Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kenapakah Yaman dinamakan sebagai Yaman dan Syam dinamakan sebagai Syam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, Nabi SAW pernah mendoakan buat Syam dan Yaman. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar, katanya: Nabi SAW menyebutkan:

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي شَأْمِنَا، اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي يَمَنِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah keberkatan pada Syam kami, Ya Allah, berikanlah keberkatan pada Yaman kami.

Riwayat al-Bukhari (7094)

Di sana terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata: Aku mendengar daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

الفَخْرُ، وَالخُيَلاَءُ فِي الفَدَّادِينَ أَهْلِ الوَبَرِ، وَالسَّكِينَةُ فِي أَهْلِ الغَنَمِ، وَالإِيمَانُ يَمَانٍ، وَالحِكْمَةُ يَمَانِيَةٌ

Maksudnya: “Keangkuhan dan kesombongan merupakan perwatakan golongan Badwi yang tinggal dalam khemah-khemah, dan ketenangan itu pada orang (yang mengembala) kambing. Iman itu di Yaman dan hikmah itu juga di Yaman.[1]

Riwayat al-Bukhari (3499)

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, Abu ‘Abdillah (Imam al-Bukhari) menyebutkan selepas menukilkan hadith di atas dalam kitab sahihnya bahawa:

سُمِّيَتِ اليَمَنَ لِأَنَّهَا عَنْ يَمِينِ الكَعْبَةِ، وَالشَّأْمَ لِأَنَّهَا عَنْ يَسَارِ الكَعْبَةِ، وَالمَشْأَمَةُ المَيْسَرَةُ، وَاليَدُ اليُسْرَى الشُّؤْمَى، وَالجَانِبُ الأَيْسَرُ الأَشْأَمُ

Maksudnya: “Dinamakan Yaman kerana ia terletak di bahagian kanan Kaabah, dan (dinamakan) Syam kerana ia terletak di bahagian kiri Kaabah. Dan perkataan “المَشْأَمَةُ” bermakna yang kiri, dan tangan kiri disebut “الشُّؤْمَى” Dan bahagian badan sebelah kiri disebut “الأَشْأَمُ”.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 4/179)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

Nota kaki:

[1] Dinisbahkan kepada penduduk Yaman kerana kuatnya iman penduduk Yaman.

Leave a Reply