#5162: Bersama dengan Isteri Kedua kerana Isteri Pertama sedang Haid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Seorang suami yang mempunyai dua isteri. Bila isteri pertama datang haid, adakah boleh si suami pergi ke rumah isteri kedua untuk bersama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَن تَسْتَطِيعُوٓا۟ أَن تَعْدِلُوا۟ بَيْنَ ٱلنِّسَآءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا۟ كُلَّ ٱلْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَٱلْمُعَلَّقَةِ ۚ

Maksudnya: “Dan kamu tidak akan mampu berlaku adil antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh hendak melakukannya. Oleh itu, janganlah kamu cenderung kepada isteri kesayanganmu sehingga kamu membiarkan isteri-isteri yang lain terkontang-kanting.

(Surah al-Nisa’: 129)

Menurut al-Jassas, maksud ‘adil’ dalam ayat di atas menyentuh soal memberi giliran antara isteri-isteri. Menurut beliau, dalam ayat ini, maksud ‘kecenderungan’ adalah kecenderungan hati. Sehubungan dengan itu, keadilan yang mampu dilakukan ialah tidak melahirkan kecenderungan dalam perbuatan zahir. (Lihat Ahkam al-Quran, 2/82).

Pada asasnya seorang suami diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh isterinya melainkan menyetubuhi isterinya pada dubur (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/84). Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Khuzaimah bin Thabit R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ لَا يَسْتَحِيي مِنَ الْحَقِّ فَلَا تَأْتُوا النِّسَاءَ فِي أَدْبَارِهِنَّ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran, maka janganlah kamu mendatangi isteri pada dubur mereka.”

 Riwayat al-Nasa’i (8942)

Selain itu, diharuskan untuk bermain-main secara seksual antara suami dan isteri secara intim dan mesra, sebelum memulakan persetubuhan, dengan syarat selagi mana tidak membawa kepada kerosakan. Perkara ini berdalilkan firman Allah SWT:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya:Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.

(Surah al-Baqarah: 223)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini ia melibatkan adil dan saksama di antara isteri pertama dan kedua. Justeru, tidak mengapa untuk bersama dengan isteri kedua ketika isteri pertama sedang haid, akan tetapi perkara ini harus di bawa berbincang dengan isteri pertama agar tidak terasa hati dan menyebabkan pergaduhan dalam rumahtangga.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *