#5231: Tafsir Ayat 19 dan 20 Surah al-Kahfi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, tafsir ayat 19 dan 20 daripada surah al-Kahfi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 وَكَذَٰلِكَ بَعَثْنَاهُمْ لِيَتَسَاءَلُوا بَيْنَهُمْ ۚ قَالَ قَائِلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ ۖ قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ ۚ قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَابْعَثُوا أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَٰذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا

Maksudnya: “Demikianlah Kami bangunkan mereka agar mereka bertanya sesama mereka. Berkata seorang daripada mereka: ‘Berapa lamakah kita tidur?’ Sebahagian mereka berkata: ‘Kita tidur sehari atau separuh hari.’ Berkata sebahagian yang lain: ‘Tuhan kamu lebih mengetahui berapa lama kamu tidur. Hantarlah salah seorang daripada kamu dengan wang perak ini ke bandar dan hendaklah dia mencari apa-apa makanan yang paling baik dan bawakan kepada kamu sebahagian makanan itu. Dia juga perlu berhati-hati agar tidak membuat sesiapa pun menyedari kewujudan kamu’.”

(Surah al-Kahfi: 19)

Setelah mereka melalui tidur yang panjang, mereka dibangkitkan daripada tidur, dan mereka saling tertanya-tanya kehairanan. Lalu seseorang daripada kalangan mereka mengajukan pertanyaan: “Sudah berapa lamakah kamu berada dalam gua ini?” Mereka menyatakan bahawa mereka baru berada di gua ini sehari atau setengah hari sahaja. Bangkit pula seorang daripada mereka menjelaskan bahawa Allah SWT sahaja Maha Mengetahui keadaan dan tempoh mereka berada di gua tersebut. Lalu dia menyarankan agar salah seorang daripada mereka pergi ke bandar dengan membawa wang perak serta membelikan makanan yang terbaik. Dikatakan “أَزْكَىٰ طَعَامًا” (makanan terbaik) pada ayat ini dengan maksud makanan yang halal dan suci.

Manakala kalimah “وَلْيَتَلَطَّفْ” di sini pula bermaksud, Ashab al-Kahfi menyuruh orang yang keluar dan membeli makanan itu, kemudian pulang secara berhati-hati dan sembunyi-sembunyi. Ibn Kathir mengatakan, keluarnya orang tersebut untuk pergi ke pasar, dan pulangnya dia selepas membeli, perlu dengan cara sembunyi-sembunyi agar tidak diketahui (atau menjadi tarikan orang ramai), kerana adanya isyarat pada ayat selepasnya “وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا” (agar tidak membuat sesiapa pun menyedari kewujudan kamu). (Lihat al-Tafsir al-Maudhu‘i li Suwar al-Quran al-Karim, 4/313; Aisar al-Tafasir, 3/246; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/132).

Firman Allah SWT:

إِنَّهُمْ إِن يَظْهَرُوا عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِي مِلَّتِهِمْ وَلَن تُفْلِحُوا إِذًا أَبَدًا

Maksudnya: “Sesungguhnya jika mereka mengetahui kewujudan kamu mereka akan merejam atau memaksa kamu untuk kembali ke agama mereka. Jika itu berlaku, kamu tidak akan mendapat kejayaan selama-lamanya.”

(Surah al-Kahfi: 20)

Allah SWT kemudian menyebutkan mengapa lelaki yang keluar itu perlu berhati-hati ketika membeli makanan dan pulang, agar tidak diketahui oleh peniaga atau masyarakat. Ini kerana, jika keadaan dan lokasi mereka diketahui ramai, perkara tersebut akan tersebar dan pembesar serta penguasa wilayah tersebut berkemungkinan akan membunuh mereka. Jika para pemuda al-Kahfi tersebut tidak mahu dibunuh, mereka memaksa pula para pemuda al-Kahfi tersebut kembali kepada agama yang kufur, yang dianuti oleh pengikut Diqyanus.

Kedua-dua situasi tersebut ternyata sangat merugikan para pemuda tersebut di dunia dan akhirat mereka. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 2/292; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/132).

Di sini perlunya sifat kewaspadaan, terutamanya apabila musuh sentiasa memerhati dan menginginkan musibah kepada kita. Sikap seperti ini wajar sentiasa menjadi peringatan kepada umat Islam.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *