#5089: Hukum Berbaring dan Menjulurkan Kaki di dalam Masjid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum berbaring dan menjulurkan kaki di dalam masjid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّـهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ

Maksudnya:(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”

Surah al-Nur: 36

Ibn Kathir menyebutkan bahawa Allah SWT memerintahkan untuk memuliakan masjid dengan menyucikannya daripada segala kotoran, perkara yang sia-sia, perkataan atau perbuatan yang tidak berkait dengannya. Ini juga adalah pendapat Ibn Abbas, ‘Ikrimah, al-Dhahhak, dan ramai lagi dalam kalangan ulama tafsir. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 6/62)

Kami kemukakan terlebih dahulu berkenaan definisi masjid.

Masjid (مَسْجِد) pada bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’nya boleh ditakrifkan kepada dua: Tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).”

Riwayat al-Bukhari (438)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf, masjid ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu‘jam Lughat al-Fuqaha, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid, hlm. 26-27)

Al-Zajjaj berkata: “Setiap tempat diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid seperti hadis di atas.” (Lihat Taj al-‘Arus, 8/174)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, hukumnya adalah harus selama mana menjaga penghormatan masjid. Hal ini berdasarkan hadis:

Daripada ‘Abbad bin Tamim, daripada bapa saudaranya,  katanya:

أَنَّهُ رَأَى رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُسْتَلْقِيًا فِي المَسْجِدِ، وَاضِعًا إِحْدَى رِجْلَيْهِ عَلَى الأُخْرَى. وَعَنْ ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ المُسَيِّبِ، قَالَ: كَانَ عُمَرُ، وَعُثْمَانُ يَفْعَلاَنِ ذَلِكَ.

Maksudnya: “Bahawasanya beliau melihat Rasulullah SAW berbaring di dalam masjid, sambil meletakkan salah satu kakinya di atas kakinya yang lain. Dan daripada Ibn Syihab, daripada Sa‘id bin al-Musayyib, katanya: “Biasanya Umar dan Uthman juga melakukan perbuatan yang sama.”

Riwayat al-Bukhari (475)

Justeru, kami katakan, perbuatan tersebut tidaklah dilarang selama mana tidak mengganggu orang lain dan juga tetap menjaga serta meraikan adab kemuliaan masjid itu sendiri. Kami akhiri dengann doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *