#4905: Bernazar untuk Berdiri, Berpanas dan Tidak Bercakap

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Dalam kita bernazar, adakah kita boleh bernazar seperti tidak bercakap, berjemur di tengah panas, berdiri, berpuasa dan lain-lain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan definisi nazar.

Nazar dari sudut bahasa membawa erti berjanji melakukan kebaikan atau kejahatan. Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai :

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘ie, 2/501)

Syarat nazar ialah dalam perkara yang mentaati kepada Allah seperti ibadat, puasa, zakat, haji, sedekah, infaq dan lain-lain.

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.”

Riwayat Al-Bukhari (6696)

Berdasarkan kaedah di atas, maka nazar yang diungkap tadi hanya terpakai pada puasa sahaja, tidak pada berdiri di tengah panas dan tidak berkata-kata. Kerana semua perkara tersebut adalah termasuk dalam perkara harus sahaja. Jawapan yang tuntas daripada Rasulullah SAW, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

بَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ، إِذَا هُوَ بِرَجُلٍ قَائِمٍ، فَسَأَلَ عَنْهُ فَقَالُوا: أَبُو إِسْرَائِيلَ، نَذَرَ أَنْ يَقُومَ وَلاَ يَقْعُدَ، وَلاَ يَسْتَظِلَّ، وَلاَ يَتَكَلَّمَ، وَيَصُومَ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مُرْهُ فَلْيَتَكَلَّمْ وَلْيَسْتَظِلَّ وَلْيَقْعُدْ، وَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ.

Maksudnya: “Ketika Nabi SAW sedang berkhutbah, tiba-tiba Baginda mendapati seorang lelaki sedang berdiri, maka Baginda bertanya mengenainya. Mereka (para sahabat) menjawab: “(Dia) Abu Israil, dia telah bernazar untuk berdiri, tidak duduk, tidak berteduh, tidak berbicara, dan berpuasa.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Perintahkanlah dia agar bercakap, berteduh, dan duduk serta  hendaklah dia menyempurnakan puasanya.”

Riwayat al-Bukhari (6704)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *