#5033: Bayar Hutang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukumnya menyelesaikan hutang si mati sekiranya harta peninggalan si mati tidak cukup untuk menyelesaikan hutangnya. Adakah waris wajib selesaikan hutang tersebut seandainya waris juga tidak berkemampuan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

نَفْسُ الـمُؤْمنُ مُعَلَّقَةٌ بدَيْنِهِ، حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Jiwa seorang Mukmin tergantung dengan sebab hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.”

Riwayat Ahmad (10221); al-Tirmizi (1079) dan beliau menilainya sebagai hasan.

Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, lafaz “مُعَلَّقَةٌ بدَيْنِهِ” bermaksud tertahan atau terikat, sebagaimana firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ

Maksudnya: “Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya.”

(Surah al-Muddathir: 38)

Seterusnya, Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan pula makna dan faedah-faedah yang dapat diambil daripada hadith itu. Di antaranya hadith ini menunjukkan kepada pentingnya untuk menjaga urusan hutang. Begitu juga diri seseorang itu adalah sebagai cagaran bagi hutangnya itu sehinggalah ia dilunaskan. Dalam erti kata lain, ia adalah untuk mengekang dirinya dari kedudukan mulia yang sepatutnya dia miliki. Hal ini adalah sebagaimana hadith:

 إِنَّ صَاحِبَكُمْ مُحْتَبِسٌ عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ فِي دَيْنٍ عَلَيْهِ، حَتَّى يَقْضِيَهُ عَنْهُ وَارِثٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sahabat kamu itu sedang tertahan di pintu syurga dengan sebab hutang yang masih ada padanya sehinggalah warisnya melunaskan hutang itu bagi pihaknya.

Riwayat Ahmad (20124) dan lafaznya adalah sebagaimana di atas tanpa menyebutkan, “حَتَّى يَقْضِيَهُ عَنْهُ وَارِثٌ”; Riwayat Abu Daud (3341) dan al-Nasa’i (4685) dengan lafaz seumpamanya. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (20124) menilai sanadnya sebagai sahih.

Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa hak-hak sesama manusia itu terbina di atas kedekut (mesti mendapatkan redha) dan tiadanya toleransi. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/159-160).

Tambahan lagi, terdapat banyak hadith yang menerangkan tentang ancaman terhadap golongan yang tidak melunaskan hutangnya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Salamah bin al-Akwa’ R.A, katanya:

كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ، فَقَالُوا: صَلِّ عَلَيْهَا. فَقَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ فَقَالُوا: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟ قَالُوا: لاَ. فَصَلَّى عَلَيْهِ. ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، صَلِّ عَلَيْهَا. قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قِيلَ: نَعَمْ. قَالَ: هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟ قَالُوا: ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ. فَصَلَّى عَلَيْهَا. ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ، فَقَالُوا: صَلِّ عَلَيْهَا. قَالَ: هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟ قَالُوا: لاَ. قَالَ: فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قَالُوا: ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ. قَالَ: صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ. قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ، فَصَلَّى عَلَيْهِ

Maksudnya: “Kami pernah duduk di sisi Nabi SAW, tiba-tiba didatangkan kepadanya satu jenazah, maka mereka berkata: ‘Solatlah ke atasnya.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia memiliki hutang?’ Mereka menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Tidak.’ Maka Baginda mensolatkannya. Kemudian didatangkan pula jenazah yang lain dan mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, solatkanlah dia.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia memiliki hutang?’ Dikatakan: ‘Ya.’ Baginda bertanya lagi: ‘Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Tiga dinar.’ Maka Baginda mensolatkannya. Kemudian didatangkan pula jenazah yang ketiga lalu mereka berkata: ‘Solatkanlah dia.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia memiliki hutang?’ Mereka menjawab: ‘Tiga dinar.’ Baginda bersabda: ‘Solatlah ke atas sahabat kamu.’ Lantas Abu Qatadah berkata: ‘Solatkanlah dia, wahai Rasulullah, dan hutangnya menjadi tanggunganku.’ Maka Baginda pun solat ke atasnya.

Riwayat al-Bukhari (2289)

Selain daripada itu, Syeikh Abdullah al-Bassam juga ada menukilkan daripada al-Dalil wa Syarhuhu yang menyatakan bahawa mati syahid itu menghapuskan kesemua dosanya melainkan hutang. Syeikh Taqiyuddin menambah, demikianlah juga dosa menzalimi orang lain. Hal itu adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Ibn Umar bahawa Nabi SAW bersabda:

يَغْفِرُ اللّهُ لِلشّهِيدِ كُلّ ذَنْبٍ، إِلّا الدّينَ

Maksudnya: “Allah memberi keampunan buat orang yang mati syahid semua dosanya kecuali hutang.”

Riwayat Muslim (1886)

Oleh yang demikian, wajib untuk segera menyelesaikan atau melunaskan hutang si mati jika dia mempunyai harta (yang ditinggalkan). Ini kerana dia masih berterusan menanggung beban hutangnya itu sekalipun setelah kematiannya sehinggalah ia dilunaskan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/159-160).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan, mereka yang dapat manfaat daripada si mati yang dapat mewarisi harta, seperti anak, saudara, ibu bapa adalah antara yang utama sepatutnya menggalas tanggungjawab membayar dan melangsaikan hutang tersebut. Inilah yang sebenarnya dan ia tertanggung kepada zimmahnya sehingga dapat diselesaikannya.

Kami petik sebuah kisah yang amat panjang sebagai renungan di mana seorang bapa yang jujur, yang mempunyai hutang yang banyak telah mewasiatkan kepada anaknya agar melangsaikan hutang bagi pihaknya, dan jika ada masalah rujuklah kepada penghulunya yakni Allah. Ia adalah kisah al-Zubair dengan anaknya Abdullah.

Abdullah bin al-Zubair  menceritakan: “Ketika al-Zubair berdiri pada peperangan Jamal , dia memanggilku, maka aku berdiri di sampingnya. Dia berkata: “Wahai anakku , tidak ada yang terbunuh pada hari ini kecuali orang zalim atau dizalimi, dan sungguh aku tidak melihat diriku melainkan akan terbunuh dalam keadaan dizalimi . Sesungguhnya perkara yang paling merisaukanku adalah hutangku.  Adakah engkau melihat hutang kita dapat menyisakan sesuatu dari harta kita? Dia juga berkata: “Wahai anakku, juallah harta benda kita, bayarlah hutangku .”

Lalu dia berwasiat pada satu pertiga daripada hartanya. Satu pertiga daripadanya adalah untuk anak-anaknya – yakni anak-anak Abdullah bin al-Zubair – Dia berkata:  “Sepertiga daripada yang sepertiga – jika harta kita masih berbaki setelah pembayaran hutang- maka diberikan kepada anakmu’.” Hisyam berkata: sebahagian anak Abdullah telah menyamai sebahagian anak-anak al-Zubair, Khubaib dan ‘Abbad, dan saat itu dia memiliki 9 orang anak lelaki dan 9 anak perempuan.

Abdullah berkata:  Dia pun berwasiat kepadaku berkenaan hutangnya dan berkata:  “Wahai anakku, jika engkau tidak mampu untuk membayar hutangku maka mintalah kepada tuan aku.” Abdullah berkata:  Demi Allah, aku tidak tahu apa yang dia maksudkan hingga aku bertanya: “Wahai bapaku, siapakah tuan kamu?” Dia menjawab:  “Allah.”   Abdullah berkata:  Demi Allah, tidaklah aku menemui suatu kesulitan dalam membayar hutangnya melainkan aku akan berkata:  “Wahai Tuan kepada al-Zubair, lunaskanlah hutangnya,” lalu Allah akan (membantu aku) melunaskannya.

Al-Zubair R.A terbunuh  tanpa meninggalkan dinar mahupun dirham, kecuali beberapa bidang tanah, salah satunya ialah tanah al-Ghabah, 11 rumah di Madinah, 2 di Basrah, 1 di Kufah, dan sebuah lagi di Mesir.

Abdullah berkata:  Sesungguhnya hutangnya menjadi banyak kerana apabila seseorang datang kepadanya dengan membawa harta untuk dijaga olehnya, maka Al-Zubair akan berkata: “Tidak, akan tetapi jadikanlah ia sebagai pinjaman. Sesungguhnya aku khuatir harta itu tidak terjaga.”

Dia (al-Zubair) tidak pernah memegang jawatan sebagai gabenor (penguasa) sama sekali dan tidak pula sebagai pengutip cukai kharaj atau urusan apa sekalipun; dia hanya memperoleh harta melalui peperangan yang disertai bersama Nabi SAW, Abu Bakar, Umar dan ‘Uthman R.A.

Abdullah bin al-Zubair berkata:  Aku mengira jumlah hutangnya dan ternyata jumlahnya ialah sebanyak 2 juta 200 ribu. Dia berkata:  Hakim bin Hizam bertemu Abdullah bin Al-Zubair dan berkata:  “Wahai anak saudaraku, berapakah jumlah hutang yang ditanggung oleh saudaraku?” Dia menyembunyikan jumlah sebenarnya lalu berkata:  “100 ribu.” Hakim berkata:  “Demi Allah, menurutku harta benda yang kalian punyai tidak akan dapat melunaskan hutang ini.” Abdullah berkata:  “Apa pendapatmu jika aku katakan jumlahnya 2 juta 200 ribu?” Dia menjawab: “Menurutku kamu tidak akan mampu melunaskannya. Jika kamu tidak mampu, maka mintalah bantuan kepadaku.”

Dia (perawi) berkata:  “Al-Zubair telah membeli tanah al-Ghabah dengan harga 170 ribu. Maka Abdullah telah menjualnya dengan harga 1 juta 600 ribu. Kemudian dia berdiri dan berkata:  “Barang siapa yang memiliki hak (hutang) pada al-Zubair, maka hendaklah dia meminta bayaran kepada kami dari al-Ghabah.”

Abdullah bin Ja’far merupakan individu yang Al-Zubair berhutang kepadanya sebanyak 400 ribu, datang dan berkata kepada Abdullah (bin Al-Zubair): “Jika engkau mahu maka aku halalkan hutangnya padaku.”  Abdullah berkata:  “Tidak!” Abdullah bin Ja’far berkata lagi:  “Jika kamu mahu, kamu boleh tunda bayarannya.” Abdullah bin al-Zubair berkata:  “Tidak!” Dia (perawi) berkata:  Maka dia (Abdullah bin Ja’far) berkata:  “Ukurlah satu bahagian daripada tanah untukku.” Abdullah (bin al-Zubair) berkata:  “Untukmu dari tempat ini hingga ke tempat ini.” Dia (perawi) berkata:  Dia menjualnya lalu membayar dan melunaskan hutangnya.

Lalu berbaki daripadanya 4 1/2 bahagian. Dia (Abdullah bin Al-Zubair) datang menemui Mu’awiyah — dan di sisinya terdapat ‘Amr bin ‘Uthman, al-Mundzir bin al-Zubair dan Ibn Zam’ah- lalu Mu’awiyah berkata kepadanya: “Berapakah harta dinilaikan yang ditetapkan untuk Al-Ghabah?” Abdullah menjawab: “Setiap satu bahagian berharga 100 ribu.” Mu’awiyah berkata:  “Berapa bahagian yang masih berbaki?” Abdullah menjawab: “4 1/2 bahagian.” Al-Mundzir bin al-Zubair berkata:  “Aku ingin membeli 1 bahagian dengan harga 100 ribu.” ‘Amr bin ‘Uthman pula berkata:  “Aku ingin membeli 1 bahagian dengan harga 100 ribu.” Ibn Zam’ah berkata:  “Aku ingin membeli 1 bahagian dengan harga 100 ribu.” Mu’awiyah berkata:  “Berapa  bahagian lagi yang berbaki?” Abdullah menjawab: “Masih berbaki sebanyak 1 1/2 bahagian.” Mu’awiyah berkata:  “Aku ingin membelinya dengan harga 150 ribu.”  Dia (perawi) berkata: “Abdullah bin Ja’far turut menjual bahagiannya kepada Mu’awiyah dengan harga 600 ribu.

Setelah Ibn al-Zubair selesai melunaskan hutangnya, maka anak-anak al-Zubair berkata: “Bahagikanlah bahagian fara’id di antara kami.”  Abdullah berkata:  “Tidak, demi Allah aku tidak akan membahagikannya sehinggalah aku membuat pengumuman ketika musim (haji) selama empat tahun: “Ketahuilah, barang siapa yang al-Zubair berhutang dengannya, maka hendaklah dia menemui kami agar kami dapat melunaskannya.” Dia (perawi) berkata:  “Maka setiap tahun dia mengumumkan ketika musim (haji).”

Setelah berlalu 4 tahun, dia pun membahagikannya kepada mereka.” Dia (perawi) berkata:  Al-Zubair memiliki 4 orang isteri, lalu diasingkan sebanyak satu pertiga daripada harta, maka setiap isteri memperoleh sebanyak 1 juta 200 ribu. Manakala kesemua hartanya berjumlah 50 juta 200 ribu.”

Riwayat al-Bukhari (3129)

Adapun jika, keluarga tidak mampu, maka usahalah yang terbaik. Mudah-mudahan Allah SWT membuka jalan penyelesaian dalam isu seperti ini. Banyakkan berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT sebagaimana Rasulullah SAW ajar kepada kita:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *