#5007: Sebab-Sebab Sujud Sahwi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bilakah kita perlu melakukan sujud sahwi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Al-Sahwu adalah suatu kekurangan yang berlaku pada orang yang sedang solat di dalam solatnya. Sama ada ia berlaku secara sengaja ataupun secara terlupa. Dan sujud – tempatnya di penghujung solat – sebagai menguatkan kekurangan tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/172)

Perbuatan sujud sahwi ini adalah bersumberkan kepada sebuah kisah yang masyhur sebagai kisah Zul Yadain, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, katanya:

صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم الظُّهْرَ أَو الْعَصْرَ ، فَسَلَّم ، فَقَالَ لَهُ ذُو الْيَدَينِ: الصَّلَاةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَنقصت ؟ فَقَال النبيُّ صلى الله عليه وسلم : أَحَقٌّ مَا يَقُول ؟ قالوا نعمْ ، فصلَّى ركْعَتَينِ أُخْرَيَتين ، ثمَّ سَجَدَ سَجْدَتَين

Maksudnya: Nabi SAW mengimamkan solat Zohor atau Asar bersama kami. Kemudian Baginda memberi salam. Lalu Zul Yadain berkata kepada Nabi SAW: “Solat wahai Rasulullah, adakah kau telah mengurangkannya?” Maka Nabi SAW bersabda: “Benarkah apa yang dia katakan?” Maka para sahabat pun menjawab: “Ya.” Lalu Baginda melakukan dua solat yang berbaki, kemudian sujud sebanyak dua kali. 

Riwayat al-Bukhari (1227) dan Muslim (573)

Imam al-Nawawi menyebut: Sujud Sahwi ialah dua sujud yang di dalamnya terdapat duduk dan disunatkan duduk secara iftirasy (duduk seperti duduk tahiyyat awal). Manakala, duduk tawaruk (duduk tahiyat akhir) selepas sujud kedua-duanya sehingga berakhir dengan salam. Sifat dua sujud ini ialah pada perbuatan sujud dan zikir bacaan ketika sujud ialah (sama dengan) sifat semua sujud di dalam solat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/161)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat empat sebab sujud sahwi:

  1. Meninggalkan bahagian atau sebahagian dari sunnah ab’aadh dalam solat dan sebahagian daripadanya.
  2. Melakukan sesuatu yang membatalkan solat apabila dilakukan secara sengaja dan tidak batal apabila dilakukan secara lalai, apabila dilakukan secara terlupa.
  3. Memindahkan rukun qauli (perkataan) pada selain dari tempatnya.
  4. Memasukkan rukun fi’li (perbuatan) yang berkemungkinan berlakunya penambahan. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 43)

Justeru, kami katakan hukum sujud sahwi adalah disunatkan dan solat tidak batal jika sekiranya tidak melakukannya.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Wallahua`lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *