#5063: Meminta kepada Pemerintah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum seseorang itu meminta bantuan atau wang daripada kerajaan atau pihak pemerintah bagi memenuhi keperluannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

Maksudnya: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ‘Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.’

(Surah al-Munafiqun: 10)

Syeikh al-Maraghi menafsirkan, nafkahkanlah sebahagian kurniaan harta yang Kami berikan kepadamu sebagai tanda syukur terhadap nikmat-Nya dan kasih kepada hamba-Nya yang fakir. Simpanlah nafkah itu untuk hari perhitungan supaya kamu boleh memetik hasil daripada apa yang kamu telah amalkan. Janganlah kamu menyimpannya dalam peti-peti kamu tinggalkan untuk ahli warismu. Ini disebabkan ahli warismu mungkin akan menghabiskannya pada jalan yang tidak akan mendatangkan kepujian dan sanjungan kepadamu, malah mendatangkan cacian dan makian kepadamu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/7032).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya kami katakan bahawa meminta kepada pemerintah adalah dibolehkan dan tidak menjadi kesalahan.

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Samurah bin Jundub R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

المَسْأَلَةُ كَدٌّ يَكُدُّ الرَّجُلُ وَجْهَهُ، إِلاَّ أنْ يَسْأَلَ الرَّجُلُ سُلْطَانًا، أوْ فِي أمْرٍ لاَبُدَّ مِنْهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya perbuatan meminta-minta akan memberikan bekas yang buruk kepada muka, kecuali seseorang yang meminta haknya daripada pemerintah atau orang yang sedang dalam kesusahan.

Riwayat al-Tirmizi (681)[1]

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, dalam hadith ini terdapat pengecualian untuk isu yang berkaitan meminta-minta dengan pemerintah, iaitu imam atau pemimpin bagi umat Islam. Hal tersebut adalah dibolehkan dan tidak dianggap sebagai sesuatu yang berdosa ataupun tercela di dalamnya. Ini kerana pemerintah adalah penjaga amanah/pengurus bagi baitulmal kaum Muslimin, dan setiap Muslim mempunyai hak dalam baitulmal. Oleh itu, apabila seseorang meminta kepada imam/pemimpin, seakan-akan sebenarnya dia meminta haknya yang diuruskan atau dijaga oleh pemimpin sebagai penjaga amanahnya.

Sekalipun begitu, dianjurkan atau disunatkan untuk tidak terlalu banyak atau kerap meminta kepada pemerintah terutamanya bagi orang-orang berilmu dan orang-orang yang memiliki kelebihan. Ini adalah untuk menjaga maruah mereka, kehebatan ilmu mereka, dan mengelakkan daripada terlalu sibuk mengumpulkan harta dan menjaganya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/414). Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Hakim bin Hizam R.A, katanya:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَعْطَانِي، ثُمَّ سَأَلْتُهُ فَأَعْطَانِي، ثُمَّ قَالَ لِي: يَا حَكِيمُ، إِنَّ هَذَا المَالَ خَضِرٌ حُلْوٌ، فَمَنْ أَخَذَهُ بِسَخَاوَةِ نَفْسٍ بُورِكَ لَهُ فِيهِ، وَمَنْ أَخَذَهُ بِإِشْرَافِ نَفْسٍ لَمْ يُبَارَكْ لَهُ فِيهِ، وَكَانَ كَالَّذِي يَأْكُلُ وَلاَ يَشْبَعُ، وَاليَدُ العُلْيَا خَيْرٌ مِنَ اليَدِ السُّفْلَى، قَالَ حَكِيمٌ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالحَقِّ، لاَ أَرْزَأُ أَحَدًا بَعْدَكَ شَيْئًا حَتَّى أُفَارِقَ الدُّنْيَا، فَكَانَ أَبُو بَكْرٍ يَدْعُو حَكِيمًا لِيُعْطِيَهُ العَطَاءَ فَيَأْبَى أَنْ يَقْبَلَ مِنْهُ شَيْئًا، ثُمَّ إِنَّ عُمَرَ دَعَاهُ لِيُعْطِيَهُ فَأَبَى أَنْ يَقْبَلَ، فَقَالَ: يَا مَعْشَرَ المُسْلِمِينَ إِنِّي أَعْرِضُ عَلَيْهِ حَقَّهُ الَّذِي قَسَمَ اللَّهُ لَهُ مِنْ هَذَا الفَيْءِ فَيَأْبَى أَنْ يَأْخُذَهُ، فَلَمْ يَرْزَأْ حَكِيمٌ أَحَدًا مِنَ النَّاسِ شَيْئًا بَعْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى تُوُفِّيَ

Maksudnya:  “Aku meminta kepada Rasulullah SAW dan Baginda memberi kepadaku. Kemudian aku meminta kepadanya dan Baginda memberi kepadaku. Kemudian Baginda bersabda kepadaku: ‘Wahai Hakim, sesungguhnya harta itu hijau lagi manis, barang siapa yang mengambilnya tanpa sikap tamak, nescaya dia akan diberkati pada harta itu dan barang siapa yang mengambilnya secara berlebihan, nescaya dia tidak akan diberkati pada harta itu, keadaannya sama seperti orang yang makan dan tidak kenyang. Tangan yang atas (memberi) adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah (menerima).’” Hakim berkata: Aku berkata:  ‘Wahai Rasulullah, demi Yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak akan meminta sesuatu kepada seseorang sesudahmu sehingga aku meninggal dunia.’ Abu Bakar telah memanggil Hakim untuk diberi sesuatu, tetapi dia enggan menerimanya. Kemudian Umar memanggilnya untuk diberikan sesuatu tetapi dia enggan menerimanya. Umar berkata:  ‘Wahai kaum Muslimin, sesungguhnya aku telah menawarkan haknya kepadanya yang telah diberikan oleh Allah untuknya daripada harta fai’ ini, tetapi dia enggan mengambilnya.’ Hakim tidak pernah meminta bantuan sedikit pun daripada seseorang setelah Nabi SAW wafat, sehinggalah dia meninggal dunia.

Riwayat al-Bukhari (3143)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)

 

Nota kaki:

[1] Syeikh Abdullah al-Bassam menilai hadith ini sebagai hasan. Beliau juga menyatakan, hadith ini turut diriwayatkan oleh Abu Daud (1639) dan al-Nasa’i (2600) serta al-Tirmizi. Imam al-Tirmizi menyatakan, hadith ini adalah hasan sahih. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/413).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *