#5257: Menjalani Rawatan Bariatrik bagi Mengurangkan Berat Badan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum melalui pembedahan bariatrik? Saya memiliki berat 126kg dan ada 2 penyakit serius. Segala usaha untuk diet dan bersenam tidak berjaya. Doktor juga sarankan untuk meletakkan “ring” pada perut untuk menyekat dari perut membesar selepas pembedahan. Apakah hukum letak ring ini ya Dato’? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Pembedahan Bariatrik

Bariatric surgery adalah istilah yang digunakan untuk semua jenis pembedahan bertujuan menurunkan berat badan. Kebiasaan pembedahan ini dilakukan kerana mereka mengamalkan pemakanan yang sihat dan senaman tetapi tidak dapat untuk menurunkan berat badan. Prosedur boleh dilakukan menggunakan kamera dengan potongan kulit yang minimum atau dengan kaedah membuka bahagian tengah abdomen. Pembedahan ini bukan tujuan untuk kecantikan seperti sedut lemak ((liposuction surgery). Ia adalah untuk mengurangkan risiko kesihatan. Tidak semua orang yang mempunyai BMI tinggi layak menjalani prosedur ini. Pesakit perlu menjalani ujian saringan untuk memastikan dirinya sesuai bagi pembedahan ini. (Lihat Hello Doktor)[1]

Jenis pembedahan Bariatrik

  • Roux-en-Y.
  • Billiopancreatic diversion with duodenal switch.
  • Laparoscopic adjustable gastric banding (LAGB).
  • Sleeve gastrectomy.

Dalil Berkenaan Mengubah Ciptaan Allah

Firman Allah SWT:

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

(Surah al-Nisa’: 119)

Imam al-Tabari menjelaskan, bahawa dalam satu konteks, ayat ini memberi makna larangan mengubah ciptaan Allah SWT. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 9/222).

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ”iaitu mengubah ciptaan Allah di mana sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum membuat pembedahan Bariatrik adalah harus dengan syarat bagi tujuan perubatan. Kami juga sarankan agar mendapat nasihat daripada doktor sebelum menjalankan pembedahan sebegitu. Justeru, dalam isu anda, ia dihukum harus kerana bagi tujuan mengelakkan daripada 2 penyakit serius tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Wallahua’lam

Nota kaki:

[1] https://hellodoktor.com/kesihatan/pembedahan/bariatric-surgery-rawatan-berat-badan-berlebihan/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *