#4901: Telaga Rasulullah SAW di Syurga

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW mempunyai telaga dan boleh sifatkan kepada kami?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

إِنَّآ أَعْطَيْنَـٰكَ ٱلْكَوْثَرَ ١ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ ٢ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلْأَبْتَرُ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).

(Surah al-Kauthar: 1-3)

Menjawab persoalan di atas, Rasulullah SAW telah menyebut tentang telaganya. Kadang kala disebut dengan al-Kauthar dan kadang-kala disebut dengan telaga.

Kami hanya memilih beberapa hadith yang terkait dengan telaga tersebut, antaranya:

Daripada Abdullah R.A, daripada Nabi Muhammad SAW, Baginda bersabda:

أَنَا فَرَطُكُمْ عَلَى الحَوْضِ، وَلَيُرْفَعَنَّ مَعِي رِجَالٌ مِنْكُمْ ثُمَّ لَيُخْتَلَجُنَّ دُونِي، فَأَقُولُ: يَا رَبِّ أَصْحَابِي، فَيُقَالُ: إِنَّكَ لاَ تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ.

Maksudnya: “Aku sampai terlebih dahulu untuk menunggu kamu di telaga Kauthar. Sesungguhnya akan dinampakkan kepadaku sejumlah orang daripada kamu, kemudian mereka akan ditarik daripadaku”, lalu aku berkata: “Wahai Tuhanku, (mereka) adalah para sahabatku”. Lalu dijawab: “Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apakah perkara baharu yang dilakukan (bidaah yang menyalahi syariat) oleh mereka selepas kewafatanmu.”

 Riwayat al-Bukhari (6576)

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

أَمَامَكُمْ حَوْضٌ كَمَا بَيْنَ جَرْبَاءَ وَأَذْرُحَ.

Maksudnya: Di depan kamu sebuah telaga yang (lebarnya) seperti jarak antara Jarba’ dan Azruh.”

 Riwayat al-Bukhari (6577)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma,  (beliau) berkata:

الكَوْثَرُ: الخَيْرُ الكَثِيرُ الَّذِي أَعْطَاهُ اللهُ إِيَّاهُ ” قَالَ أَبُو بِشْرٍ: قُلْتُ لِسَعِيدٍ: إِنَّ أُنَاسًا يَزْعُمُونَ أَنَّهُ نَهَرٌ فِي الجَنَّةِ؟ فَقَالَ سَعِيدٌ: النَّهَرُ الَّذِي فِي الجَنَّةِ مِنَ الخَيْرِ الَّذِي أَعْطَاهُ اللهُ إِيَّاهُ.

Maksudnya: “Telaga Kauthar adalah kebaikan yang banyak yang telah dianugerahkan Allah kepada Baginda (SAW).” Abu Bisyr berkata: “Aku berkata kepada Sa‘id, bahawa manusia telaga Kauthar itu adalah sebuah sungai daripada syurga.” Sa‘id berkata: “Sungai yang ada di syurga termasuk kebaikan yang dianugerahkan Allah kepada Baginda (SAW).”

 Riwayat al-Bukhari (6578)

Abdullah bin ‘Amr R.A berkata: Nabi Muhammad SAW bersabda:

حَوْضِي مَسِيرَةُ شَهْرٍ، مَاؤُهُ أَبْيَضُ مِنَ اللَّبَنِ، وَرِيحُهُ أَطْيَبُ مِنَ المِسْكِ، وَكِيزَانُهُ كَنُجُومِ السَّمَاءِ، مَنْ شَرِبَ مِنْهَا فَلاَ يَظْمَأُ أَبَدًا

Maksudnya: “Telagaku panjangnya sejauh perjalanan satu bulan, airnya lebih putih daripada susu, baunya lebih harum daripada kasturi, dan gayung-gayungnya sebanyaknya bintang-bintang di langit. Barangsiapa minum daripadanya, maka dia tidak akan haus selamanya.”

 Riwayat al-Bukhari (6579)

Anas bin Malik R.A menyampaikan: bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ قَدْرَ حَوْضِي كَمَا بَيْنَ أَيْلَةَ وَصَنْعَاءَ مِنَ اليَمَنِ، وَإِنَّ فِيهِ مِنَ الأَبَارِيقِ كَعَدَدِ نُجُومِ السَّمَاءِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya jarak telagaku adalah seperti (jarak) antara Ailah dan San‘a’ di Yaman, dan sesungguhnya di dalamnya terdapat gayung-gayung sebanyak jumlah bintang di langit.”

 Riwayat al-Bukhari (6580)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *