#5016: Berdandan dan Bersolek di Hadapan Suami

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya suami saya meminta agar saya berdandan dan bersolek untuknya ketika kami berada di rumah. Apakah pandangan syarak dalam hal ini? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Wanita solehah ialah isteri yang taat kepada Allah SWT dan rasul-Nya, sekaligus membawa rumah tangga menuju ketenteraman dan syurga. Rumah tangga yang tenteram, nyaman dan bahagia adalah kurniaan yang paling berharga dalam kehidupan dunia. Rumah tangga yang dipimpin oleh suami yang soleh didampingi pula isteri yang solehah akan menjadikan rumah tangga itu dipenuhi keberkatan, melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, serta mendapat keredhaan dan rahmat Allah SWT. Ia adalah sebaik-baik perhiasan dunia sebagaimana hadis daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (715)

Imam al-Qurthubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa syariat islam meraikan apa yang menjadi fitrah manusia dari kecenderungan dan keinginan mereka, dan mengatur keperluan  manusia sesuai dengan tujuan syara’. Ia juga mendorong manusia mencapai apa yang dikehendaki dalam mencapainya dengan tidak berlebih-lebihan atau mengabaikan ketetapan dan batas-batas syarak .

Antara perkara yang menjadi fitrah bagi wanita adalah cinta terhadap hiasan. Oleh itu, dalam undang-undang Islam, diberikan kepada mereka pelbagai cara untuk mendapatkan hiasan yang tidak diwajibkan kepada lelaki, seperti sutera dan emas. Firman Allah SWT:

أَوَمَن يُنَشَّأُ فِي الْحِلْيَةِ وَهُوَ فِي الْخِصَامِ غَيْرُ مُبِينٍ

Maksudnya: Patutkah (yang dikatakan anak Allah itu jenis perempuan) yang biasanya dididik dan dibesarkan dalam perhiasan, sedang ia semasa berbantah dan bertikam lidah tidak dapat memberikan alasan yang jelas?

(Surah al-Zukhruf:18)

Al-’Allamah al-Wahidi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan yang dimaksudkan dengan  “dididik dan dibesarkan dalam perhiasan” ialah anak perempuan tumbuh dalam keindahan atau hiasan.  (Lihat Tafsir al-Wasit, 4/67)

Oleh yang demikian syarak yang mulia menganjurkan isteri untuk berhias  dan bersolek untuk suami serta mencari kebaikan dan  keelokan di matanya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A katanya, Rasulullah SAW ditanya tentang wanita yang terbaik. Baginda SAW menjawab:

خَيْرُ النِّسَاءِ الَّتِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ، وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ، وَلَا تُخَالِفُهُ فِي نَفْسِهَا وَلَا مَالِهَا بِمَا يَكْرَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik wanita ialah yang menggembirakan suaminya apabila dilihat, dan mentaati suaminya apabila diperintah, dan tidak menyelisihi suaminya pada perkara yang tidak disukainya pada dirinya hartanya dalam perkara yang tidak disukainya.”

Riwayat al-Nasa’ie (7421) dan Ahmad (3231)

Imam al-Munawi ketika mensyarahkan  makna  “yang menggembirakan suaminya apabila dilihat” beliau menyebutkan : kerana kecantikannya menjadi sokongan baginya dalam memelihara kesucian dan agamanya. (Lihat al-Taisie bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/528)

Dikisahkan dalam Siyar ‘Alam al-Nubala’ bahawa Bakrah Binti Uqbah beliau masuk menemui Aisyah yang sedang duduk dalam keadaan berwarna kuning. Dia bertanya kepadanya tentang pewarna inai? Aisyah menjawab, ‘Ia adalah pokok yang wangi dan air yang suci.’ Kemudian dia bertanya tentang pewarna kuku? Aisyah menjawab kepadanya, ‘Jika kamu memiliki suami, dan kamu dapat melepas kuku palsumu, lalu membuat yang lebih baik daripada keduanya, maka lakukanlah. (Lihat Siyar ‘Alam al-Nubala’, 2/188)

Walaupun berhias atau bertabarruj itu dibolehkan akan tetapi  mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti memakai pakaian yang ketat untuk mempamerkan bentuk badan atau selainnya adalah tidak dibolehkan. Ini disebabkan ia dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya, maka Ijma’ (sepakat) para ulama’ adalah haram melainkan kepada suaminya sahaja.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/62)

Sebagai kesimpulannya kami katakan syarak menganjurkan isteri untuk berhias di hadapan suami bahkan ada ulama mengatakan ianya wajib kerana ia adalah hak suami yang diwajibkan ke atas isteri. Oleh yang demikian, kaum wanita hendaklah menjaga batas-batas syarak dengan tidak terlalu berlebihan dalam  berhias dan bertabarruj melainkan kepada suami.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *