#4993: Cara Solat Orang Sakit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Beleh terangkan berkenaan cara solat orang sakit?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Dalam menjawab soalan di atas, sekiranya seorang pesakit itu tidak mampu untuk solat dalam keadaan berdiri, maka dia boleh solat dalam keadaan duduk, jika tidak mampu, dia boleh solat dalam keadaan mengiring, Hal ini sebagaimana riwayat daripada Imran bin Husoiin RA: Aku dahulu terkena buasir, lalu aku bertanyakan Rasulullah SAW tentang solatku, Baginda SAW bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: “Solatlah kamu secara berdiri, jika kamu tidak mampu, maka solatlah secara duduk. Jika tidak mampu (juga) maka solatlah di atas lambung (yakni baring mengiring).”

Riwayat al-Bukhari (1117)

Imam al-Nawawi menjelaskan: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/310)

Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh Imam al-Ramli seperti dinukil oleh Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan kekhusyukan semasa solat. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 214)

Imam Al-Nawawi berkata lagi dalam kitab al-Majmu’ (4/226): Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran. Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: “Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat.”

Riwayat al-Bukhari (2996)

Manakala Imam al-Syaukani ketika mengulas hadith Imran bin Husoin R.A di atas berkata: Hadith Imran menunjukkan kepada keharusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak mampu berdiri untuk solat dalam keadaan duduk. Manakala sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak boleh duduk maka dia boleh untuk solat di atas lambungnya. (Lihat Nail al-Autar, 3/243)

Ibn Qudamah al-Maqdisi berkata: Para ulama’ telah bersepakat bahawasanya sesiapa yang tidak mampu untuk solat secara berdiri maka dia boleh melakukannya secara duduk. (Lihat al-Mughni, 1/443)

Tambahan pula, diriwayatkan juga daripada Jabir R.A, katanya: Nabi SAW mengunjungi orang sakit. Baginda melihat sahabat yang sakit melakukan solat, dan meletakkan bantal di depannya sebagai alas sujud. Nabi SAW melemparnkannya lalu bersabda:

صَلِّ علَى الأَرْضِ إِنِ اسْتَطَعْتَ، وَإِلاَّ فَأَوْمِ إِيْمَاءً، وَاجْعَلْ سُجُودَك اخْفَضَ مِنْ رُكُوعِكَ

Maksudnya: Solatlah dengan sujud di tanah jika kamu mampu. Jika tidak mampu, berisyaratlah. Jadikan sujudmu lebih rendah dibandingkan rukukmu.

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sughra (622)

Ibnu Rajab mengatakan: Orang sakit yang tidak boleh meletakkan wajahnya di tanah, sedangkan dia mampu meletakkan anggota sujudnya yang lainnya, maka tidak wajib baginya untuk sujud menurut pendapat yang sahih. Hal ini kerana sujud dengan meletakkan anggota selain wajah, statusnya wajibnya sujud karena mengikuti sujudnya muka dan sebagai penyempurna kepada sujudnya muka. (Lihat Taqrir al-Qawaid wa Tahrir al-Fawaid, hlm. 10 – 11)

Imam al-Ramli pula menyebutkan, sekiranya orang bersolat itu hanya mampu untuk rukuk sahaja (tanpa sujud seperti biasa), maka dia perlu mengulangi rukuk bagi sujud. Dan barangsiapa yang mampu untuk menambah (turun) lebih (bawah) daripada kadar kesempurnaan rukuk maka hendaklah dia menambah tunduk itu bagi sujud. Ini kerana mewujudkan perbezaan (antara ruku’ dan sujud) itu wajib bagi orang yang berkemampuan melakukannya sekalipun dia tidak mampu sujud (seperti biasa). Sekiranya dia mampu sujud dengan bahagian hadapan kepalanya, atau dengan pelipisnya, dan itulah bentuk yang yang menjadikan (kepalanya) lebih rapat ke tempat sujud maka dia wajib melakukannya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/469)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Hadith menunjukkan bahawa bagi orang yang sakit yang tidak dapat berdiri, dia dibenarkan untuk solat dalam keadaan duduk, sebagaimana Allah berfirman: “Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah: 286). Hadith juga menunjukkan bahawa orang yang sakit boleh membuat isyarat dengan kepala dan membuat sujud lebih rendah daripada rukuknya, untuk membezakan di antara kedua rukun tersebut dalam tindakannya, dan kerana sujud adalah lebih rendah daripada rukuk menurut hukum syarak. Hadith menunjukkan bahawa adalah makruh bagi orang yang solat untuk mengangkat sesuatu yang digunakan sebagai tempat sujud, kerana ini dianggap sebagai penambahan yang tidak dibenarkan oleh Allah. Manusia diwajibkan solat sesuai dengan kemampuannya, dan jika dia tidak dapat mencapai tanah, dia boleh membuat isyarat ketika rukuk dan sujud, sambil berusaha sebaik mungkin untuk mentaati perintah Allah. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/325)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *