#4991: Syarat-Syarat Sujud

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.  Apakah syarat-syarat sujud?  Mohon pencerahan Dato’.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ ‎

Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

(Surah al-Baqarah: 43)

Menurut al-Imam Abu al-Husain al-Subki bahawa ayat ini dalil ijab (mewajibkan) solat ke atas semua manusia, orang beriman bahkan kepada kanak-kanak, melainkan untuk mereka adalah ta`dib (pendidikan wajib ke atas ibu bapa) sekalipun daripada sudut hukum wajib ke atas kanak-kanak itu masih belum berlaku selagi belum mumayyiz, baligh dan berakal. (Lihat al-Bahr al-Muhit oleh al-Zarkasyi, 2/59).

Sujud merupakan salah satu rukun solat yang wajib dipelihara kesempurnaannya agar solat itu sah dan diterima oleh Allah SWT. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ، عَلَى الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ، وَلَا نَكْفِتَ الثِّيَابَ وَالشَّعَرَ

Maksudnya: “Aku diperintahkan agar melakukan sujud dengan tujuh anggota sujud: Yakni dahi (sambil menunjuk hidung), dua belah tangan, dua lutut dan hujung kedua tapak kaki.”

Riwayat al-Bukhari (812) dan Muslim (490)

Imam al-Nawawi menyebut di dalam syarahnya: “Sesungguhnya anggota sujud itu ada tujuh, dan seharusnya seseorang yang sujud itu bersujud dengan tujuh anggota tersebut, serta sujud bersama dengan dahi dan hidung kesemuanya. Anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai, dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung. Jika dia meninggalkan sentuhan hidung pada lantai, maka sujudnya sah, tetapi jika dia meninggalkan sentuhan dahi pada lantai, maka tidak sah sujudnya. Ini adalah pandangan mazhab al-Syafi’e, Malik, dan kebanyakan ahli ilmu.” Beliau menyebut lagi, ”Jumhur mengatakan bahawa yang zahir di dalam hadith menyebutkan 7 anggota, tetapi jikalau dibilang anggota dahi dan hidung, bilangannya akan menjadi lapan, maka anggota hidung hukumnya sunat di dalam anggota sujud.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/208)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat tujuh syarat sujud ketika solat:

  1. Sujud di atas tujuh anggota.
  2. Dahi perlulah tidak tertutup.
  3. Menekapkan kepala pada tempat sujud.
  4. Tidak boleh sujud dengan niat lain ketika sujud.
  5. Tidak boleh sujud di atas sesuatu yang bergerak dengan pergerakan dirinya.
  6. Kepala harus lebih rendah dari punggung.
  7. Tama’ninah ketika bersujud.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Wallahua`lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *