#5160: Tanggungjawab Mencari Makanan Halal di Luar Negara

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya sekiranya kita melancong ke luar negara dan majoritinya bukan beragama islam. Sekiranya kita jumpa kedai makan ada logo halal/ dimasak oleh orang muslim (khususnya ketika berada di Masjid di negara sana), adakah tanggungjawab kita sebagai muslim untuk mencari sesuatu Yang halal dan toyyiban itu telah selesai? Terima kasih Dr.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685)

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan —dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685)

Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan wajib ke atas kita memilih dan mencari makanan yang halal dan bersih terutamanya ketika berada di luar negara yang minoriti Islam. Maka, apabila anda telah menemui kedai atau makanan yang halal, maka telah selesai tanggungjawab anda sebagai sebagai seorang Muslim untuk mencari makanan yang halal. Justeru, apabila jelas adanya logo halal atau dapat dipastikan kandungan makanan tersebut diperbuat dari bahan yang halal, maka yakin dan tawakallah kepada Allah SWT. Janganlah sesekali membuka pintu untuk berasa was-was kerana ia merupakan permainan syaitan dan akan menyulitkan kehidupan kita.

Alhamdulillah, dengan capaian internet mutakhir ini, terlalu banyak cara kita boleh pastikan makanan yang halal. Begitu juga dengan penggunaan grab food atau food panda untuk membeli makanan yang halal. Ini sudah tentu memudahkan usaha mencari makanan yang halal walaupun di negara bukan Islam.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *