Andalusi yang memberi maksud al-Hamm (الهمّ) dengan berdendam untuk memukul. Maksudnya di sini ialah disebabkan kehendak syahwat wanita itu tidak dituruti oleh Nabi Yusuf AS, dia menjadi marah dan tertekan kerana merasakan dirinya lebih berkuasa dari Nabi Yusuf AS, lalu dikejarnya Nabi Yusuf AS untuk dipukul. Nabi Yusuf AS juga menjadi marah dan ingin memukulnya juga.

Syeikh Rasyid Ridha dalam Tafsir al-Manar juga menyokong pendapat Ibn Hazm dan ulama’-ulama’ yang sependapat dengannya. (Lihat Tafsir al-Manar (12/223) Hal ini kerana terdapat kalimah al-Hamm (الهمّ) yang membawa maksud hendak memukul atau berniat jahat, antaranya dalam ayat 11 Surah Ali Imran, ayat 122 Surah al-Nisa’, ayat 13 dan 73 surah al-Taubah serta beberapa ayat lain lagi.

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat di atas menyebut: Nabi Yusuf AS pun semakin hebat dan gah terhadap wanita itu kerana keteguhan dirinya berpegang dengan agama dan amanah, menghindari pengkhianatan dan mencegah kehormatan tuannya dan tuan wanita itu kecuali dengan menghina Nabi Yusuf AS melalui balas dendam. Inilah yang mungkin direncanakan oleh wanita tersebut untuk segera dilaksanakan atau hampir sahaja dia bermaksud untuk mengajarnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3326)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir menyebut, pentafsiran ayat ini perlu dilihat secara keseluruhan ayat. Apabila ditafsirkan secara menyeluruh, tiada unsur keinginan dikemukakan di dalam ayat di atas. Hal ini kerana konsep ta’lik (لو لا) yang digunakan di sini. Maksudnya keinginan tersebut tertegah dengan pertandaan Allah SWT. Menurut beliau lagi, sekiranya dimaksudkan dengan keinginan di sini ialah gelora yang dicetuskan kata-kata nafsu serta keinginan melakukan zina berdasarkan ciri manusiawi, ia tidak dipersalahkan dalam syarak. Buktinya tindakan diambil apabila keinginan disertakan dengan keazaman dan tekad melakukannya. (Lihat al-Tafsir al-Munir (12/240))

Perkara ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis Qudsi yang menyebut:

فَمَنْ هَمّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا الله عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً وَإِنْ هَمّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا الله عَزّ وَجَلّ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ. وَإِنْ هَمّ بِسَيّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا الله عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً… وَإِنْ هَمّ بِهَا فَعَمِلَهَا، كَتَبَهَا الله سَيّئَةً وَاحِدَةً

MaksudnyaSesiapa yang bercita-cita untuk melakukan satu kebajikan sedangkan dia tidak melakukannya, nescaya Allah tulis baginya dengan satu kebaikan penuh. Sebaliknya, jika dia bercita-cita untuk melakukan satu kebajikan, kemudian dia melakukannya, nescaya Allah menulis pahalanya sepuluh kebajikan sehingga digandakan 700 dan kepada gandaan-gandaan yang banyak. Sedangkan sesiapa yang bercita-cita untuk melakukan satu kejahatan, kemudian tidak melakukannya, nescaya Allah tulis baginya satu kebajikan yang penuh. Sebaliknya jika dia bercita-cita untuk melakukan satu kejahatan kemudian dilakukannya, maka Allah akan tulis satu dosa.

Riwayat Muslim (355)

Daripada perbincangan di atas, difahami bahawa perbezaan kalimah al-Hamm yang terbit daripada Nabi Yusuf AS dan wanita tersebut bahawa al-Hamm yang terbit daripada wanita tersebut berdasarkan dendam yang membara disebabkan keinginannya ditolak oleh Nabi Yusuf AS dan berasaskan maksiat. Manakala al-Hamm Nabi Yusuf pula ialah mempertahan dan melepaskan diri daripada godaan wanita itu seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

كَذَٰلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ

Maksudnya: “Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji.”

(Surah Yusuf :24)

Di hujung ayat ini, Allah SWT membersihkan Nabi Yusuf AS daripada dosa tersebut serta menggolongkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang ikhlas.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 15 Februari 2022 bersamaan 13 Rejab 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *