#5233: Tafsir Ayat 21 dan 22 Surah al-Kahfi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, tafsir ayat 21 dan 22 daripada surah al-Kahfi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَا إِذْ يَتَنَازَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ ۖ فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِم بُنْيَانًا ۖ رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ ۚ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَىٰ أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِم مَّسْجِدًا

Maksudnya: “Begitulah Kami dedahkan hal mereka kepada manusia agar mereka mengetahui bahawa janji Allah itu benar dan sesungguhnya hari kiamat itu tiada keraguan padanya ketika mereka berbantahan tentang kebenaran kebangkitan hari kiamat. Setelah kematian Ashab al-Kahfi, sebahagian manusia berkata: ‘Dirikanlah binaan di atas gua. Tuhan mereka lebih mengetahui tentang mereka.’ Berkata pula orang yang berkuasa dalam urusan mereka: ‘Kita akan membina masjid di atasnya bagi memuliakan dan memperingati mereka’.”

(Surah al-Kahfi: 21)

Dengan takdir Allah, pemuda al-Kahfi yang turun ke pasar untuk membeli makanan dipertemukan dengan masyarakat. Lebih daripada seorang ulama’ salaf menyatakan sebab mengapa Allah SWT mendedahkan hal Ashab al-Kahfi ini kepada masyarakat ketika itu, kerana mereka syak wasangka terhadap kebangkitan yang dijanjikan Allah SWT dan juga hari kiamat. Dinukilkan daripada ‘Ikrimah, katanya: “Sebahagian manusia pada zaman itu berkata: ‘hanya roh sahaja yang dibangkitkan, dan jasad tidak dibangkitkan.’ Lalu Allah bangkitkan semula Ashab al-Kahfi sebagai hujah, bukti, dan juga tanda kekuasaan-Nya dalam membangkitkan.”

Begini juga yang disebutkan oleh al-Tabari, bahawa Allah SWT mendedahkan keadaan Ashab al-Kahfi ini sekumpulan manusia yang syak terhadap kudrat kekuasaan Allah untuk menghidupkan semula orang yang telah mati, dan mereka juga curiga terhadap Allah untuk mengembalikan semula tubuh hambanya seperti sedia kala pada selepas ditarik nyawa. Maka sedarlah sekumpulan manusia tersebut bahawa janji Allah itu benar, mereka yakin bahawa hari kiamat akan datang tanpa sebarang keraguan padanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/132; Jami‘ al-Bayan, 17/640)

Menurut al-Mawardi, masyarakat di sekeliling pemuda tersebut juga meragui pemuda tersebut antara percaya atau tidak, apabila penampilan pemuda tersebut kelihatan begitu asing ditambah pula dengan penggunaan wang yang sangat ketinggalan zaman dari zaman mereka. Lalu, pemuda tersebut telah dibawa menghadap raja yang beriman setelah menggantikan penguasa yang dahulu (bernama Diqyanus) yang zalim dan kufur kepada Allah SWT. Raja tersebut merasakan bahawa pemuda tersebut itulah merupakan antara pemuda al-Kahfi yang keluar berlindung daripada kekejaman Raja Diqyanus di dalam sebuah gua. Pemuda tersebut mengesahkan telahan Raja, lalu dia terus pulang ke gua.

Ketika dia pulang ke gua, sebilangan orang ramai mengikutinya. Para pemuda al-Kahfi mendengar perbualan orang ramai di luar gua, dan ia sedikit sebanyak menggusarkan mereka. Mereka selanjutnya saling berpesan-pesan agar teguh dengan keimanan. Apabila orang ramai memasuki gua tersebut, didapati para pemuda al-Kahfi telah dimatikan Allah SWT. Berikutan itu, orang ramai berselisih dalam menentukan sama ada pemuda al-Kahfi tersebut benar-benar hidup setelah ditidurkan dalam tempoh yang lama atau sememangnya telah mati sejak dari awal. Perselisihan kedua dalam kalangan mereka ialah, adakah perlu dibina sebuah bangunan di atas gua tersebut sebagai mercu tanda atau perlu dibina masjid di atas gua tersebut? (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 3/295-296).

Justeru, pihak yang menang di kalangan yang beriman akhirnya membina masjid di tempat tersebut bagi memuliakan dan memperingati mereka. Al-Syaukani berpendapat, yang menang adalah orang Islam dan ada juga pendapat yang menyebutkan, pengikut sultan dan raja daripada kaum yang disebutkan itu. Akan tetapi beliau mentarjihkan pendapat yang pertama adalah lebih kuat. (Lihat Fath al-Qadir, 3/329)

Firman Allah SWT:

سَيَقُولُونَ ثَلَاثَةٌ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًا بِالْغَيْبِ ۖ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ قُل رَّبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ ۗ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَاءً ظَاهِرًا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِم مِّنْهُمْ أَحَدًا

Maksudnya: “Sebahagian mereka berkata, “Bilangan mereka tiga orang dan yang keempat itu anjing mereka.” Sebahagian lain pula berkata, “Bilangan mereka lima orang dan yang keenam itu anjing mereka.” Semuanya hanya tekaan semata-mata. Sebahagian lain pula berkata, “Bilangan mereka tujuh orang dan yang kelapan itu anjing mereka.” Katakan kepada mereka wahai Muhammad “Tuhanku lebih mengetahui bilangan mereka. Tiada yang mengetahuinya melainkan segelintir orang sahaja.” Maka janganlah kamu berdebat tentang Ashab al-Kahfi itu kecuali perdebatan zahir sahaja berdasarkan apa yang dijelaskan oleh al-Quran dan janganlah pula kamu meminta penjelasan ahli kitab tentang kisah mereka itu.”

(Surah al-Kahfi: 22)

Perbahasan ayat ini mengenai jumlah pemuda al-Kahfi, yang mana terdapat golongan ahli kitab pada zaman Rasulullah SAW yang mendakwa bilangan mereka adalah seramai 3 orang dan yang keempat ialah anjing. Sebahagian yang lain merasakan bilangan mereka ialah 5 orang dan yang keenam ialah anjing. Pendapat mereka ini hanyalah bersifat tekaan mereka terhadap perkara yang ghaib tanpa asas ilmu dan fakta.

Ada juga yang berpendapat bahawa bilangan para pemuda al-Kahfi adalah seramai 7 orang dan yang kelapan ialah anjing. Dengan beberapa sangkaan yang dikemukakan oleh ahli kitab mengenai bilangan pemuda al-Kahfi, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW agar menjelaskan kepada mereka bahawa Allah SWT jualah yang Maha Mengetahui hakikat bilangan mereka. Manakala, kalangan manusia yang mengetahui bilangan pemuda al-Kahfi hanyalah sedikit, termasuklah Ibn Abbas R.Anhuma yang mengetahui bilangan mereka yang sebenar. Menurut Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bilangan sebenar mereka ialah 7 orang.

Ayat ini mengisyaratkan, pendapat yang menyatakan bilangan 3 orang atau 5 orang Ashab al-Kahfi tersebut hanyalah berasaskan sangkaan dan tekaan semata-mata. Sebaliknya, pendapat yang menyatakan bilangan 7 orang Ashabul Kahfi pula tidak dinyatakan Allah SWT sebagai satu bentuk sangkaan. Allah SWT turut menegah Rasulullah SAW berbahas mengenai bilangan Ashab al-Kahfi bersama ahli kitab melainkan perbahasan yang dilakukan perlu berdiri atas fakta dan khabar yang benar. Begitu juga Allah SWT menegah Baginda SAW meminta huraian lanjut daripada ahli kitab zaman Baginda SAW mengenai kisah Ashab al-Kahfi, kerana apa yang dikisahkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran telah memadai bagi Rasulullah SAW. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/187)

Kami juga akan memperincikan perbincangan tentang bilangan Ashab al-Kahfi ini berdasarkan tafsiran para ilmuan Islam, selari dengan apa yang disebutkan dalam zahir nas.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *