#5042: Galakan Berusaha dan Bekerja Lebih Baik Daripada Meminta Sedekah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah dalam Islam, seseorang yang berusaha dan bekerja adalah lebih baik daripada dia tidak melakukan apa-apa dan meminta sedekah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kita sebagai khalifah Allah di muka bumi yang bersifat sebagai pelaksana dan penegak kepada agama serta bersiyasah dengannya. Kita memegang sejumlah amanah dan tanggungjawab yang diperintah dan ditaklifkan kepada kita. Justeru, dalam melayari bahtera kehidupan, soal makan minum, tempat tinggal dan kenderaan untuk menyampaikan kita ke satu-satu tempat adalah memerlukan harta dan kewangan yang kukuh.

Antara cara untuk mendapatkan harta adalah melalui pekerjaan. Dengan sebab itu, dalam al-Quran al-Karim terlalu banyak perintah untuk kita bekerja, seterusnya mencapai kehendak manusiawi yang kita miliki. Terlalu banyak bentuk pekerjaan yang boleh kita lakukan. Apa yang pentingnya adalah pekerjaan tersebut adalah halal dan tidak bertentangan dengan syariat sama ada kita sebagai peniaga, tokoh korporat yang besar, petani, pekebun, penternak, nelayan, pertukangan, mengambil sebarang upah, penjawat awam, bekerja di sektor swasta, maka semuanya adalah digalakkan. Begitu juga pembetulan niat setiap kali kita bekerja biarlah diniatkan kerana mengikut apa yang diperintah oleh Allah SWT. Sebagai contoh, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلَالَا اسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ، وَسَعْيَا عَلَى أَهْلِهِ، وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (9890) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, Islam sangat menuntut atau menggalakkan penganutnya untuk berusaha dan bekerja berbanding daripada dirinya duduk bersahaja, tidak membuat apa-apa dan meminta sedekah.

Hal ini adalah jelas sebagaimana riwayat al-Zubair bin al-Awwam R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ، فَيَبِيعَهَا، فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya bahawa salah seorang daripada kamu memikul kayu api pada belakangnya lalu menjualnya, dan Allah mencukupkan (rezekinya) dengan (hasil jualan) kayu api, itu lebih baik baginya daripada dia mengemis dan meminta-minta daripada orang lain, sedangkan boleh jadi orang itu memberi kepadanya atau tidak memberi apa-apa.”

Riwayat al-Bukhari (1471)

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, dalam hadith di atas mengandungi dalil yang menunjukkan kepada haramnya meminta-minta sedangkan dia berkemampuan untuk bekerja — mencari rezeki bagi menampung kehidupannya.

Begitu juga lafaz “lebih baik baginya” dalam hadith di atas, bukanlah bermaksud perbuatan ini lebih utama daripada asalnya; kerana meminta-minta dalam keadaan dia berkemampuan untuk bekerja bukanlah sesuatu yang dianggap sebagai baik. Berkemungkinan lafaz ini disampaikan berdasarkan keyakinan orang yang meminta dan menamakan apa yang diberikan kepadanya sebagai kebaikan (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/411).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *