Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum seseorang lelaki yang mempunyai rambut panjang, mengikat rambutnya di luar solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, Islam meletakkan prinsip-prinsip terhadap pakaian mahupun perhiasan yang dibenarkan untuk dipakai agar ia selari dengan kehendak agama dan tidak melanggar batasan syarak. Firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Maksudnya:Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

(Surah al-A‘raf: 26)

Dalam ayat di atas, Allah SWT menegaskan bahawa Dia telah menurunkan pakaian untuk menutupi aurat dan pakaian untuk berhias, dan dua jenis pakaian ini baik untuk digunakan. Akan tetapi pakaian maknawi bagi hati adalah lebih utama dan lebih tinggi darjatnya iaitu ketaqwaan yang dapat memperbaiki hati dengan menjalankan ketaatan kepada Allah. Ia adalah pakaian terbaik bagi seorang Mukmin, kerana ia akan memperbaiki dan melindungi seluruh tubuh. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 487).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa ia berkait rapat dengan salah satu prinsip yang telah digariskan dalam soal perhiasan dan pakaian iaitu lelaki tidak boleh menyerupai perempuan dan begitulah juga sebaliknya. Hal ini kerana perbuatan mengikat rambut lebih sinonim dengan kaum wanita. Atas sebab itu, timbul persoalan berkenaan hal ini bagi lelaki.

Secara umumnya agama Islam melarang penganutnya dalam kalangan lelaki untuk menyerupai wanita melalui pemakaian barang perhiasan yang hanya dikhususkan untuk wanita. Dinyatakan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ akan pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/267).

Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki.

Riwayat al-Bukhari (5435) dan Ahmad (8309)

Badr al-Din al-‘Aini ketika mengulas hadith di atas menyebutkan, (celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/41).

Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami turut menyatakan bahawa antara bentuk menyerupai wanita adalah memakai perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan yang dilazimi oleh mereka, seperti gelang tangan dan gelang kaki. Adapun cincin maka diharuskan bagi lelaki memakainya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/261)

Maka, berbalik kepada soalan yang  di atas, perbuatan mengikat rambut dilihat lebih sinonim dengan kaum wanita, namun ia tidak menafikan terdapat kaum lelaki turut mengikat rambut mereka terutamanya bagi mereka yang memiliki rambut yang panjang, dan hal itu diterima dalam masyarakat. Jadi, ini menunjukkan bahawa perbuatan lelaki yang berambut panjang mengikat rambutnya tidak dianggap termasuk dalam perkara menyerupai wanita.

Menurut Syeikh Mahmud al-Syalabi, setiausaha fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan, perhiasan hendaklah dirujuk kepada ‘uruf dan adat setempat. Syariat melarang lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki, maka jika lelaki memakai rantai perak yang termasuk dalam masalah perhiasan dan masalah perhiasan pula hendaklah dirujuk kepada adat setempat. Jika adat setempat menunjukkan bahawa lelaki berhias dengan rantai tersebut, manakala wanita pula tidak berhias dengannya, maka pemakaiannya (bagi lelaki) adalah dibenarkan dan tidak mengapa. Akan tetapi jika sudah menjadi kebiasaan bahawa ini adalah sebahagian daripada perhiasan wanita, maka dalam hal ini tidak boleh bagi lelaki untuk berhias dengannya kerana dengan memakainya menjadikan lelaki itu termasuk dalam kalangan mereka yang menyerupai wanita, dan ini adalah diharamkan dan tidak dibenarkan.

Begitu juga Syeikh Muhammad Wisam, setiausaha fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah turut menyatakan bahawa rantai perak termasuk dalam perhiasan wanita. Oleh itu, orang lelaki tidak boleh memakainya. Lebih-lebih lagi perkara-perkara berkaitan perhiasan ini tidak termasuk dalam akhlak (sifat dan ciri) kaum lelaki. Beliau menegaskan lagi bahawa rantai itu serupa dengan cincin dan jam tangan. Akan tetapi soal pakaian dan perhiasan mesti mengambil kira uruf setempat, adat dan tradisi. Jadi jika seseorang pemuda itu berada dalam lingkungan atau suasana yang mana menurut adat setempatnya lelaki memakai rantai (dan ia bukan perhiasan khusus buat wanita), maka tidak mengapa memakainya. Namun, jika dia berada dalam lingkungan atau suasana yang mana menurut adat setempatnya menolak perkara itu (pemakaian rantai sebagai perhiasan bagi lelaki), maka beliau berpendapat hendaklah dilarang seseorang pemuda itu daripada memakainya. Allah SWT memerintahkan hal tersebut melalui firman-Nya:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya: “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).

(Surah al-A‘raf: 199)[1]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa lelaki yang berambut panjang untuk mengikat rambutnya di luar solat, terutamanya dalam aktiviti seharian mereka. Dalam erti kata lain, diharuskan bagi lelaki yang berambut panjang untuk mengikat rambut mereka. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga hal ini kerana perbuatan mengikat rambut itu tidak hanya dikhususkan kepada kaum wanita sahaja, sebaliknya ia dilihat sinonim dengan wanita kerana merekalah yang kebiasaannya menyimpan rambut yang panjang. Bahkan lelaki yang berambut panjang yang mengikat rambutnya tidak dianggap sebagai suatu penyerupaan kepada kaum wanita mengikut ‘uruf dan adat setempat kita. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي عَادَاتِنَا الإِبَاحَة حَتَّى يَجِيءَ صَارِفُ الإِبَاحَة

Maksudnya:Hukum asal dalam perkara-perkara adat kita adalah diharuskan sehinggalah terdapatnya dalil yang mengangkat keharusan tersebut.”

Hamad al-Hamad ketika mensyarahkan kaedah di atas menyebutkan, adat adalah merujuk kepada kebiasaan manusia dari segi tingkah laku, perkataan dan perbuatan, maka hukum asalnya adalah diharuskan. Sebagai contoh, duduknya mereka di atas lantai atau atas kerusi ketika makan, maka hal ini termasuk dalam perkara adat dan hukum asalnya adalah diharuskan. Begitu juga termasuk dalam perkara adat, seseorang itu makan dengan tangannya, manakala seseorang yang lain pula makan dengan menggunakan sudu, maka hukum asalnya adalah diharuskan. Begitu juga seseorang memakai suatu pakaian dengan cara tertentu, manakala seseorang yang lain pula memakainya dengan cara yang lain, maka hukum asal dalam hal tersebut adalah diharuskan. (Lihat Syarh Manzumah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/9).

Apatah lagi keharusan lelaki yang berambut panjang untuk mengikat rambutnya juga dapat difahami berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

أَنَّهُ رَأَى عَبْدَ اللَّهِ بْنَ الْحَارِثِ يُصَلِّي وَرَأْسُهُ مَعْقُوصٌ مِنْ وَرَائِهِ، فَقَامَ فَجَعَلَ يَحُلُّهُ، فَلَمَّا انْصَرَفَ أَقْبَلَ إِلَى ابْنِ عَبَّاسٍ فَقَالَ: مَا لَكَ وَرَأْسِي؟ فَقَالَ: إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّمَا مَثَلُ هَذَا مَثَلُ الَّذِي يُصَلِّي وَهُوَ مَكْتُوفٌ

Maksudnya: “Beliau melihat Abdullah bin al-Harith solat dalam keadaan rambutnya diikat di belakang. Beliau (Ibn Abbas) lantas bangkit dan melepaskan ikatan tersebut. Apabila dia selesai (solat), lantas dia menghadap Ibn Abbas dan bertanya: ‘Mengapa kamu lakukan pada rambutku demikian?’ Lalu Ibn Abbas menjawab: ‘Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan orang ini (yang solat dengan mengikat rambutnya) seperti orang yang solat sedangkan kedua tangannya diikat ke belakang.’

Riwayat Muslim (1129)

Dapat difahami daripada hadith di atas, bahawa tidak ada halangan bagi lelaki yang berambut panjang untuk mengikat rambutnya di luar solat sebagaimana yang dilakukan oleh Abdullah bin al-Harith. Ini kerana larangan untuk mengikat rambut itu hanyalah ketika mendirikan solat agar rambut tersebut akan jatuh ke tanah ketika sujud sehingga pemiliknya akan diberikan pahala sujud dengan rambutnya.

Ini jelas sebagaimana disebutkan oleh Ibn al-Athir bahawa makna hadith ini adalah apabila orang yang solat rambutnya diuraikan (tidak diikat), maka rambut tersebut akan jatuh ke tanah ketika sujud sehingga pemiliknya akan diberikan pahala sujud dengan rambutnya. Namun, apabila rambutnya diikat, jadilah ia termasuk dalam makna orang yang tidak sujud. Ia diumpamakan dengan orang yang terikat kedua tangannya, kerana kedua tangan tersebut tidak dapat menyentuh tanah ketika sujud (seperti mana rambut yang diikat ke belakang tidak dapat menyentuh tanah ketika sujud). (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 3/275).

Oleh sebab itu, seseorang lelaki yang solat dalam keadaan rambutnya terikat, dihukumkan sebagai makruh tanzih oleh para ulama. Namun, solat yang didirikannya dalam keadaan sedemikian tetap dianggap sah dan memadai.

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #5004: Lelaki Mengikat Rambut dalam Solat.

Sekalipun begitu, kami turut ingin mengingatkan bahawa sekalipun diharuskan bagi lelaki untuk mengikat rambutnya yang panjang dalam aktiviti seharian di luar solat, namun hendaklah dipastikan pengikatan rambut itu tidak ada sebarang unsur tasyabbuh (penyerupaan) dengan wanita seperti disertai dengan sifat lembut yang berlebihan, gaya percakapan/berjalan yang sama dengan wanita dan seumpamanya lalu menyebabkan pelakunya (kaum lelaki) terjerumus ke dalam perkara yang dilarang oleh agama. Selain itu, ia juga sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf mereka yang menghukumnya sebagai penyerupaan dengan kaum wanita. Jika dikhuatiri ia ada unsur penyerupaan dengan perempuan, maka seeloknya, hendaklah ditinggalkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.elbalad.news/4522909. Diakses pada 11 Julai 2023.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *