#5290: Perkara yang Halal kerana Penyusuan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah perkara yang halal kerana penyusuan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Mengikut Kamus Dewan edisi keempat, penyusuan adalah perihal (perbuatan) menyusui, sedangkan penyusu pula ialah orang yang menyusui. (Lihat Kamus Dewan hlm. 1553)

Penyusuan dikenali dengan ridha’ (الرِّضَاع) atau radha’ (الرَّضَاع) dan dimaksudkan dengan radh’an (رَضْعًا), ridha’an (رِضْعًا), dan radha’an (رَضَاعًا) iaitu menghisap susu, ardha’ah (أَرْضَعَة) dengan maksud menyusu bayi. Pada istilah syarak ialah nama untuk pengaliran susu wanita atau apa yang terhasil daripada susunya dalam perut bayi dengan syarat-syaratnya.

Terdapat definisi yang lain hampir sama dengan definisi di atas. Antara lafaz yang hampir sama dengan radha’ah ialah hadhanah (penjagaan). Hal ini kerana terdapat beberapa keadaan seorang penjaga juga dalam masa yang sama ialah penyusu kepada anak yang dijaga.  (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/238)

Dalil Disyariatkan Penyusuan

Terdapat beberapa dalil daripada al-Quran, antaranya:

  • Firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَلِكَ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَنْ تَرَاضٍ مِنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا وَإِنْ أَرَدْتُمْ أَنْ تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُمْ مَا آتَيْتُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyususan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya, dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertawakkallah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

(Surah al-Baqarah: 233)

Al-Qurtubi berkata: “Ini menunjukkan bahawa anak apabila masih menyusu maka ibu berhak dalam hadhanahnya lebih daripada bapa.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi,  3/160)

  • Firman Allah SWT

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ وَإِن كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّى يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri yang menjalani idahnya itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu, dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya, kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikan kepada mereka upahnya, dan berundinglah di antara (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.

(Surah al-Talaq: 6)

Al-Qurtubi berkata: “Isteri yang diceraikan, maka bagi anak-anak mereka hendaklah bapa-bapa memberi upah atas penyusuan mereka.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 18/168)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan perkara yang halal kerana penyusuan adalah:

Semua perkara yang halal kerana keturunan, halal juga kerana susuan. Maka, dengan itu lelaki dihalalkan apabila:

  1. Melihat saudara perempuan susuannya, sepertimana saudaranya sendiri.
  2. Tinggal bersendirian dengannya atau khalwat yang haram antara lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai hubungan keturunan.
  3. Bermusafir dengannya melebihi tiga hari.

Namun, tidaklah bermakna seorang lelaki harus melihat saudara perempuan susuannya dengan berahi, begitu juga sebaliknya.

Hal ini kerana pandangan berahi adalah haram meskipun ahli keluarga sendiri. Oleh sebab itu, ulama menyatakan seorang perempuan makruh menyusukan kanak-kanak yang bukan anaknya tanpa sebarang keperluan yang mendesak. Begitu juga, makruh bagi seorang lelaki dan perempuan susuan bergaul bebas kerana boleh mendorong kepada  perkara yang haram. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/211)

Begitu juga, kami katakan bahawa semua semua hukum-hakam yang menjadi hukum pada adik beradik kandung adalah terpakai pada adik beradik susuan seperti had batasan aurat, sentuhan dan lainnya yang melibatkan hubungan nasab, kecuali dalam hal yang melibatkan harta pusaka. Justeru, had dan batasan aurat antara adik beradik susuan adalah sama seperti adik beradik kandung.

Akhir kalam, semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *