Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum seorang lelaki solat dalam keadaan rambutnya terikat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat merupakan salah satu kefardhuan yang utama dalam agama Islam. Ia merupakan ibadah yang paling mulia, yang mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan peribadi seseorang bahkan keislamannya. Justeru, amat penting bagi kita dalam memahami hakikat daripada ibadah solat ini.

Al-Hasan al-Basri pernah mengungkapkan: “Wahai anak Adam, solat adalah ibadah yang dapat menghalangmu daripada maksiat dan kemungkaran. Sekiranya solat tidak menghalangmu daripada kemaksiatan dan kemungkaran, maka hakikatnya engkau belumlah mendirikan solat.” (Lihat al-Durr al-Manthur, 6/466). Berdasarkan nasihat ini, kita dapat memahami bahawa solat yang dilakukan dengan benar, maka ia akan memberi kesan yang baik dalam sahsiah diri seseorang.

Selain itu, orang yang menjaga solat juga akan terhindar daripada termasuk dalam kalangan orang yang lalai. Hal ini dapat dilihat dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَافَظَ عَلَى هَؤُلاَءِ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوْبَاتِ لَمْ يُكْتَبْ مِنَ الْغَافِلِيْنَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menjaga solat-solat fardhu, maka dia tidak akan ditulis sebagai orang-orang yang lalai.”

Riwayat Ibn Khuzaimah (1142); al-Hakim (1160); al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (2191)

Justeru, amat penting seseorang itu menjaga solat-solat fardhu. Menjaga dan memelihara solat dengan maksud menunaikannya dengan sebaik mungkin, di samping berusaha untuk menghadirkan khusyuk di dalamnya.

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, menurut ulama, mengikat rambut ketika solat adalah makruh. Mereka mengatakan bahawa lebih baik membiarkan rambut tidak diikat semasa solat. Walaupun makruh, solat dengan berikat rambut tetap dianggap sah.

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa para fuqaha telah bersepakat akan kemakruhan mendirikan solat dalam keadaan rambut terikat bagi lelaki. Mengikat rambut di sini maksudnya menjalinkan rambut di sekitar kepala sebagaimana yang dilakukan oleh para wanita atau mengumpulkan rambut dan mengikatkannya di belakang kepala. Solat dalam keadaan ini dihukumkan sebagai makruh tanzih. Namun, jika dia tetap juga solat dalam keadaan demikian, solatnya adalah sah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 26/109).

Para ulama berhujah mengenai kemakruhan tersebut berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

أَنَّهُ رَأَى عَبْدَ اللَّهِ بْنَ الْحَارِثِ يُصَلِّي وَرَأْسُهُ مَعْقُوصٌ مِنْ وَرَائِهِ، فَقَامَ فَجَعَلَ يَحُلُّهُ، فَلَمَّا انْصَرَفَ أَقْبَلَ إِلَى ابْنِ عَبَّاسٍ فَقَالَ: مَا لَكَ وَرَأْسِي؟ فَقَالَ: إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّمَا مَثَلُ هَذَا مَثَلُ الَّذِي يُصَلِّي وَهُوَ مَكْتُوفٌ

Maksudnya: “Beliau melihat Abdullah bin al-Harith solat dalam keadaan rambutnya diikat di belakang. Beliau (Ibn Abbas) lantas bangkit dan melepaskan ikatan tersebut. Apabila dia selesai (solat), lantas dia menghadap Ibn Abbas dan bertanya: ‘Mengapa kamu lakukan pada rambutku demikian?’ Lalu Ibn Abbas menjawab: ‘Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan orang ini (yang solat dengan mengikat rambutnya) seperti orang yang solat sedangkan kedua tangannya diikat ke belakang.’

Riwayat Muslim (1129)

Ibn al-Athir menyebutkan, makna hadith ini adalah apabila orang yang solat rambutnya diuraikan (tidak diikat), maka rambut tersebut akan jatuh ke tanah ketika sujud sehingga pemiliknya akan diberikan pahala sujud dengan rambutnya. Namun, apabila rambutnya diikat, jadilah ia termasuk dalam makna orang yang tidak sujud. Ia diumpamakan dengan orang yang terikat kedua tangannya, kerana kedua tangan tersebut tidak dapat menyentuh tanah ketika sujud (seperti mana rambut yang diikat ke belakang tidak dapat menyentuh tanah ketika sujud). (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 3/275).

Selain daripada itu, turut dinyatakan dalam Nail al-Autar bahawa hukum ini (larangan mengikat rambut ketika solat) adalah khusus bagi lelaki, tidak bagi wanita. Hal ini kerana rambut mereka (para wanita) adalah aurat, wajib ditutup di dalam solat. Apabila mereka melepaskan ikatan rambut, boleh jadi rambutnya terurai dan sukar untuk menutupnya sehingga membatalkan solat. Begitu juga, ia akan menyulitkannya apabila perlu melepaskan rambut ketika hendak solat.

Nabi SAW sendiri telah memberikan keringanan kepada kaum wanita untuk tidak melepaskan ikatan rambut mereka ketika mandi wajib, sedangkan (hal ini) sangat perlu untuk membasahkan seluruh rambut mereka ketika mandi tersebut. (Lihat Nail al-Autar, 2/440).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa seseorang lelaki yang solat dalam keadaan rambutnya terikat, hukumnya adalah makruh tanzih. Namun, jika dia tetap mendirikan solat dalam keadaan sedemikian, solatnya dianggap sah dan tidak perlu mengulanginya semula. Selain itu, larangan ini hanya dikhususkan kepada kaum lelaki dan tidak kepada kaum perempuan.

Selain daripada itu, perkara yang perlu diberi perhatian juga dalam permasalahan lelaki mengikat rambut adalah hendaklah dipastikan pengikatan rambut itu jauh daripada sifat/tahap tasyabbuh (penyerupaan) kepada wanita. Ini kerana terdapat larangan yang keras bagi lelaki untuk menyerupai perempuan dan begitulah juga sebaliknya. Jika dikhuatiri ia ada unsur penyerupaan dengan perempuan, maka seeloknya, hendaklah ditinggalkan. 

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *